Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : OPPO A96 – Peranti Midrange A Series dengan storan berganda 256GB pada harga RM 1,299

Pengenalan

Selepas pelancaran OPPO Reno7 Series di Malaysia, OPPO kini telah mengalihkan perhatian kepada penawaran siri telefon pintar mesra poket OPPO A Series.Model terbaru OPPO A Series yang baru sahaja dilancarkan OPPO adalah OPPO A96 yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,299.

OPPO A96 memasuki pasaran Malaysia pada musim perayaan yang meletakkan telefon pintar ini sebagai salah satu telefon pintar serba lengkap terbaik pada harga bawah RM 1,500.

Berikut adalah ulasan OPPO A96 yang kini telah mula dibuka untuk pra-tempahan di Malaysia.

Reka Bentuk

OPPO A96 mungkin dilancarkan sebagai satu model baharu didalam siri OPPO A, namun penampilan telefon pintar ini adalah berinspirasikan OPPO Reno yang tampil dengan reka bentuk premium dan tahan lasak.

OPPO A96 menerapkan proses pembuatan OPPO Glow yang merupakan evolusi terbaru berdasarkan teknik pemotongan berlian Reno Glow. Hasilnya, OPPO A96 tampil sebagai sebuah peranti yang bukan hanya menarik untuk dilihat, malah tahan lasak.

Selain itu, proses ini juga memberikan OPPO A96 kemasan matte yang memastikan tiada sebarang kesan capjari pada peranti dan panel belakang ini juga tidak mudah calar.

Satu lagi ikon utama pada panel belakang adalah modul kamera yang menempatkan dua sensor kamera. Modul kamera ini adalah lebih tinggi daripada panel belakang yang bermaksud ianya tidak rata apabila diletakkan pada permukaan seperti meja.

Modul kamera OPPO A96 ini juga memiliki gelung besi didalam warna krom yang menambahkan lagi penampilan premium telefon pintar ini.

Dalam pada itu, OPPO A96 memiliki rangka yang diperbuat daripada keluli manakala panel belakang adalah diperbuat daripada plastik yang melengkung pada kedua sisi.

Lengkungan ini memberikan pengguna cengkaman yang lebih kukuh ketika dipegang.

Pada bahagian sisi kanan, OPPO A96 memiliki satu butang kuasa yang turut mempunyai fungsi sebagai sensor capjari manakala butang kawalan bunyi diletakkan pada sisi kiri bersama slot SIM + microSD.

Pada bahagian bawah, OPPO A96 mempunyai slot USB-C, pembesar suara stereo dan bicu audio 3.5mm yang pada pendapat kami tidak begitu relevan.

Beralih kepada bahagian hadapan, OPPO A96 hadir dengan skrin paparan ‘flat’ yang mempunyai punch-hole yang agak besar pada bahagian tepi skrin. Bezel skrin juga sedikit tebal terutamanya pada bahagian atas dan bawah skrin yang mana nisbah skrin kepada rangka yang dimiliki telefon pintar ini adalah 90.6% sahaja.

Akhir sekali, OPPO A96 memiliki ketebalan 8.44mm dengan berat sekitar 190.9 gram dan ianya ditawarkan didalam dua warna iaitu Starry Black dan Pearl Pink.

Skrin Paparan

OPPO A96 hadir dengan skrin paparan FHD+ berukuran 6.59-inci yang memiliki kadar segar semula 90Hz.

Skrin paparan ini menyokong teknologi Adaptive Refresh Rate yang bermaksud sistem telefon pintar akan menyesuaikan kadar bingkai skrin mengikut kandungan. Walaubagaimanapun, terdapat juga pilihan untuk anda menetapkan kadar segar semula 90Hz atau 60Hz.

Dalam pada itu, skrin ini juga menyokong kadar pensampelan sentuhan skrin 180Hz yang memberikan tindak balas kepada sentuhan yang lebih tepat dan pantas.

Skrin paparan OPPO A96 ini adalah jenis LCD dan ianya juga tampil dengan teknologi All-day AI Eye Comfort yang terdiri daripada pilihan Sunlight Display dan Moonlight Display. Skrin paparan ini juga menepati klasifikasi Widevine DRM L1 yang bermaksud anda boleh menstrim kandungan Netflix HD dan Amazon Prime HD.

Secara keseluruhanya, panel skrin OPPO A96 memberikan pengalaman visual yang memuaskan namun penggunaan panel LCD adalab sedikit mengecewakan dan terdapat peranti jenama lain pada tahap harga yang sama menggunakan panel OLED.

Pemproses

OPPO A96 dijana dengan cip pemprosesan kelas entry-level daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 680.

Cip pemprosesan ini menawarkan peningkatan prestasi jauh lebih baik berbanding generasi sebelum ini dan ianya juga dipadankan dengan 8GB RAM serta storan dalaman 256GB yang amat jarang ditawarkan pada telefon pintar didalam kelas harga ini.

Selain itu, OPPP A96 juga memiliki ciri RAM Expansion yang memberikan tambahan sehingga 5GB RAM yang diambil dari storan dalaman.

Sistem ini bijak meminimumkan beban dengan menamatkan proses latar belakang yang tidak penting dan memampatkan aplikasi yang jarang digunakan.RAM tambahan menjadikan fungsi multitasking dan aplikasi lebih lancar berbanding sebelum ini.

Selain itu, OPPO A96 juga hadir dengan sokongan kad microSD yang memberikanya tambahan sehingga 1TB kapasiti storan.

Beralih kepada UI, OPPO A96 tampil dengan ColorOS 11.1 yang menawarkan prestasi peranti yang lebih lancar dan lebih memuaskan. Ia direka untuk meningkatkan kecekapan dengan mengoptimumkan kelancaran sistem dan mengurangkan beban sistem.

Selain itu, ColorOS 11.1 juga membawakan beberapa ciri menarik yang meningkatkan lagi kepuasan penggunaan seperti System Booster, Bullet Screen Message, Quick Startup dan Anti peeping for notifications.

Selain itu, OPPO A96 juga membawakan ciri Air Gestures yang membolehkan anda melakukan interaksi dengan telefon pintar tanpa perlu menyentuh peranti. Sebagai contoh menjawab panggilan atau scroll ke atas dan bawah pada aplikasi. Hanya tiga aplikasi yang menyokong Air Scroll iaitu TikTok, YouTube dan Facebook.

Secara keseluruhanya, OPPO A96 menawarkan pengguna prestasi peranti yang baik dengan kombinasi ColorOS 11.1 yang ternyata stabil dan lengkap dengan pelbagai ciri tambahan.

Kamera

OPPO A96 menampilkan penggunaan kamera yang sangat mudah iaitu satu sensor utama 50MP yang dibantu satu sensor Bokeh 2MP.

Sensor utama 50MP yang dimiliki OPPO A96 adalah sensor bersaiz 1/2.7″ yang mampu memberikan hasil fotografi yang baik.

Antara ciri kamera berkuasa yang ditawarkan pada OPPO A96 adalah AI Palette, Flash Snapshot Nightscape Mode, Night Filters, AI Beautification, Mod Dazzle Color, Multi- frame Photos dengan kamera hadapan dan belakang , Mod Panorama , Video Filters, dan SLO-MO.

Kesemua ciri ini membantu OPPO A96 menjadi sebuah telefon pintar dengan teknologi kamera yang mampu memenuhi keperluan fotografi pengguna.

Selain itu, OPPO A96 juga dilengkapi satu sensor selfie 16MP IMX 471 yang berpotensi untuk memberikan hasil selfie yang baik dengan pelbagai mod potret juga turut disertakan.

Bateri

OPPO A96 memiliki bateri berkapasiti 5,000mAh yang kini satu kapasiti standard pada kebanyakkan telefon pintar midrange dan entry-level.

Ianya menjanjikan jangka hayat bateri yang baik dan mampu melepasi satu hari penggunaan dengan mudah hasil gabungan cipset yang sangat cekap tenaga serta paparan LCD.

Selain itu, OPPO A96 juga dilengkapi sokongan pengecasan pantas 33W SUPERVOOC yang memberikan penggunaan satu pakej pengecasan yang bukan hanya pantas malah mempunyai pelbagai ciri keselamatan yang dipercayai.

Dengan adapter pengecasan yang disertakan dalam kotak, OPPO A96 mampu mencapai pengecasan ke tahap 55% didalam masa 30 minit sahaja manakala tambahan 41 minit pengecasan mencukupi untuk mencapai tahap 100%.

Selain itu, OPPO A96 juga hadir dengan mod Super Saving dan pengecasan pintar Optimized Night Charging yang berasaskan AI.

Penutup

OPPO A96 merupakan sebuah telefon pintar yang memiliki banyak ciri penting yang pengguna idamkan pada tahap harga ini.

Kebanyakkan pengeluar telefon pintar juga dilihat tidak mampu menawarkan kapasiti storan dalaman seperti yang ditawarkan oleh OPPO pada telefon pintar ini.

Walaubagaimanapun, OPPO A96 mempunyai beberapa kekurangan seperti reka bentuk panel belakang plastik, penggunaan skrin LCD dan sistem kamera yang tidak begitu memuaskan.

OPPO A96 kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 1,299.

Untuk maklumat lanjut mengenai pra-tempahan OPPO A96, sila lihat di SINI

 

 

 

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.