ULASAN : HONOR Magic9 Pro Max – Kamera Sinematik ARRI, Prestasi 2nm dan Bateri 8,000mAh

Screenshot

Pengenalan
Menandakan ulang tahun ke-10 sejak pengenalan siri flagship Magic, HONOR Magic9 Pro Max hadir sebagai sebuah model istimewa yang membawa beberapa pembaharuan penting dalam evolusi telefon pintar flagship HONOR. Ia bukan sahaja menjadi simbol perjalanan Magic Series sepanjang sedekad, peranti ini turut memperkenalkan pendekatan baharu HONOR dalam teknologi pengimejan menerusi kerjasama dengan ARRI, sebuah jenama ikonik dalam industri kamera dan produksi filem profesional.
Kerjasama ini juga menandakan kali pertama HONOR berganding dengan ARRI, sekali gus membuka satu dimensi baharu dalam usaha menghasilkan pengalaman pengimejan yang lebih dekat dengan dunia sinematografi profesional.
Selain aspek kamera, HONOR Magic9 Pro Max turut hadir dengan perkakasan berprestasi tinggi apabila menjadi telefon pintar pertama di Malaysia yang dikuasakan oleh cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 6 Pro berasaskan teknologi pemprosesan 2nm.
Dengan gabungan teknologi pengimejan hasil kerjasama ARRI, cipset generasi baharu serta pelbagai ciri flagship yang lain, HONOR Magic9 Pro Max sememangnya hadir dengan beberapa perkara menarik untuk diterokai. Persoalannya, sejauh manakah semua teknologi ini memberikan perbezaan dalam penggunaan sebenar? Mari kita lihat dengan lebih dekat dalam ulasan HONOR Magic9 Pro Max.
Reka Bentuk
Dari segi reka bentuk, HONOR Magic9 Pro Max hadir dengan penampilan yang agak berbeza berbanding kebanyakan telefon pintar flagship lain, khususnya pada bahagian belakang yang menampilkan modul kamera berbentuk Three-Lens Turret Design. Reka bentuk ini diinspirasikan daripada kamera sinematografi profesional ARRI dengan susunan tiga lensa yang memberikan identiti tersendiri kepada peranti ini.
Menariknya, modul kamera tersebut turut menampilkan logo ARRI sebagai sebahagian daripada identiti kerjasama kedua-dua jenama. HONOR juga mengambil inspirasi daripada reka bentuk kamera profesional melalui penggunaan tekstur logam bergerigi pada bahagian sisi yang mengelilingi modul kamera yang menyerupai kemasan dan karakter fizikal lensa kamera sinematografi.
Beralih kepada pilihan warna, HONOR Magic9 Pro Max ditawarkan dalam tiga pilihan iaitu Moss Green yang merupakan warna Hero, Glacier Silver dan Shadow Black seperti unit ulasan kami.
Selain itu, HONOR Magic9 Pro Max tampil dengan binaan All-Metal Unibody Enclosure yang memberikan struktur lebih kukuh dan pada masa sama mengekalkan profil yang agak nipis.
Dari segi dimensi, HONOR Magic9 Pro Max menawarkan ketebalan 8.59mm dengan berat sekitar 223 gram. Dari bahagian hadapan pula, ia dilengkapi skrin paparan bersaiz 6.8-inci dengan bezel ultra nipis berukuran 0.98mm, menjadikan ruang paparan kelihatan lebih luas. HONOR turut menggunakan reka bentuk antena Dual Micro-Slit berukuran 0.4mm bagi mengekalkan kemasan bingkai yang lebih kemas.
Satu lagi perkara menarik ialah kehadiran butang khas AI pada bahagian sisi atas bingkai. Butang ini membolehkan pengguna mengakses pelbagai fungsi kecerdasan buatan (AI) dengan hanya satu tekanan, sekali gus memudahkan akses kepada ciri-ciri AI tanpa perlu mencarinya secara manual melalui menu tetapan atau aplikasi.
Dari aspek ketahanan, HONOR Magic9 Pro Max hadir dengan penarafan kalis air dan habuk yang paling menyeluruh iaitu dengan penarafan IP68, IP69 serta IP69K. Ini membolehkan Magic9 Pro Max menawarkan perlindungan terhadap pelbagai situasi termasuk percikan air, rendaman, bilasan, air panas dan semburan air bertekanan tinggi.
Selain itu, panel gelas hadapan pada telefon pintar ini turut memperoleh pensijilan SGS 5-Star Multi-Scenario Glass Scratch Resistance bagi ketahanan terhadap calar dalam pelbagai situasi penggunaan harian.
Secara keseluruhannya, reka bentuk HONOR Magic9 Pro Max bukan sekadar menampilkan identiti flagship melalui penggunaan bahan premium, tetapi turut menggabungkan elemen reka bentuk kamera sinematografi ARRI yang menjadikannya antara model yang unik dipasaran.
Skrin Paparan
HONOR Magic9 Pro Max hadir dengan skrin paparan HONOR Magic Diamond berukuran 6.8-inci yang bukan sahaja menawarkan paparan luas, malah memberikan penekanan terhadap ketahanan dan keselesaan mata. Antara kelebihan utama skrin ini ialah tahap kecerahan puncak local peak brightness sehingga 10,000 nits, membolehkan kandungan pada skrin dilihat dengan lebih jelas walaupun ketika digunakan di bawah cahaya matahari yang terang.
Selain itu, HONOR Magic9 Pro Max juga hadir dengan teknologi Magic Diamond Screen yang mempunyai ciri perlindungan daripada calar, hentakan dan kehausan. Skrin ini menawarkan sehingga 25 kali ketahanan terhadap hentakan, 15 kali ketahanan calar dan tiga kali ketahanan haus. Ia turut menggunakan salutan Silicon-Nitride sebanyak 5,600 lapisan dengan kadar pantulan ultra rendah sekitar 1.5% bagi mengurangkan pantulan cahaya dan memastikan kandungan pada skrin lebih mudah dilihat.
Dari aspek penjagaan mata pula, HONOR Magic9 Pro Max dilengkapi teknologi HONOR Eye Comfort Display yang menggabungkan beberapa ciri perlindungan mata. Antaranya termasuk teknologi 4320Hz Risk-free PWM Dimming untuk mengurangkan kesan kerlipan skrin, Dynamic Dimming, Hardware-Level Low Blue Light serta Circadian Night Display yang melaraskan suhu warna mengikut perubahan waktu.
Menariknya, HONOR turut menyertakan Motion Sickness Relief untuk membantu mengurangkan simptom mabuk gerakan ketika melihat skrin, Chip-Level AI Defocus Display yang menyokong lebih 2,000 senario penggunaan serta Circular Polarized Display 2.0 bagi memberikan pengalaman tontonan yang lebih selesa.
Semua ciri ini menjadikan skrin Magic9 Pro Max bukan sekadar memfokuskan kepada kualiti visual, tetapi turut mengambil kira keselesaan pengguna ketika menggunakan telefon untuk tempoh yang panjang.
Satu lagi ciri menarik ialah teknologi Industry Exclusive Dual 3D Unlock yang menggabungkan sistem pengecaman wajah 3D dengan pengimbas cap jari ultrasonik 3D. Gabungan dua teknologi biometrik ini membolehkan pengguna membuka kunci telefon dengan lebih pantas, mudah dan tepat. Menariknya, sistem ini turut direka untuk berfungsi dalam pelbagai keadaan, termasuk ketika pengguna memakai cermin mata atau mempunyai tangan yang basah.
Audio
Beralih kepada audio, pengalaman multimedia yang baik bukan hanya bergantung kepada kualiti skrin, tetapi turut memerlukan sistem pembesar suara yang mampu menghasilkan bunyi jelas dan ruang audio yang lebih luas. Untuk itu, HONOR Magic9 Pro Max menggunakan konfigurasi pembesar suara stereo Dual 1216 dengan reka bentuk Dual Open-Cavity serta ruang akustik 8cc.
Sistem audio ini turut dilengkapi algoritma HONOR Sound AI Spatial Soundstage yang dibangunkan sendiri oleh HONOR untuk menghasilkan kesan ruang bunyi yang lebih luas dan pengalaman pendengaran lebih imersif. Pembesar suaranya juga menawarkan amplitud sehingga 0.88mm bagi menyokong penghasilan bunyi yang lebih mantap.
Menariknya, HONOR Magic9 Pro Max merupakan telefon pintar flagship pertama yang memperoleh kedua-dua pensijilan SGS Pickup dan SGS Soundstage Audio.

Pemproses
HONOR Magic9 Pro Max hadir dengan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 6 Pro yang dibina menggunakan proses fabrikasi 2nm. Ini menjadikannya sebagai antara telefon pintar pertama di Malaysia yang dikuasakan oleh cipset 2nm daripada Qualcomm.
Dari segi seni bina, cipset ini menggunakan CPU Qualcomm Oryon generasi ketiga yang menggabungkan dua teras super dengan kelajuan sehingga 5GHz bersama enam teras prestasi. Cipset ini turut disertakan bersama 12GB RAM dan 512GB storan dalaman.
Bagi memberikan gambaran tentang kemampuan prestasinya, HONOR Magic9 Pro Max mencatatkan skor sekitar 3,590 mata untuk ujian Single-Core dan 9,929 mata bagi Multi-Core dalam Geekbench. Untuk ujian AnTuTu v11 pula, peranti ini berjaya melepasi 5.5 juta mata.
Prestasi Gaming dan Sistem Penyejukan
Bagi pengguna yang gemar bermain permainan mudah alih, HONOR turut mengintegrasikan teknologi HONOR Turbo X bersama CPU Qualcomm Oryon untuk menghasilkan paparan grafik beresolusi tinggi dengan kadar bingkai yang lebih lancar.
Selain itu, HONOR Phantom Engine 3.0 memainkan peranan penting dalam memastikan pengalaman gaming kekal stabil. Teknologi ini menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meramal kemungkinan berlakunya gangguan bingkai atau stutter sebelum ia berlaku. Melalui pengoptimuman laluan data antara model AI dan perkakasan, sistem ini membantu mengurangkan gangguan ketika bermain permainan serta mengoptimumkan penggunaan kuasa.
Satu lagi fungsi menarik ialah keupayaan AI Frame Insertion melalui HONOR Game Manager yang membolehkan permainan asal pada kadar 60fps ditingkatkan sehingga 120fps. Teknologi ini menggunakan sisipan bingkai berasaskan AI untuk menghasilkan pergerakan yang kelihatan lebih lancar ketika bermain permainan yang disokong.
Untuk memastikan prestasi tidak terjejas akibat peningkatan suhu, HONOR Magic9 Pro Max turut dilengkapi sistem penyejukan Plate-level Cooling System 2.0. Sistem ini direka untuk mengawal haba ketika peranti menjalankan tugasan berat, termasuk sesi permainan dalam tempoh yang panjang.
Pengoptimuman Sistem dan Multitasking
Selain kuasa pemprosesan, pengalaman penggunaan telefon pintar juga banyak bergantung kepada keupayaan sistem menguruskan aplikasi dan sumber perkakasan. Untuk tujuan ini, HONOR memperkenalkan AI Super-Memory Engine 2.0, Multi-Dimensional Perception dan Compilation Engine 2.0 bagi mengoptimumkan pengurusan memori serta pertukaran aplikasi.
Menurut HONOR, gabungan teknologi ini mampu memberikan peningkatan sehingga 40% dari segi kelajuan pelancaran aplikasi, 30% tindak balas aplikasi yang lebih pantas dan pengurangan sehingga 25% masa pemuatan atau loading.
MagicOS 11 & Liquid Glass
Dari segi perisian, HONOR Magic9 Pro Max memperkenalkan sentuhan visual baharu melalui MagicOS 11 (Android 17) dengan rekaan Liquid Glass. Antara keistimewaannya ialah penggunaan elemen lutsinar pada antaramuka yang memberikan penampilan lebih moden dan berbeza daripada rekaan antaramuka Android konvensional.
Melalui Transparency Mode, pengguna boleh menyesuaikan tahap ketelusan pada skrin utama dan ikon aplikasi mengikut citarasa masing-masing. Terdapat tiga pilihan gaya iaitu Liquid Glass yang memberikan kesan kaca jernih dan berkilat, Frosted Glass dengan kemasan kabur atau matte, serta Non-Transparency untuk pengguna yang lebih gemarkan paparan klasik tanpa kesan lutsinar.
Pendekatan ini memberikan lebih kebebasan kepada pengguna untuk mengubah penampilan antaramuka telefon mengikut gaya tersendiri.
Butang AI dan AI Screen Suggestions
HONOR Magic9 Pro Max turut menawarkan sistem Dual-Function Button yang menggabungkan AI Button dan Shortcut Button untuk memudahkan akses kepada pelbagai fungsi telefon. Pengguna boleh menetapkan tindakan berbeza melalui tekanan pendek, tekanan dua kali atau menekan dan menahan butang tersebut.
Antara fungsi yang boleh diakses termasuk Google Gemini, Google Lens, lampu suluh, mod bunyi serta beberapa ciri AI eksklusif HONOR. Ini menjadikan butang fizikal tersebut lebih praktikal kerana pengguna boleh menetapkan fungsi yang paling kerap digunakan tanpa perlu mencari aplikasi berkenaan secara manual.
Fungsi ini turut dilengkapi AI Screen Suggestions yang boleh memahami kandungan yang sedang dipaparkan pada skrin dan mencadangkan tindakan berdasarkan konteks penggunaan.
Antara ciri yang disediakan termasuk AI Memories untuk menyimpan maklumat daripada pelbagai aplikasi, Web Summary bagi meringkaskan kandungan laman web melalui Chrome dan Opera serta Content Creation yang menyokong aplikasi seperti WhatsApp, Instagram dan Gmail.
Dari aspek keselamatan dan privasi pula, terdapat Private Info Masking untuk membantu menyembunyikan maklumat peribadi, AI Deepfake Detection bagi mengesan kandungan deepfake dalam aplikasi komunikasi seperti WhatsApp, Telegram dan Zoom, serta AI Voice Clone Detection untuk mengesan kemungkinan penyamaran suara ketika panggilan.
Untuk kegunaan harian dan hiburan, pengguna turut boleh mengakses Circle to Search, AI Photos Agent dalam aplikasi galeri serta AI Subtitles untuk kandungan video di YouTube, Netflix dan TikTok.
AI Agents
Selain AI Screen Suggestions, HONOR turut memperkenalkan beberapa AI Agents yang direka untuk memudahkan tugasan harian melalui arahan suara atau satu sentuhan.
Antaranya ialah AI Settings Agent yang membolehkan pengguna mengubah tetapan telefon menggunakan arahan suara. Sebagai contoh, pengguna hanya perlu menyebut arahan seperti “Lower the volume” atau “Turn on Bluetooth” untuk melaksanakan perubahan yang dikehendaki.
AI Photos Agent pula membolehkan pengguna menyunting gambar menggunakan arahan suara seperti “Blur out this photo”. Sementara itu, AI Memories membolehkan pengguna merakam detik penting yang dipaparkan pada skrin, menukarkan video kepada format Live serta menyunting dan berkongsi kandungan tanpa perlu mengganggu aliran kerja.
HONOR turut memberikan perhatian terhadap aspek keselamatan melalui AI Safety atau Wallet Protection. Ciri ini menawarkan perlindungan tambahan ketika pengguna melakukan transaksi pembayaran serta memantau pusat notifikasi bagi mengesan kemungkinan cubaan penipuan atau scam. Sekiranya terdapat risiko yang dikenal pasti, sistem boleh memberikan amaran kepada pengguna secara masa nyata.
Cross Platform Support
Satu lagi kelebihan menarik HONOR Magic9 Pro Max ialah keupayaannya untuk berhubung dengan pelbagai ekosistem peranti lain, termasuk Apple dan Android. Melalui aplikasi HONOR Connect, pengguna boleh menghubungkan telefon HONOR dengan iPhone untuk mendapatkan pengalaman penggunaan yang lebih bersepadu.
Antara fungsi yang disediakan termasuk penyelarasan notifikasi, membalas mesej, menjawab panggilan iPhone serta mengakses foto yang disimpan dalam iCloud secara masa nyata. Ia turut menyokong fungsi rakaman panggilan dan AI Call Assistant.
Bagi pengguna MacBook pula, ciri MacBook Collaboration membolehkan telefon dihubungkan dengan komputer Apple untuk fungsi seperti mengaktifkan hotspot melalui satu sentuhan, memindahkan fail menggunakan kaedah drag-and-drop serta memaparkan skrin telefon pada MacBook.
HONOR turut memperkenalkan fungsi One-Tap Share untuk perkongsian fail merentas jenama Android. Pengguna boleh berkongsi gambar atau fail dengan telefon pintar jenama lain seperti Xiaomi, OPPO dan vivo hanya dengan meletakkan kedua-dua peranti berdekatan dan melakukan gerakan leret ke atas, tanpa perlu memasang aplikasi tambahan.
Selain telefon pintar, HONOR Magic9 Pro Max juga bakal menyokong pemindahan rakaman daripada kamera aksi seperti Insta360 melalui fungsi One-Tap Transfer. Ini membolehkan pengguna memindahkan rakaman terus ke telefon untuk disemak atau disunting. Walau bagaimanapun, fungsi ini dijadualkan tersedia melalui kemas kini OTA.
Secara keseluruhannya, HONOR Magic9 Pro Max bukan sahaja menawarkan prestasi pemprosesan yang tinggi melalui Snapdragon 8 Elite Gen 6 Pro, malah turut dilengkapi pelbagai teknologi pengoptimuman untuk gaming, multitasking dan penggunaan harian. Gabungan MagicOS, AI Agents, AI Screen Suggestions serta sokongan keserasian merentas ekosistem menjadikan pengalaman penggunaan peranti ini lebih menyeluruh, khususnya bagi pengguna yang mahu memanfaatkan fungsi AI selain daripada sekadar menggunakan telefon untuk komunikasi dan hiburan.
Kamera
Salah satu tarikan utama HONOR Magic9 Pro Max terletak pada sistem kameranya yang dibangunkan dengan kerjasama ARRI. HONOR menggelarkan sistem ini sebagai Dual 200MP Cinematic ARRI Imaging, dengan gabungan perkakasan kamera beresolusi tinggi dan teknologi pengimejan sinematik yang berinspirasikan daripada industri produksi filem profesional.
HONOR Magic9 Pro Max memiliki tiga sensor dibelakang yang terdiri daripada sensor utama 200MP Ultra Night Main Camera dengan aperture f/1.57 dan jarak fokus setara 24mm. Kamera ini turut menyokong penstabilan setaraf gimbal sehingga 3 darjah dengan penarafan CIPA 8.0 bagi membantu menghasilkan gambar yang lebih stabil, khususnya ketika mengambil gambar dalam keadaan kurang cahaya.
Seterusnya, terdapat sensor 200MP Ultra Night Telephoto dengan ,maperture f/2.6 dan jarak fokus setara 85mm. Jarak fokus ini juga dianggap sebagai Golden Focal Length untuk fotografi potret. Menariknya, kamera telefoto ini turut mempunyai penarafan penstabilan CIPA 8.0 yang membolehkan pengguna mendapatkan gambar dengan lebih jelas dan mengurangkan kesan gegaran ketika melakukan zoom (sehingga 200x) .
Melengkapkan sistem kamera ini adalah sensor 50MP Ultra-Wide dengan aperture f/2.0 dan jarak fokus setara 12mm untuk rakaman gambar bersudut lebih luas. Untuk kamera hadapan pula, HONOR menyediakan sensor 55MP Selfie Camera dengan aperture f/2.0 serta sokongan Square Full Frame, yang merupakan antara ciri menarik untuk penghasilan kandungan swafoto.
HONOR turut melengkapkan sistem kamera ini dengan Array Zoom Flash yang menggunakan empat LED bagi membantu pencahayaan ketika mengambil gambar dalam keadaan gelap.
Bagi menyokong keupayaan sistem kamera sinematik ARRI pada HONOR Magic9 Pro Max, peranti ini turut dilengkapi dengan cip pengimejan khusus yang dibangunkan sendiri oleh HONOR, iaitu HONOR Imaging Chip H1. Cip ini dibina menggunakan proses binaan 6nm dengan tahap kecekapan tenaga setinggi 18.8 TOPS/W, membolehkannya memproses data imej dan video beresolusi tinggi dengan pantas tanpa menggunakan kuasa bateri yang berlebihan.
ARRI dan ARRI Cinema Mode
Apa yang menjadikan sistem kamera HONOR Magic9 Pro Max lebih menarik ialah kerjasamanya dengan ARRI, sebuah syarikat teknologi sinematografi dari Jerman yang terkenal dengan sistem kamera profesional ALEXA dan penghasilan filem bertaraf antarabangsa.
Melalui kerjasama ini, HONOR membawa kepakaran pengimejan ARRI ke dalam telefon pintar menerusi penggunaan ARRI Image Science, termasuk LogC3 Curve dan ARRI Looks. Matlamatnya adalah untuk memberikan hasil rakaman yang mempunyai karakter warna dan pendekatan visual lebih dekat dengan produksi sinematografi profesional.
Kerjasama ini turut diperluaskan kepada industri perfileman tempatan apabila HONOR Magic9 Pro Max dinamakan sebagai Official Cinematic Imaging Smartphone Partner untuk Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Antara ciri utama yang diperkenalkan ialah ARRI Cinema Mode, yang menawarkan beberapa pilihan ARRI Looks untuk pengguna menghasilkan rakaman video dengan karakter visual berbeza.
Untuk pilihan gaya sinematik, terdapat sembilan pilihan stylised looks iaitu Bright ARRI (2130), Textured ARRI (3110), Clear ARRI (5121), Pastel ARRI (6311), Vibrant ARRI (5210), Teal & Orange ARRI (3411), Humanist ARRI (3221), B&W ARRI (1111) dan Nostalgic ARRI (3220). Selain itu, mod ini turut menyediakan pilihan default look ARRI-ALEXA untuk pengguna yang mahukan karakter visual berasaskan gaya sinematografi ARRI.
Dengan pilihan ini, pengguna boleh mengubah karakter warna dan suasana rakaman secara terus tanpa perlu melakukan proses color grading secara manual selepas video dirakam.
Satu lagi ciri menarik ialah sokongan rakaman menggunakan ARRI LogC3. HONOR Magic9 Pro Max merupakan telefon pintar flagship pertama HONOR yang menyokong format APV 10-bit 4:2:2. Ia membolehkan rakaman LogC3 dibuat secara natif dengan maklumat warna yang lebih terperinci dan memberikan lebih banyak ruang untuk proses penyuntingan serta color grading.
Menariknya, penggunaan format APV ini juga dikatakan mampu mengurangkan penggunaan ruang storan sekitar 20% berbanding ProRes, sekaligus memberikan kelebihan kepada pengguna yang kerap menghasilkan kandungan video dan melakukan proses penyuntingan.
Rakaman Live Video Sinematik
Selain ARRI Looks, HONOR turut memperkenalkan fungsi 4K Cinematic Live Video yang membolehkan pengguna menghasilkan rakaman pendek berdurasi tiga saat dengan menekan butang rakaman selama tiga saat ketika menggunakan ARRI Look. Fungsi ini menyokong resolusi sehingga 4K serta dua pilihan nisbah aspek iaitu 16:9 dan 2.39:1.
Untuk rakaman video biasa, HONOR Magic9 Pro Max turut menyokong rakaman 4K pada 120fps bagi membolehkan pengguna menghasilkan video gerak perlahan dengan lebih lancar. Terdapat juga fungsi 4K Night Video yang menggunakan HONOR Imaging Chip H1 untuk mengekalkan perincian pada bahagian bayang-bayang ketika merakam dalam keadaan malam, sekali gus membantu menghasilkan rakaman yang lebih jelas.
Bagi mereka yang gemar menghasilkan video potret, HONOR turut menyediakan fungsi 4K Portrait Beauty yang direka untuk memberikan penampilan wajah lebih semula jadi dengan kesan kulit yang lebih lancar.
Mikrofon dan Rakaman Audio
Pengalaman menghasilkan video sinematik bukan hanya bergantung kepada kualiti visual, malah rakaman audio juga memainkan peranan penting. Menariknya, HONOR Magic9 Pro Max turut memperkenalkan Industry First Cinematic Directional Microphone yang memberikan lebih kawalan terhadap rakaman suara mengikut situasi dan jarak subjek.
Sistem mikrofon ini menyediakan empat pilihan audio preset iaitu Voice Boost, Long-Range, Voice Isolation dan Close Up. Setiap pilihan mempunyai kegunaan tersendiri, sama ada untuk meningkatkan kejelasan suara, merakam suara dari jarak jauh, mengasingkan suara daripada bunyi persekitaran atau memberikan tumpuan kepada audio subjek yang berada lebih dekat dengan telefon.
Selain empat preset tersebut, HONOR turut menyediakan Professional Custom Mode untuk pengguna yang mahu membuat tetapan audio secara lebih khusus mengikut keperluan rakaman.
Cinematic Creator Tools
Untuk memaksimumkan keupayaan sistem kamera sinematik ARRI pada HONOR Magic9 Pro Max, tiga aksesori fotografi dan videografi profesional turut diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pencipta kandungan yang berbeza.
Pertama ialah HONOR Teleconverter G200, iaitu lensa telefoto telefon pintar terkecil dan paling ringan yang berukuran hanya 81mm dengan berat 88g. Lensa ini menawarkan pembesaran 2.35x telefoto dengan jarak fokus sehingga 5,400mm, menjadikannya pilihan praktikal untuk dibawa ke mana-mana bagi kegunaan harian atau rakaman jarak sederhana.

Bagi pengguna yang memerlukan jarak zum ekstrem, HONOR Teleconverter G500 hadir sebagai lensa telefon pintar dengan jarak fokus terpanjang yang mampu mencapai 5.88x telefoto sehingga 14,000mm. Disebabkan saiznya yang jauh lebih besar berbanding model G200, ia direka untuk dipasang bersama sarung khas dan cengkaman (grip) bagi memastikan kestabilan optimum ketika merakam subjek jauh seperti pentas konsert, hidupan liar, dan pemandangan bandar.
Sementara itu, HONOR SmallRig Mobile Video Kit pula merupakan kelengkapan sangkar (rig) pegangan dua tangan yang dibina khusus untuk memberikan kawalan dan kestabilan lebih baik semasa merakam video sinematik. Kit ini memudahkan penghasilan video bertaraf profesional tanpa perlu risau mengenai gegaran tangan, di samping menyokong pemasangan aksesori tambahan seperti lampu dan mikrofon luaran.
Secara keseluruhannya, sistem kamera HONOR Magic9 Pro Max menawarkan lebih daripada sekadar sensor beresolusi tinggi. Gabungan dua kamera 200MP, sistem penstabilan CIPA 8.0, teknologi pengimejan ARRI, sokongan rakaman LogC3 serta pelbagai fungsi video sinematik menjadikan peranti ini mempunyai pakej yang menarik khususnya untuk pengguna yang gemar mengambil gambar dan menghasilkan kandungan video menggunakan telefon pintar.
Berikut adalah contoh gambar yang diambil menggunakan HONOR Magic9 Pro Max
Gambar yang menunjukkan kebolehan zoom Magic9 Pro Max
Gambar menggunakan sensor utama HONOR Magic9 Pro Max
Bateri
HONOR Magic9 Pro Max dilengkapi dengan bateri Silicon-Carbon berkapasiti besar 8,000mAh yang mempunyai ketumpatan tenaga tinggi sehingga 905Wh/L+. Ini juga bermaksud bahawa kadar kandungan silikon karbon pada bateri HONOR Magic9 Pro Max adalah setinggi 25%.
Dari segi pengecasan, telefon ini menyokong teknologi 100W HONOR SuperCharge melalui sambungan berwayar yang mampu mencapai pengecasan penuh didalam masa kurang 60 minit. Ia turut menyokong pengecasan tanpa wayar sehingga 80W HONOR SuperCharge.
Selain itu, HONOR Magic9 Pro Max turut menyokong pengecasan berbalik berwayar sehingga 27W dan pengecasan berbalik tanpa wayar untuk mengecas peranti lain yang serasi. Ini menjadikan telefon tersebut bukan sahaja boleh digunakan sebagai sumber kuasa untuk dirinya sendiri, malah boleh membantu mengecas aksesori atau peranti lain apabila diperlukan.

Penutup
Secara keseluruhannya, HONOR Magic9 Pro Max hadir sebagai sebuah telefon pintar flagship yang menawarkan pakej yang cukup menyeluruh. Sebagai model yang menandakan ulang tahun ke-10 siri flagship HONOR
Tarikan utamanya Magic9 Pro Max ini sudah tentunya pada sistem kamera hasil kerjasama dengan ARRI. Gabungan dua sensor 200MP, ARRI Image Science, pelbagai ARRI Looks serta sokongan rakaman video sinematik menjadikan aspek pengimejan antara kelebihan paling menarik pada peranti ini. Kerjasama tersebut juga memperlihatkan usaha HONOR untuk membawa pengalaman penghasilan kandungan yang lebih serius ke dalam sebuah telefon pintar.
Apa yang menarik, HONOR Magic9 Pro Max tidak sekadar mengejar angka spesifikasi tinggi. Sebaliknya, gabungan teknologi kamera ARRI, prestasi, ciri AI dan pengalaman multimedia menunjukkan usaha HONOR untuk membina identiti tersendiri dalam pasaran telefon pintar flagship yang semakin kompetitif.
HONOR Magic9 Pro Max telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 24 November 2026. Dari segi harga, telefon pintar flagship ini ditawarkan pada harga RM 5,999






















































