Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Samsung Galaxy A55 5G – Chasis Aluminium Premium, Cipset Exynos kembali dengan bergaya

Pengenalan

Selain Galaxy A35 5G, Samsung Galaxy A Series juga telah menyaksikan pelancaran Galaxy A55 5G sebagai model utama didalam siri midrange popular syarikat ini.

Samsung Galaxy A55 5G boleh dikatakan sebagai model yang diletakkan sebagai model peneraju yang akan membawa saingan syarikat ini didalam pasaran midrange dan ianya dilengkapi dengan beberapa upgrade yang boleh diberikan pujian.

Sebagai permulaan, Galaxy A55 5G menampilkan penggunaan kerangka keluli dengan panel gelas pada bahagian hadapan dan belakang yang turut dilapisi gelas keselamatan Corning Gorilla Victus+.

Selain itu, ianya juga tampil dengan cipset yang lebih berkuasa dan telah kembali menggunakan cip Exynos selepas menggunakan cip daripada MediaTek.

Terdapat banyak yang boleh diperkatan mengenai Galaxy A55 5G yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,999 dan tanpa membazirkan masa, jom teruskan membaca ulasan Galaxy A55 5G.

Reka Bentuk

Sejak beberapa tahun, rekaan Galaxy A Series boleh disalin terus daripad rekaan generasi terbaru telefon pintar flagship Galaxy S Series dan tahun ini juga tidak terkecuali.

Panel belakang Samsung Galaxy A55 5G ini memperlihatkan pertukangan premium Samsung walaupun pada telefon pintar kelas midrange. Galaxy A55 5G boleh dikatakan mengambil inspirasi dari reka bentuk Galaxy S24 dan Galaxy S24+ yang menampilkan panel berasaskan gelas.

Walaubagaimanapun, Galaxy A55 5G ini menampilkan gelas didalam warna-warna yang lebih berasaskan alam semula jadi seperti Awesome IceBlue, Awesome Lilac dan Awesome Navy.

Kerangka telefon pintar ini diperbuat daripada aluminium yang pasti disambut baik oleh pengguna dan ini adalah kali pertama keranga aluminium digunakan pada Galaxy A Series dan terdapat ianya tampil didalam kemasan ‘hairline metal finish’ bersama lekukan berhampiran bahagian butang kuasa dan kelantangan bunyi yang pasti memberikan cengkaman tambahan ketika peranti dipegang.

Seterusnya, Samsung juga menyertakan gelas keselamatan daripada Corning Gorilla Victus+ pada panel belakang yang mana ianya adalah tambahan berbanding pada Galaxy A35 5G yang hanya tampil dengan lapisan gelas Victus+ pada panel hadapan sahaja.

Dalam pada itu, Samsung Galaxy A55 5G masih mengekalkan penarafan kalis air dan habuk IP67 yang mana Samsung boleh dikategorikan sebagai antara syarikat yang pertama untuk menawarkan ciri ini pada peranti midrange.

Bercakap mengenai susunan butang dan slot, Galaxy A55 5G masih mengekalkan butang kuasa dan butang kelantangan bunyi pada sisi kanan manakala pada bahagian bawah terdapat slot USB-C bersama gril pembesar suara stereo dan lubang mikrofon. Slot SIM adalah pada bahagian atas rangka telefon pintar ini.

Ke bahagian hadapan, Samsung Galaxy A55 5G tampil dengan skrin paparan Infinity-O berukuran 6.6-inci dan ianya turut dikelilingi bezel yang tebal terutamanya pada bahagian bawah.

Selain itu, paparan Galaxy A55 5G ini adalah rata dan ianya dilapisi gelas keselamatan Corning Gorilla Glass Victus+ yang sudah pastinya lebih tahan lasak berbanding panel Gorilla Glass 5 yang digunakan pada A54 5G dan terdapat juga sensor capjari dalam skrin.

Seterusnya, Galaxy A55 5G mempunyai ukuran dimensi  161.1mm manakala ketebalan adalah 8.2mm dengan berat mencecah 213 gram.

Secara keseluruhan, penggunaan kerangka aluminium dengan kemasan hairline metal meletakkan Galaxy A55 5G telefon pintar Galaxy A Series yang paling cantik pernah dikeluarkan syarikat ini dan penggunaan panel keselamatan Victus+ sudah pastinya memberikan penggunaan ketenangan minda tambahan daripada calar dan retak yang sentiasa menghantui pengguna.

Skrin Paparan

Samsung Galaxy A55 5G tampil dengan skrin paparan AMOLED Infinity-O yang menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz.

Panel AMOLED pada Galaxy A55 5G ini juga menyokong kadar kecerahan maksima sehingga 1,000 nits yang  menawarkan kejelasan lebih baik dibawah cahaya matahari. Samsung Galaxy A54 5G juga tampil dengan ciri Vision Booster yang menggunakan algoritma  pelarasan tona warna mengikut kesesuaian keadaan cahaya persekitaran.

Selain itu, panel ini juga menyokong resolusi FHD+ dengan kepadatan piksel 403 ppi.

Seterusnya, pada bahagian tetapan terdapat juga dua pilihan warna skrin yang secara tradisinya ditawarkan pada Galaxy A Series iaitu Vivid untuk warna yang lebih tinggi dan Natural untuk warna yang lebih semulajadi.

Bagi tetapan kadar segar semula pula, anda diberikan dua tetapan iaitu Standard yang mengekalkan kadar 60Hz sepanjang masa manakala Adaptive memberikan anda kadar segar semula yang tersuai mengikut kandungan namun pada kadar 60Hz sehingga 120Hz.

Jika melihat pada semua ciri ini, Samsung dilihat telah mengekalkan panel skrin yang sama seperti pada Galaxy 54 5G namun ianya ditambah dengan lapisan gelas keselamatan Gorilla Victus+ yang pernah digunakan pada telefon pintar flagship Galaxy S22 Series.

Bagi kami, skrin paparan Galaxy A55 5G berada pada kelas yang tersendiri didalam pasaran midrange namun Samsung mungkin sudah boleh merancang untuk menggunakan panel yang mempunyai bezel skrin yang lebih nipis pada generasi akan datang dan kami yakin rata-rata pengguna pasti gembira jika ianya menjadi kenyataan.

Pemproses

Samsung Galaxy A55 5G menampilkan penggunaan cip terbaru syarikat ini iaitu Exynos 1480 yang turut disertakan bersama GPU Xclipse 530 yang berasaskan AMD RDNA2, 12GB RAM dan storan dalaman 256GB.

Jika tahun-tahun sebelum ini, cip Exynos sering dikaitman dengan masalah prestasi, kami tidak menghadapi sebarang isu sepanjang ulasan kami dan ini membuktikan bahawa Samsung telah menitikberatkan optimasi perisian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Setakat prestasi GPU, Galaxy A55 membawa sehingga 40% peningkatan berbanding Galaxy A54 dengan GPU Xclipse 530 yang dikuasakan AMD khususnya kerana   sistem penyejukan yang 74% lebih besar berbanding dengan Galaxy A54, Galaxy A55 juga menunjukkan kebolehan mengagumkan dalam mengekalkan suhu peranti walaupun ketika menjalankan penanda aras intensif pada ujian benchmark, dan pemanasan ketika penggunaan harian boleh dikatakan langsung tidak wujud.

Selain itu, Galaxy A55 5G juga memiliki ciri RAM Plus ( sehingga 8GB RAM tambahan) yang membolehkan anda menggunakan sedikit ruang storan dalaman sebagai RAM untuk operasi peranti yang lebih lancar dengan pembukaan lebih banyak aplikasi dilatar belakang tanpa memberikan sebarang kesan negatif kepada prestasi keseluruhan telefon pintar ini.

Bercakap mengenai UI yang disertakan pada Galaxy A55 5G, ianya menyamai apa yang ditawarkan pada Samsung Galaxy S24 Series iaitu One UI 6.1 yang berasaskan Android 14. One UI 6.1 memberikan antaramuka dan kegunaan yang sama seperti generasi sebelum ini dengan penambahan beberapa ciri baharu.

Lebih-lebih lagi, One UI boleh dikatakan antaramuka pengguna tersuai terbaik dalam landskap Android dan Samsung Galaxy A55 5G menawarkan kelancaran UI yang sama seperti pada peranti flagship Samsung.

Selain itu, Samsung masih mengekalkan komitmen untuk menawarkan sehingga 4 generasi kemaskini Android dan 5 tahun kemaskini keselamatan Android yang mana ianya tidak menyamai Galaxy S24 Series yang kini tampil dengan 7 tahun kemaskini Android.

Knox Vault

Buat pertama kali didalam sejarah Galaxy A Series, ciri keselamatan Knox Vault kini telah ditawarkan pada Galaxy A55 5G.

Knox Vault adalah sebuah ciri keselamatan yang menawarkan perlindungan automatik yang mudah, sentiasa aktif, daripada serangan perisian, terutamanya pada zaman hari ini di mana kita kerap menggunakan perbankan dalam internet dan ini mewujudkan banyak potensi untuk ditipu scammer.

Samsung Knox Vault ini membolehkan data pengguna disimpan secara berasingan daripada cipset utama dan ini melindungi data peribadi anda seperti pin, katalaluan, pattern, maklumat perbankan dan banyak lagi daripada diakses oleh orang tidak berkenaan didalam kejadian yang tidak diduga seperti kecurian peranti.

Selain itu, Samsung Knox Vault terdiri daripada Auto Blocker yang menawarkan tiga fungsi utama iaitu menyekat aplikasi yang tidak diketahui, mengaktifkan semakan keselamatan untuk aplikasi, menyekat arahan melalui kabel USB dan banyak lagi

Seterusnya, Knox Vault juga menawarkan ciri Smart Call yang akan mengenal pasti nombor yang menghubungi anda walaupun nombor tersebut bukan kenalan anda dan anda juga boleh menyekat nombor tersebut daripada menghubungi anda semula. Ciri ini boleh diaktifkan pada bahagian tetapan.

Satu lagi ciri yang ditawarkan adalah Secure Folder yang mewujudkan satu ruang peribadi yang disulitkan pada telefon pintar Samsung Galaxy anda dengan memanfaatkan platform keselamatan Samsung Knox.

Menariknya, aplikasi dan data dalam Secure Folder disimpan secara berasingan pada peranti dan mendapat lapisan keselamatan dan privasi tambahan, sekali gus melindungi daripada serangan digital yang tidak bertauliah.

Ini membolehkan anda menyimpan data peribadi seperti gambar, fail, memindahkan aplikasi perbankan ke Secure Folder, klon aplikasi kegemaran, pendua aplikasi anda dan log masuk menggunakan profil yang berlainan yang lebih selamat.

Dalam pada itu,Knox Vault ini disepadukan dalam storan bebas (siri A = Storan Knox Vault, Siri S = Pemproses Knox Vault + storan) yang memberikan perlindungan maksima daripada serangan fizikal dengan perisai fizikal yang terus menyulitkan dan melindungi data anda.

Jika penggodam telefon berjaya memperoleh akses  kepada peranti anda, mereka berpotensi melihat dan mengakses pelbagai jenis maklumat dan melakukan aktiviti berniat jahat namun dengan Knox Vault pengguna Galaxy A55 5G lebih terlindung daripada ancaman ini.

Kamera

Samsung Galaxy A55 5G  tampil dengan sensor utama 50MP yang baharu bersama sensor ultrawide 12MP dan sensor makro 5MP yang sama seperti pada Galaxy A54.

Ini bermaksud, penambahbaikan dari segi fotografi pada Galaxy A55 datang daripada penggunaan NPU yang lebih berkuasa sekaligus menawarkan struktur Nightography yang sama seperti pada Galaxy S Series.

Dalam pada itu, Galaxy A55 juga memiliki AI ISP: memberikan anda imej beresolusi tinggi dengan butiran yang lebih jelas walaupun anda mengambil gambar pada waktu malam.

Selain itu, gambar daripada sensor ultrawide 12MP juga ternyata baik walaupun tidak setaraf sensor utama dan tahap ketelitian gambar juga sedikit kurang.

Seterusnya, Samsung Galaxy A55 5G juga menyokong fotografi makro dengan penggunaan sensor 5MP yang ternyata mampu mengambil gambar makro yang lebih teliti dengan pada jarak dekat namun hanya pada jarak sekitar 4cm dengan fokus tetap.

Selain itu, Samsung juga menyertakan kamera selfie 32MP yang mampu memberikan anda fotografi swafoto yang memuaskan dan setaraf dengan generasi sebelum ini.

Lebih-lebih lagi, Galaxy A55 5G juga memiliki ciri Advanced Video Digital Image Stabilization (VDIS) yang membolehkan pengguna merakam video 4K yang lebih stabil dan vivid. Ianya juga menyokong pengambilan gambar Super HDR pada kadar 12-bit yang merupakan standard terbaik dipasaran yang memberikan pengoptimuman kontras warna yang lebih baik pada bahagian yang terang dan gelap.

Secara keseluruhan, prestasi sensor utama Galaxy A55 adalah baik. Gambar mempunyai perincian yang baik dengan julat dinamik pada waktu siang, manakala gambar pada waktu malam lebih kurang kekaburan dengan pengurangan kabur yang agresif.

Berikut adalah gambar yang diambil menggunakan Samsung Galaxy A55 :

Bateri

Samsung Galaxy A55 5G masih mengekalkan kapasiti standard pada telefon pintar iaitu 5,000mAh namun perbezaan cipset dan lain-lain komponen dalaman sudah pasti akan memberi impak kepada jangka hayat bateri telefon pintar ini.

Selain itu, Samsung Galaxy A55 5G juga disertakana sokongan pengecasan pantas 25W namun tiada adapter pengecasan disertakan didalam kotak pembelian dan pengecasan penuh mengambil masa melebihi 80 minit.

Dalam pada itu, Samsung juga menawarkan ciri Battery Protection pada bahagian tetapan dimana terdapat tiga tetapan bateri yang ada iaitu Basic, Adaptive dan Maximum.

Penutup

Samsung Galaxy A55 5G adalah model mercu didalam kelas midrange popular daripada syarikat gergasi Korea ini dan ianya menampilkan sesuatu yang terbaik jika anda masih belum mempunyai bajet untuk memiliki peranti flagship Samsung.

Tahun ini juga telah menyaksikan rekaan yang lebih premium dan cipset yang berkuasa serta ruang wap lebih besar yang menjadikan prestasi telefon pintar ini lebih stabil dan konsisten.

Walaubagaimanapun, masih ada ruang untuk penambahbaikan pada generasi seterusnya terutamanya pada bahagian kamera dan bezel skrin yang masih tebal.

Pada harga RM 1,999, Galaxy A55 5G adalah model yang boleh dipertimbangkan jika mereka mencari sebuah peranti midrange dibawah harga RM 2,000 namun pilihan dipasaran Android pada tahap harga ini adalah banyak.

Dapatkan Samsung Galaxy A55 5G di Samsung Online Store

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.