Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Samsung Galaxy A35 5G – Rekaan lebih bergaya, Keselamatan lebih terjamin dengan Knox Vault

Pengenalan

Saban tahun, pelancaran telefon pintar midrange daripada Samsung sentiasa memberikan pengguna kejutan yang positif dengan menawarkan lebih banyak nilai belian sekaligus meletakkanya sebagai antara peranti midrange tumpuan.

Tahun ini, Samsung telah memperkenalkan Galaxy A35 5G sebagai satu daripada dua model Galaxy A Series yang popular dikalangan pengguna global dan populariti siri ini di Malaysia juga tidak perlu dipersoal.

Samsung Galaxy A35 5G kini telah rasmi di Malaysia pada harga RM 1,699 yang mana ini memperlihatkan peningkatan sebanyak RM 100 berbanding Galaxy A34 5G namun persoalanya adalah samada telefon pintar ini berbaloi untuk dimiliki bagi pengguna yang mencari telefon pintar sekitar harga ini.

Untuk itu, kami telah memperoleh satu unit Galaxy A35 5G untuk diulas dan ini adalah ulasan bagi telefon pintar midrange terbaru Samsung.

Reka Bentuk

Sejak beberapa tahun, rekaan Galaxy A Series boleh dikatakan telah mewarisi rekaan telefon pintar flagship Galaxy S Series khususnya pada bahagian belakang.

Panel belakang Samsung Galaxy A35 5G ini memperlihatkan pertukangan premium Samsung walaupun pada telefon pintar kelas midrange. Galaxy A35 5G boleh dikatakan mengambil inspirasi dari reka bentuk Galaxy S24 dan Galaxy S24+ namun sudah pastinya telah melalui sedikit perubahan bagi menepati kos peranti ini.

Ini bermaksud Galaxy A35 5G menampilkan pengunaan panel belakang yang berasaskan gelas dengan kemasan yang berkilau namun pemilihan warna daripada Samsung memastikan kesan capjari tidak kelihatan terutamanya pada warna Awesome IceBlue yang merupakan warna unit kami.

Walaubagaimanapun, kami juga boleh mengesahkan bahawa kesan capjari tidak akan menonjol pada dua lagi warna yang ditawarkan pada Galaxy A35 5G ini iaitu Awesome Lilac dan Awesome Navy. Kerangka telefon pintar ini diperbuat daripada plastik dengan kemasan warna sama seperti panel belakang dengan lekukan berhampiran bahagian butang kuasa dan kelantangan bunyi.

Seterusnya, Samsung tidak menyertakan sebarang gelas keselamatan daripada Corning yang secara tradisinya membekalkan gelas keselamatan untuk peranti Samsung.

Dalam pada itu, Samsung Galaxy A35 5G masih mengekalkan pensijilan kalis air dan habuk IP67 yang amat jarang ditawarkan pada telefon pintar kelas midrange.

Lebih-lebih lagi, ukuran dimensi Galaxy A35 5G nampak sedikit berbeza apabila dibandingkan dengan generasi sebelum ini dimana ianya mempunyai ketebalan 8.2mm dengan berat 209 gram.

Beralih kepada bahagian hadapan pula, Galaxy A35 5G menampilkan reka bentuk yang telah di ubahsuai semula dimana ianya kini tampil dengan panel Infinity-O beralih daripada panel Infinity-V pada generasi sebelum ini.

Ini memberikan penampilan hadapan yang lebih premium  menjadikanya lebih mirip kepada Galaxy S Series. Lebih lanjut mengenai skrin pada bahagian seterusnya.

Skrin Paparan

Samsung Galaxy A35 5G menampilkan penggunaan skrin paparan Super AMOLED berukuran 6.6-inci yang menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz.

Panel ini menyokong resolusi FHD+ dengan kecerahan maksima mencecah 1,000 nits dan ianya turut mewarisi ciri Vision Booster yang merupakan teknologi pemetaan tona warna yang meningkatkan kadar keterlihatan skrin pada keadaan cahaya yang tinggi seperti dibawah cahaya matahari.

Seterusnya, pada bahagian tetapan terdapat juga dua pilihan warna skrin yang secara tradisinya ditawarkan pada Galaxy A Series iaitu Vivid untuk warna yang lebih tinggi dan Natural untuk warna yang lebih semulajadi.

Bagi tetapan kadar segar semula pula, anda diberikan dua tetapan iaitu Standard yang mengekalkan kadar 60Hz sepanjang masa manakala Adaptive memberikan anda kadar segar semula yang tersuai mengikut kandungan pada skrin namun kadar bingkai masih berada antara 60Hz sehingga 120Hz sahaja.

Satu lagi penambahbaikan baharu pada Galaxy A35 5G adalah penggunaan lapisan gelas keselamatan Corning Gorilla Glass Victus+ yang sudah pastinya memberikan perlindungan yang lebih menyeluruh dan kalis calar. Victus+ adalah gelas yang pernah digunakan pada Galaxy S22 Series yang mana ianya hanya mengambil masa 2 tahun untuk gelas flagship ini digunakan pada A Series.

Menyentuh sedikit mengenai bezel skrin, bagi kami Galaxy A35 5G masih memiliki bezel yang agak tebal pada kesemua sisi yang sedikit merencatkan penampilan keseluruhan telefon pintar ini dan mungkin sudah tiba Samsung memikirkan alternatif untuk menggunakan panel skrin yang mempunyai bezel lebih nipis atau beralih kepada penggunaan panel fleksible AMOLED.

Pemproses

Samsung Galaxy A35 5G menyaksikan syarikat kembali menggunakan cipset keluaran mereka yang tersendiri iaitu Exynos 1380 5G.

Cip 5nm ini secara keseluruhanya menjanjikan 18% peningkatan prestasi CPU dan 15% peningkatan prestasi GPU dan telah digunakan pada Galaxy A54 5G tahun lalu.

Ianya adalah cip octa-core berkelajuan 2.4GHz yang menawarkan prestasi cukup memberangsangkan. Samsung mendakwa bahawa Exynos 1380 ini penawarkan 81% peningkatan didalam prestasi NPU yang meningkatkan kuasa pemprosesan, pelancaran aplikasi yang lebih pantas dan prestasi gaming lebih baik.

Selain itu, Samsung juga telah menyertakan sistem penyejukan yang lebih besar pada Galaxy A35 5G ini iaitu sehingga 74% lebih besar (ruang wap) dan ini membolehkan pretasi telefon pintar ini lebih konsisten dan stabil walaupun ketika menjalankan aplikasi yang sangat intensif kuasa.

Seterusnya, cip Exynos 1380 ini juga dipadankan bersama 8GB RAM dan storan dalaman 256GB selain    sokongan kad microSD sehingga 1TB. Ini adalah satu-satunya varian yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

Selain itu, Galaxy A35 5G juga memiliki ciri RAM Plus yang membolehkan anda menggunakan sedikit ruang storan dalaman sebagai RAM untuk operasi peranti yang lebih lancar dengan pembukaan lebih banyak aplikasi dilatar belakang tanpa memberikan sebarang kesan negatif kepada prestasi keseluruhan telefon pintar ini.

Bercakap mengenai UI yang disertakan pada Galaxy A35 5G, ianya menyamai apa yang ditawarkan pada Samsung Galaxy S24 Series iaitu One UI 6.1 yang berasaskan Android 14. One UI 6.1 memberikan antaramuka dan kegunaan yang sama seperti generasi sebelum ini dengan penambahan beberapa ciri baharu.

Selain itu, Samsung masih mengekalkan komitmen untuk menawarkan sehingga 4 generasi kemaskini Android dan 5 tahun kemaskini keselamatan Android yang mana ianya tidak menyamai Galaxy S24 Series yang kini tampil dengan 7 tahun kemaskini Android.

Knox Vault

Buat pertama kali didalam sejarah Galaxy A Series, ciri keselamatan Knox Vault kini telah ditawarkan pada Galaxy A35 5G.

Knox Vault adalah sebuah ciri keselamatan yang menawarkan perlindungan automatik yang mudah, sentiasa aktif, daripada serangan perisian, terutamanya pada zaman hari ini di mana kita kerap menggunakan perbankan dalam internat dan ini mewujudkan banyak potensi untuk ditipu scammer.

Selain itu, Samsung Knox Vault terdiri daripada Auto Blocker yang menawarkan tiga fungsi utama iaitu menyekat aplikasi yang tidak diketahui, mengaktifkan semakan keselamatan untuk aplikasi, menyekat arahan melalui kabel USB dan banyak lagi.

Seterusnya, Knox Vault juga menawarkan ciri Smart Call yang akan mengenal pasti nombor yang menghubungi anda walaupun nombor tersebut bukan kenalan anda dan anda juga boleh menyekat nombor tersebut daripada menghubungi anda semula. Ciri ini boleh diaktifkan pada bahagian tetapan.

Lebih-lebih lagi, Knox Vault juga mempunyai ciri Knox Matrix iaitu penyulitan hujung ke hujung yang mempunyai data yang disimpan dalam awan dan tidak boleh dibuka melainkan dinyahsulit pada peranti yang didaftarkan.

Selain itu, Knox Vault ini membolehkan data pengguna disimpan secara berasingan daripada cipset utama dan ini melindungi data peribadi anda seperti pin, katalaluan, pattern, maklumat perbankan dan banyak lagi daripada diakses oleh orang tidak berkenaan didalam kejadian yang tidak diduga seperti kecurian peranti.

Dalam pada itu,Knox Vault ini disepadukan dalam storan bebas (siri A = Storan Knox Vault, Siri S = Pemproses Knox Vault + storan) yang memberikan perlindungan maksima daripada serangan fizikal dengan perisai fizikal yang terus menyulitkan dan melindungi data anda.

Jika penggodam telefon berjaya memperoleh akses  kepada peranti anda, mereka berpotensi melihat dan mengakses pelbagai jenis maklumat dan melakukan aktiviti berniat jahat namun dengan Knox Vault pengguna Galaxy A35 5G lebih terlindung daripada ancaman ini.

Kamera

Samsung Galaxy A35 5G kini menawarkan sistem kamera yang lebih berkemampuan dengan penggunaan sensor utama 50MP bersama sensor ultrawide 8MP sensor dan sensor makro 5MP. 

Dengan AI depth map yang dikuasakan oleh NPU berkuasa tinggi, Galaxy A35 5G menjanjikan fotografi malam yang lebih jelas dan memuaskan.

Satu lagi kelebihan yang dimiliki Samsung Galaxy A35 5G ini adalah optik pengstabilan imej (OIS) pada sensor utama memberikan sensor kamera telefon pintar  kebolehan fotografi  lebih baik dimana gegaran peranti dapat diatasi tanpa memberikan kesan kepada hasil gambar yang diambil.

Dalam pada itu, Galaxy A35 5G juga memiliki ciri Advanced Video Digital Image Stabilization (VDIS) yang membolehkan pengguna merakam video 4K yang lebih stabil dan vivid. Ianya juga menyokong pengambilan gambar Super HDR pada kadar 12-bit yang merupakan standard terbaik dipasaran yang memberikan pengoptimuman kontras warna yang lebih baik pada bahagian yang terang dan gelap.

Selain itu, Galaxy A35 5G juga memiliki ciri Edit Suggestion pada aplikasi Gallery yang menawarkan ciri fotografi seperti menggaburkan latar belakang, remaster, erase shadow dan banyak lagi.

Selain itu, Samsung juga telah menggunakan sensor selfie baharu pada Galaxy A35 5G iaitu sensor 13MP dengan aperture f/2.2.

Walaupun menampilkan sensor yang baharu, kamera Samsung Galaxy A35 5G dilihat menawarkan hasil gambar yang secara purata berada pada tahap memuaskan.

Berikut adalah gambar-gambar yang diambil menggunakan Samsung Galaxy A35 5G :

Bateri

Samsung Galaxy A35 5G masih mengekalkan kapasiti standard pada telefon pintar iaitu 5,000mAh namun perbezaan cipset yang baharu sudah pastinya memberikan kesan  kepada jangka hayat bateri telefon pintar ini.

Sepanjang penggunaan kami, Galaxy A35 5G dilihat mampu mengharungi satu hari penggunaan tanpa memerlukan sebarang pengecasan tambahan namun ianya bergantung kepada corak penggunaan pengguna.

Selain itu, Samsung Galaxy A34 5G menawarkan sokongan pengecasan pantas 25W namun tiada adapter pengecasan disertakan didalam kotak pembelian dan pengecasan penuh mengambil masa melebih 80 minit.

Dalam pada itu, Samsung juga menawarkan ciri Battery Protection pada bahagian tetapan dimana terdapat tiga tetapan bateri yang ada iaitu Basic, Adaptive dan Maximum.

Penutup

Samsung Galaxy A35 5G adalah sebuah peranti yang serba lengkap didalam pasaran midrange dan model ini boleh dikatakan lebih hampir kepada Galaxy A55 yang lebih premium.

Selain itu, penambahbaikan sensor utama bersama cipset yang lebih berkuasa dan lapisan gelas keselamatan Corning Glass Victus+ adalah antara yang patut diberikan pujian.

Dalam pada itu, penawaran ciri keselamatan Samsung Knox Vault juga sesuatu yang akan disambut bagi pengguna kerana ini memastikan pengguna Galaxy A Series juga terlindung ancaman dunia digital yang semakin teruk.

Akhir kata, Samsung Galaxy A35 kekal menarik secara keseluruhannya sebagai satu pakej midrange dan ianya pasti tidak akan mengecewakan mana-mana bakal pembeli.

Dapatkan Samsung Galaxy A35 5G di Samsung Online Store

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.