Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : HONOR Pad 9 – tablet harga berpatutan terbaik untuk hiburan dan kerja

Pengenalan

Jenama teknologi global yang semakin berkembang baru-baru ini telah melancarkan HONOR Pad 9 di Malaysia sebagai sebahagian daripada pelancaran yang telah menyaksikan syarikat ini memperkenalkan tiga telefon pintar flagship mereka iaitu HONOR Magic6 Pro, PORSCHE DESIGN HONOR Magic V2 RSR dan PORSCHE DESIGN HONOR Magic6 RSR

HONOR Pad 9 adalah tablet mampu milik daripada syarikat ini yang boleh dikatakan sebagai yang terbaik pernah dikeluarkan oleh syarikat ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Antara ciri yang pasti membuat bakal pembeli terpesona adalah skrin paparan 2.5K berukuran 12.1-inci dengan kadar segar semula 120Hz, UI MagicOS yang semakin matang dan sudah pastinya aksesori tambahan seperti HONOR Pad 9 Smart Bluetooth Keyboard dan stylus HONOR CHOICE Pencil.

HONOR Pad 9 kini ditawarkan di Malaysia didalam dua warna menarik iaitu Space Grey dan Cyan Lake pada harga RM1,499.

Mampukah HONOR Pad 9 memberikan persaingan kepada kebanyakkan tablet lain dipasaran seperti OPPO Pad Neo, Galaxy Tab Series atau iPad?, Jom kita baca ulasan tablet ini.

Reka Bentuk

HONOR Pad 9 menampilkan rekaan yang sangat premium dengan penggunaan aluminium unibodi yang mempunyai ketebalan 6.96mm.

Selain itu, kedudukan kamera belakang yang diletakkan pada bahagian tengah juga memberikan satu penampilan elegan dengan pilihan warna menarik seperti Space Grey dan Cyan Lake seperti unit ulasan kami.

Seterusnya, HONOR Pad 9 juga memiliki butang kuasa dan kelantangan bunyi pada sisi kanan yang diletakkan supaya ianya mudah dicapai pada mod landskap manakala slot USB-C diletakkan pada bahagian bawah tablet.

Dalam pada itu, Tablet terbaru HONOR Pad 9 ini memiliki 8 pembesar suara surround yang memberikan pengguna kualiti audio cinematik dan ianya turut telah menerima talaan audio HONOR Histen  yang membolehkan tablet menawarkan kesan bunyi 360° yang bertenaga dan dinamik.

Lebih lanjut, HONOR Pad 9 juga telah menerima pensijilan Hi-Res Audio untuk penghasilan audio dan bunyi lebih tulen merentasi pelbagai kandungan audio ketika mendengar muzik, menonton filem atau aktiviti multimedia lain.

Bercakap mengenai berat, HONOR Pad 9 memiliki berat sekitar 555 gram yang mana ianya adalah biasa bagi sebuah tablet dengan skrin bersaiz 12.1-inci namun bagi kami ianya selesa untuk dibawa kemana sahaja.

Secara keseluruhanya, tablet HONOR ini menawarkan rekaan yang elegan dan premium tanpa menjejaskan keselesaan penggunaan tidak kira apa kegunaan tablet ini.

Skrin Paparan

Salah satu kelebihan terbesar tablet ini adalah pada skrin dimana ianya adalah panel LCD berukuran 12.1-inci dengan sokongan kadar segar semula 120Hz.

Panel yang digunakan masih jenis LCD yang sudah pastinya mengekalkan tablet ini pada harga lebih berpatutan dan penggunaan panel OLED sudah pasti akan meletakkanya sebagai peranti premium dengan harga yang lebih tinggi.

Selain itu, skrin paparan ini memiliki resolusi 2560 x 1600 piksel dengan paparan 1.07 bilion warna dan HONOR juga telah menggunakan saiz bezel yang simetri pada semua sisi untuk mencapai nisbah skrin kepada badan yang cukup baik iaitu 88%.

Dari kecerahan skrin, HONOR Pad 9 menawarkan kecerahan maksima mencecah 500nits namun memiliki sokongan kadar segar semula 120Hz adalah sangat memuaskan dan visual juga lebih lancar.

Dalam pada itu, skrin paparan HONOR Pad 9 juga telah menerima 2 penarafan TÜV Rheinland iaitu TÜV Rheinland Low Blue Light dan TÜV Rheinland Flicker Free yang boleh mengurangkan cahaya biru dan kelipa. skrin  untuk meminimumkan ketegangan dan keletihan mata.

Untuk mencapai penarafan ini, HONOR telah teknologi Circadian Night Display , yang secara automatik mengubah paparan kepada warna yang lebih ‘warm’ untuk meningkatkan kualiti tidur. Apabila diaktifkan, ciri ini akan aktif secara automatik selepas matahari terbenam dan mencapai tahap paling tinggi pada jam 11 malam, membantu pengguna mencapai kualiti tidur yang lebih lama dan lebih baik.

Secara keseluruhan, paparan Honor Pad 9 menawarkan warna yang cukup tepat, dan ia juga mempunyai tahap kecerahan yang baik serta kadar segar semula 120Hz yang memastikan kandungan pada skrin sentiasa lancar dan jelas.

Pemproses

HONOR Pad 9 tampil dengan cip Snapdragon 6 Gen 1 yang dipadankan bersama 8GB RAM dan 256GB storan dalaman. HONOR juga menyertakan 8GB RAM tambahan melalui teknologi HONOR RAM Turbo.

Di atas kertas, cipset Snapdragon 6 Gen 1 bukan lah cipset kelas flagship yang menawarkan prestasi berkuasa tinggi namun ianya masih berkemampuan untuk menjalankan tugasan harian dengan mudah tidak kira hiburan, kerja dan sebagainya.

Menonton filem pada Pad 9 adalah pengalaman yang sangat memuaskan, ianya juga sangat sesuai untuk gaming ringan dan melayari internet. Walaubagaimanapun, melihatnya sebagai pengganti kepada komputer riba adalah tidak realistik walaupun ianya disertakan dengan papan kekunci Bluetooth.

Satu keluhan biasa pada tablet Android ialah antaramuka pengguna (UI) yang tidak menyeluruh dan perbandingan dengan iPad seolah tidak dapat dielakkan.

Sudah tentu, syarikat sentiasa telah memikirkan penyelesaian yang efektif, namun masih belum ada tablet Android yang menawarkan UI setaraf MagicOS 7.2 (Android 13) yang sangat lancar dan mesra pengguna.

HONOR menjanjikan pelbagai ciri tambahan yang berasaskan AI akan tiba ke tablet ini tidak lama lagi namun kini terdapat ciri seperti Magic Text yang membolehkan anda  untuk mengekstrak teks daripada imej, dokumen yang diimbas dan sebagainya.

Satu aplikasi yang pasti amat berguna bagi pengguna yang melakukan kerja pejabat pada tablet HONOR Pad 9 adalah HONOR Notes yang menawarkan kemudahan dan cara yang teratur untuk menyediakan akses luar talian kepada blog kegemaran, pautan web dan anotasi PDF, serta penyegerakan audio dan teks daripada aplikasi berbeza.

Selain itu, ciri Multi-window pada HONOR Pad 9 membolehkan pengguna melakukan berbilang tugas serentak yang pastinya meningkatkan produktiviti dan anda boleh membuka sehingga 4 aplikasi secara serentak. Dalam pada itu, App Extender membenarkan aplikasi sama dibuka pada dua window dan ini membolehkan anda melakukan dua tugas berbeza pada aplikasi yang sama.

Beralih kepada ciri HONOR Connect yang membolehkan peranti HONOR disambung antara satu sama lain dengan lebih mudah dan teratur. Ciri yang dikuasakan MagicRing membolehkan tablet Pad 9 digunakan bersama telefon pintar HONOR seperti Magic6 Pro yang membolehkan segala notifikasi, mesej, panggilan dan banyak lagi dilakukan terus pada tablet sahaja.

Satu lagi ciri didalam HONOR Connect adalah Network Sharing yang membolehkan anda berkongsi rangkaian internet mudah alih daripada telefon HONOR ke tablet dengan satu klik sahaja, MagicRing mendayakan sambungan dan kebenaran automatik, tanpa memerlukan kata laluan hotspot, sekaligus mewujudkan perkongsian data mudah alih tanpa kerumitan antara komputer riba, tablet dan telefon pintar.

Secara keseluruhanya, MagicOS 7.2 pada HONOR Pad 9 menawarkan pelbagai ciri baharu yang meningkatkan lagi pengalaman menggunakan peranti produktiviti seperti tablet ini dan kami juga teruja untuk melihat apa lagi yang akan ditawarkan oleh HONOR melalui ciri inovatif seperti HONOR Connect.

Bersama HONOR Pad 9, Anda juga boleh memadankanya dengan papan kekunci Bluetooth dan HONOR CHOICE Pencil yang menawarkan pengguna pengalaman seperti PC yang benar-benar mengasyikkan untuk kerja dan hiburan.

Selain itu,  Smart Bluetooth Keyboard ini menawarkan pengalaman menaip seperti komputer dengan reka bentuk kekunci 5 baris dan 1.6mm jarak kekunci yang memberikan anda pengalaman menaip seperti komputer. Satu kekurangan yang boleh kami rasai adalah ketiadaan trackpad pada papan kekunci ini namun ianya boleh digantikan dengan tetikus Bluetooth.

Dalam pada itu, HONOR CHOICE Pencil pula adalah stylus yang memiliki 4096 tahap tekanan yang merekodkan kekuatan dan sudut tulisan dengan tepat untuk pengalaman tulisan tangan yang tulen. Ianya juga disambung melalui Bluetooth namun pengecasan harus dilakukan berasingan melalui port USB-C.

Bateri

HONOR Pad 9 menampilkan kapasiti bateri yang sangat besar iaitu 8,300mAh yang mana satu pengecasan penuh membolehkan anda menikmati sehingga  11 jam penstriman video dalam talian, 8 jam permainan video, 11 jam melayari media sosial dan 15 jam penstriman muzik.

Selain itu, Pad 9 juga disertakan dengan pengecasan pantas 35W SuperCharge yang membolehkan anda mengecas tablet dengan lebih pantas khususnya kerana kapasiti bateri gergasi yang dimiliki tablet ini.

Penutup

HONOR Pad 9 boleh dikatakan sebagai tablet mampu milik terbaik daripada HONOR sejak syarikat ini kembali ke arena pasaran global beberapa tahun lalu.

Tidak dapat dinafikan masih ada kekurangan pada tablet yang memiliki harga RM 1,499 ini namun dengan UI  MagicOS 7.2 yang lebih menyeluruh dan pengalaman AI yang akan diperbaiki dari semasa ke semasa, tablet HONOR Pad 9 boleh diangkat sebagai sebuah tablet harga berpatutan yang patut anda miliki.

HONOR Pad 9 kini telah mula ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,499 dan ianya didatangkan dengan HONOR Pad 9 Smart Bluetooth Keyboard dan HONOR CHOICE Pencil secara percuma.

Dapatkan HONOR Pad 9 di laman rasmi HONOR Malaysia

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.