Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : HONOR X9 5G – peranti midrange mampu milik terbaru di Malaysia

Pengenalan

Honor secara rasminya telah mengumumkan penawaran telefon pintar Honor X Series di Malaysia yang mana ianya merupakan model telefon pintar pertama syarikat ini untuk memasuki pasaran tempatan.

Terdapat tiga model Honor X Series diperkenalkan iaitu Honor X7, Honor X8 dan Honor X9 5G yang merupakan model paling premium dan model yang akan kami ulas didalam artikel ini.

Honor X9 5G ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,299 dan telefon pintar ini juga dilancarkan di pasaran China sebagai Honor X30.

Tanpa melengahkan masa, mari kita terokai kehebatan dan kekurangan telefon pintar Honor X9 5G.

Reka Bentuk

Honor X9 5G menampilkan reka bentuk yang premium mirip Honor 50 Lite atau lebih dekat dengan Honor Magic4 Series dan tidak juga mengejutkan apabila telefon pintar ini turut dijual sebagai Honor Magic4 Lite dibeberapa pasaran Eropah.

Honor X9 memiliki reka bentuk modul kamera bulat yang unik dan terdapat juga penjenamaan Matrix AI Vision Camera.

Panel belakang Honor X9 5G ini juga melekung pada kedua-dua sisi yang memberikan cengkaman maksima ketika dipegang.

Selain itu, kemasan panel belakang yang berkilat juga bermaksud ianya adalah sangat mudah kotor dengan kesan capjari namun terdapat bekas silikon yang pasti akan digunakan untuk melindungi telefon pintar.


Pada bahagian sisi kanan, Honor X9 5G memiliki sensor capjari pada butang kuasa dan butang pelaras bunyi manakala pada bahagian bawah terdapat slot USB-C, gril pembesar suara mono dan slot SIM yang menyokong dwi-SIM sahaja.

Honor X9 5G adalah sebuah telefon pintar yang ringan iaitu dengan berat 189 gram dengan ketebalan 8.05mm.

Selain warna Ocean Blue seperti unit ulasan kami, Honor X9 5G juga ditawarkan didalam warna Titanium Silver dan Midnight Black.


Skrin Paparan

Honor X9 5G memiliki skrin paparan FHD+ berukuran 6.81-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Honor menawarkan tiga tetapan kadar segar semula iaitu Dynamic , High (120Hz) dan Standard (60Hz)

Panel skrin yang digunakan pada Honor X9 5G adalah jenis LCD dan bukanya AMOLED yang memberikan pengalaman visual yang lebih baik dan kami telah melihat banyak telefon pintar pada tahap harga ini tampil dengan skrin OLED.

Walaubagaimanapun, paparan LCD yang digunakan oleh Honor X9 5G ini memberikan penghasilan warna dan kadar kecerahan yang baik.

Selain itu, panel skrin ini juga mempunyai bezel sisi yang amat nipis sekaligus membolehkanya memiliki nisbah skrin kepada badan yang tinggi iaitu 94%.

Pemproses

Honor X9 5G tampil dengan cip pemprosesan Snapdragon 695 yang diperbuat daripada proses fabrikasi 6nm yang sangat efisien dan ianya adalah proses cipset yang digunakan pada telefon pintar kelas flagship beberapa tahun lalu.

Selain itu, bersama cip Snapdragon 695 ini, Honor X9 5G juga disertakan dengan 8GB RAM dan terdapat juga ciri HONOR RAM Turbo yang memberikan tambahan 2GB storan dalaman sebagai RAM sementara iaitu dari storan dalaman 128GB namun pengguna tidak diberikan pilihan untuk menyahaktifkan ciri HONOR RAM Turbo ini.

Dalam pada itu, bersama cip Snapdragon 695 ini juga disertakan GPU Adreno 619 untuk tugas grafik intensif.

Beralih kepada antaramuka, Honor X9 5G memiliki antaramuka Magic UI 4.2 yang berasaskan Android 11. UI ini adalah sangat stabil dan Honor harus diberikan pujian kerana tiada sebarang kebanjiran aplikasi pihak ketiga.

Akhir sekali, kombinasi cip Snapdragon 695 dan Magic UI 4.2 membolehkan pengguna menikmati prestasi telefon pintar yang stabil dan konsisten tanpa sebarang masalah sepanjang digunakan.

Selain itu, Honor X9 5G juga menyokong Wi-Fi 2.4 GHz dan 5 GHz, Bluetooth 5.1 dan NFC.


Kamera

Honor X9 5G menampilkan tetapan tri-kamera yang dikenali sebagai Matrix AI Vision Camera.

Ianya dilengkapi satu sensor utama 48MP bersama dua sensor 2MP iaitu sensor makro dan sensor depth 2MP. Ianya juga dilengkapi satu flash LED.

Sensor utama yang dimiliki Honor X9 5G tidak memiliki OIS namun ianya masih mampu memberikan anda hasil fotografi yang baik sesuai dengan reputasinya sebagai telefon pintar midrange.

Dalam pada itu, Honor X9 5G juga memiliki kamera selfie 16MP dengan mod portrait.


Bateri

Honor X9 5G memiliki bateri berkapasiti 4,800mAh yang mana kapasiti ini sedikit rendah berbanding kebanyakkan peranti midrange dipasaran yang hadir dengan bateri sekitar 5,000mAh.

Walaubagaimanapun, kekurangan ini ditebus apabila Honor menyertakan pengecasan pantas 66W Honor SuperCharge yang mampu memberikan anda pengecasan ke tahap 81% didalam masa 30 minit sahaja.


Penutup

Honor X9 5G terbukti sebagai sebuah telefon pintar yang menawarkan pengguna satu pakej serba lengkap.

Kualiti reka bentuk dan ketahanan Honor X9 5G ini juga kena dengan slogan nya iaitu Lagi Pantas, Lagi Best.

Honor X9 5G kini ditawarkan untuk pembelian pada harga RM 1,299 dan setiap pembelian juga akan menerima hadiah percuma bernilai RM 298 iaitu satu unit Honor Choice Earbuds X dan tambahan satu tahun waranti.

Beli Honor X9 di SINI

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.