Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

Ulasan Asus ZenFone 4 Selfie Pro – Fotografi Selfie Tahap Baru

Asus ZenFone 4 Selfie Pro

Pendahuluan

Pada tahun 2015, Asus boleh dikatakan sebagai antara syarikat pertama didunia untuk melancarkan telefon pintar yang memfokuskan kepada golongan generasi selfie melalui Asus ZenFone Selfie.

Malangnya, selepas itu Asus tidak meneruskan model susulan bagi ZenFone Selfie yang menyebabkan pasaran selfie kini didominasi oleh telefon pintar dari Oppo dan Vivo.

Tahun 2017 menyaksikan Asus kembali bersaing didalam pasaran telefon pintar pro selfie dengan pelancaran Asus ZenFone 4 Selfie Pro walaupun pada pendapat kami Asus sekarang jauh ketinggalan dibelakang dua syarikat ( didalam pasaran selfie) yang kami senaraikan di atas ☝🏻

Asus ZenFone 4 Selfie Pro adalah salah satu daripada model didalam siri ZenFone 4 yang dilancarkan baru-baru ini bersama-sama ZenFone 4, ZenFone 4 Pro, ZenFone 4 Selfie dan ZenFone 4 Max Pro.

Reka bentuk

Asus ZenFone 4 Selfie Pro hadir dengan reka bentuk berasaskan keluli unibodi dengan sisi yang bulat. Pengunaan sebelah tangan ZenFone 4 Selfie Pro ini adalah sangat selesa dan posisi dan saiz butang kuasa dan bunyi adalah sangat ergonomik.

Walaubagaimanapun, apabila anda menggunakan Asus ZenFone 4 Selfie Pro ini bersama perkakas jeli yang disertakan didalam kotak, butang dilihat sedikit sukar untuk ditekan ( mungkin akan lebih baik apabila digunakan untuk tempoh masa yang lebih lama)

Asus ZenFone Selfie Pro mempunyai ketebalan 6.8mm dengan berat 147gram.

Asus ZenFone 4 Selfie Pro juga memiliki sensor capjari yang diletakkan pada butang dihadapan. Butang ini tidak boleh diketik dan mempunyai fungsi untuk kembali ke laman utama dan pengaktifan Google Assistant dengan menekanya secara berterusan.

Pada bahagian belakang, Asus ZenFone 4 Selfie memiliki gelung kamera unik Asus namun lensa ini sedikit terbonjol keluar dari badan.

Prestasi dalaman

Asus ZenFone 4 Selfie Pro hadir dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 625 yang merupakan pemproses kelas pertengahan dan ianya dipadankan dengan 4GB RAM dan 64GB memori simpanan dalaman (Hanya 51.77GB boleh diakses oleh pengguna)

Walaupun bukan pemproses siri 8 Qualcomm, SD 625 dilihat mampu memainkan permainan video yang memerlukan kuasa pemprosesan tinggi tanpa sebarang masalah dan percubaan memainkan permainan video Asphalt Extreme selama 10 minit juga membuktikan rangka ZenFone 4 Selfie Pro tidak mudah panas.

Kamera hadapan ZenFone 4 Selfie Pro yang turut hadir dengan flash selfie lembut

Kamera

Dengan mendengar nama model ini sahaja anda sudah pasti tahu apakah fokus atau kelebihan yang dimiliki oleh Asus ZenFone 4 Selfie Pro ini.

Asus ZenFone 4 Selfie Pro ini memiliki kamera berkembar dihadapan yang hadir dengan pelbagai ciri yang membolehkan anda mengubah kontur wajah anda lebih dari yang pernah anda bayangkan.

Unit kamera hadapan Asus ZenFone 4 Selfie Pro adalah 12MP dengan aperture f/1.8 sebagai sensor utama diikuti satu sensor lensa lebar 5MP dengan aperture f/2.2 yang mempunyai tugas untuk pengambilan Wefie selain flash lembut LED.

contoh gambar selfie yang diambil melalui kamera hadapan

Asus ZenFone 4 Selfie Pro juga hadir dengan mod kamera 24MP teknologi DuoPixel dengan menggunakan sensor kamera yang dibekalkan oleh Sony (IMX362) dan teknologi SuperPixel Asus.

Asus ZenFone 4 Selfie Pro ini hadir dengan fungsi Beautify secara automatik dan jika anda mahu mempunyai sentuhan yang lebih peribadi, Asus telah menawarkan fungsi manual yang membolehkan anda menetapkan tona kulit, melembutkan kulit wajah, mencerahkan kulit, membesarkan mata anda dan mengecilkan dagu anda ( semua pada skala 1-10).

Aplikasi Selfie Master yang turut hadir bersama-sama Asus ZenFone 4 Selfie Pro

Selain itu, Asus ZenFone 4 Selfie Pro ini juga memiliki mod beautify live yang membolehkan anda menggunakan mod kecatikan ini ketika membuat video secara langsung di Facebook, YouTube dan Instagram.

Asus ZenFone 4 Selfie Pro ini juga hadir dengan sokongan mod gambar potrait seperti pada kamera profesional DSLR dimana latar belakang gambar dikaburkan. Mod ini boleh digunakan pada kamera biasa dan juga kamera lensa lebar namun ianya tidak ditawarkan ketika pengambilan gambar DuoPixel.

Asus ZenFone 4 Pro Selfie juga memiliki aplikasi Selfie Master yang mana ianya membolehkan anda lebih kreatif menggunakan gambar yang diambil ( collage dan slideshow) selain pengunaan beautify live untuk aplikasi sosial media yang popular.

Wefie lensa lebar

Selain itu, Asus ZenFone 4 Selfie Pro juga memiliki sokongan rakaman 4K pada kamera hadapan dan belakang.

Kamera belakang Asus ZenFone 4 Selfie Pro

Beralih kepada kamera belakang yang dimiliki oleh Asus ZenFone 4 Selfie Pro, ianya hadir dengan kamera 16MP yang turut dibekalkan oleh Sony dengan mod pengambaran Auto , Beauty, Potrait, Pro, Super Resolution, Animasi GIF, Panorama, Video gerak perlahan, Time Lapse dan 9 penapis gambar.

Memandangkan saya bukanlah seorang yang gemar mengambil gambar selfie, Kamera belakang Asus ZenFone 4 Selfie Pro ini dilihat mencukupi untuk pengunaan harian saya dan saya juga kagum dengan kebolehan yang dimiliki kamera ini.

Gambar yang diambil dengan keadaan cahaya yang sesuai dilihat amat teliti dan saya telah sertakan beberapa gambar yang diambil sepanjang pengunaan telefon pintar ini.

Butang ‘Home’ Asus ZenFone 4 Selfie Pro yang turut mempunyai fungsi sebagai sensor capjari

Prestasi dan bateri

Asus ZenFone 4 Pro Selfie hadir dengan ZenUI 4.0 yang boleh dikatakan antara UI Asus yang paling ‘bersih’ tanpa aplikasi pihak ketiga. ZenUI 4.0 ini adalah berasaskan Android 7.1 Nougat dengan kemaskini Android 8.0 Oreo bakal tiba tidak lama lagi.

Asus ZenFone 4 Selfie Pro ini juga hadir dengan bateri berkapasiti 3,000mAh dengan pengecasan pantas yang disertakan dengan hanya pengunaan pengecas 5V 2A ( tiada sokongan Qualcomm Quick Charge) dengan slot USB 2.0.

ZenUI 4.0 lebih ‘bersih’ berbanding ZenUI yang lain

Hasil ujian kami bateri Asus ZenFone 4 Selfie Pro ini mampu bertahan sehingga 9 jam pengunaan harian dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar 2 jam 30 minit untuk pengecasan penuh.

Asus ZenFone 4 Selfie Pro telah membawa pengambaran selfie ke tahap yang baru

Penutup

Pada pendapat kami Asus ZenFone 4 Pro Selfie berjaya melakukan apa yang diinginkan oleh pemilik telefon pintar ini iaitu penawaran kamera selfie yang memberikan pengguna pelbagai kebebasan untuk ‘memperlihatkan’ diri mereka dengan lebih cantik dan sempurna.

Asus ZenFone 4 Selfie Pro telah membawa fotografi selfie ini ke satu tahap baru dengan lebih banyak kebebasan ditawarkan kepada pengguna untuk memilik efek selfie yang mereka minati.

Antara yang boleh diperbaiki pada Asus ZenFone 4 Selfie Pro adalah kamera lensa lebar yang mana ianya sudah pasti lebih baik jika ditawarkan dengan resolusi yang lebih tinggi.

Asus ZenFone 4 Selfie Pro kini ditawarkan di Malaysia pada harga penjualan RM 1,799 dan anda juga kini mempunyai peluang untuk memenangi satu Asus ZenFone 4 Selfie Pro secara percuma. maklumat lanjut untuk anda memenangi Asus ZenFone 4 Pro secara percuma boleh diketahui di Sini

Berikut adalah gambar-gambar yang diambil menggunakan Asus ZenFone 4 Selfie

Comments

comments