Celcom, Digi , Maxis dan U Mobile (“MNO”) belum bersetuju dengan terma utama Tawaran 5G oleh DNB
4 syarikat telekomunikasi utama negara iaitu Celcom, Digi , Maxis dan U Mobile (“MNO”) dilaporkan masih belum bersetuju dengan terma utama Tawaran Akses Rujukan (“RAO”) yang telah diterbitkan oleh Digital Nasional Berhad (“DNB”) baru-baru ini dan bersependapat bahawa persetujuan bersama DNB dan SKMM adalah langkah penting sebelum perbincangan Perjanjian Akses komersial boleh dimulakan.
MNO dan SKMM kini masih dalam fasa perbincangan untuk penjelasan lebih lanjut atas beberapa butiran dalam RAO yang telah diterbitkan.
Laporan penganalisis baru-baru ini boleh dianggap sebagai mencadangkan topik terbuka antara DNB dan pelanggan utama DNB telah diselesaikan, bagaimana pun tafsiran ini tidak tepat.
MNO bersependapat bahawa kebanyakan dari kebimbangan dan isu yang dibincangkan oleh SKMM dan DNB sebelum ini masih belum diselesaikan dalam dokumen semasa, termasuklah prinsip utama yang dicadangkan agar RAO selaras dengan amalan terbaik industri.
Akibatnya, RAO dalam bentuk terbitan semasanya tidak akan menawarkan perkhidmatan 5G yang berpatutan dan berkualiti untuk rakyat dan perniagaan di Malaysia, dan akan menghalang pecutan perkhidmatan dan penembusan 5G di negara ini.
MNO kekal komited untuk meneruskan perbincangan dengan SKMM dan industri mengenai RAO, dan berharap dapat memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan 5G selaras dengan cita-cita digital negara.
5G akan membawa manfaat yang besar kepada perniagaan, pelanggan dan Kerajaan dalam memperkukuh daya saing negara di rantau ini.