OPPO Perkenal ColorOS 17, Tampil Lebih Lancar Dengan Ciri AI Baharu

OPPO hari ini memperkenalkan ColorOS 17, sistem operasi mudah alih terbaharunya yang menawarkan prestasi lebih lancar, animasi lebih semula jadi serta ciri kecerdasan buatan (AI) yang lebih pintar.
ColorOS 17 akan diperkenalkan menerusi siri OPPO Find X10 yang akan datang sebelum dikemas kini secara berperingkat kepada lebih banyak peranti OPPO di seluruh dunia.
Reka Bentuk Baharu dan Prestasi Lebih Lancar
ColorOS 17 memperkenalkan Living Flow Design, pendekatan reka bentuk baharu yang menjadikan interaksi pada telefon lebih lancar dan responsif. Ia menggabungkan visual lutsinar, animasi yang lebih semula jadi serta tindak balas sentuhan yang lebih dinamik untuk memberikan pengalaman penggunaan yang lebih intuitif.
OPPO turut memperkenalkan Unified Rendering Architecture yang menggabungkan proses pemaparan grafik bagi meningkatkan kecekapan sistem. Berbanding generasi sebelumnya, teknologi ini mampu mengurangkan beban pemaparan sehingga 30% dan penggunaan RAM untuk pemaparan sehingga 25%.
Selain itu, Laminar Flow Engine yang dinaik taraf membantu mengurus sumber sistem dengan lebih cekap. Kestabilan pelancaran aplikasi meningkat sebanyak 55%, manakala pemuatan thumbnail dalam Gallery boleh menjadi sehingga 50% lebih pantas ketika dibuka buat kali pertama.
Sistem ini juga mampu mengekalkan lebih 25% aplikasi tambahan di latar belakang ketika multitasking. Malah, ujian simulasi penggunaan selama enam tahun menunjukkan ColorOS 17 mampu mengekalkan lebih 90% kelancaran asalnya walaupun storan telah mencapai kapasiti 90%.
Ciri AI Lebih Pintar dan Praktikal
ColorOS 17 memperluaskan keupayaan OPPO AI dengan ciri yang bukan sekadar menjawab pertanyaan, malah membantu pengguna menyelesaikan tugasan secara automatik.
Antara ciri utama yang diperkenalkan ialah:
- AI Mind Pilot: Mod Agent baharu membolehkan AI mencari dan menyusun fail, menamakan semula dokumen berdasarkan kandungannya serta menghasilkan bahan seperti jadual perjalanan dan laman web. Ia juga boleh mencari gambar daripada sesuatu perjalanan dan menyusunnya ke dalam album.
- AI Photo Agent: Memudahkan penyuntingan gambar menggunakan arahan teks atau imej rujukan. AI boleh menyesuaikan warna dan suasana gambar mengikut gaya yang dikehendaki sambil mengekalkan penampilan semula jadi.
- AI Mind Space: Hab maklumat peribadi yang boleh menyimpan dokumen dan pautan video, kemudian menyusunnya secara automatik menjadi koleksi serta ringkasan yang mudah dicari. Ia turut boleh membantu merancang perjalanan berdasarkan maklumat yang disimpan.
- AI Mind Suggest: Memberikan cadangan dan maklumat mengikut konteks, termasuk ringkasan pagi, peringatan perjalanan serta maklumat penerbangan dan tren. Ia juga boleh mencadangkan muzik apabila fon telinga disambungkan.
- OSee: Menggabungkan fungsi AI visual untuk mengenal pasti objek, mencari maklumat, menganalisis nutrisi, mengimbas dokumen dalam resolusi tinggi dan menterjemah teks melalui satu pengalaman bersepadu.
Keselamatan dan Privasi Dipertingkatkan
OPPO turut memberikan perhatian kepada aspek keselamatan data menerusi Private Computing Cloud yang melindungi pemprosesan AI berasaskan awan menggunakan penyulitan hujung ke hujung.
ColorOS 17 juga memperkenalkan keupayaan keselamatan pascakuantum baharu untuk mengukuhkan perlindungan data ketika dihantar antara peranti dan awan.
Pengguna kini boleh menyemak Transparency Report untuk mengetahui perkhidmatan AI yang digunakan, masa akses serta operasi yang dilakukan terhadap data mereka.
Sementara itu, ciri AI Call Guard menggunakan AI pada peranti untuk memantau panggilan secara masa nyata dan memberi amaran tentang kemungkinan penipuan, termasuk penggunaan suara sintetik dan teknik pertukaran wajah berasaskan AI.
ColorOS 17 akan ditawarkan bermula dari siri OPPO Find X10 sebelum diperluaskan secara berperingkat kepada peranti OPPO lain yang disokong.




