Lenovo K4 Note dilancarkan secara rasmi – harga sekitar RM 782
Seperti yang diumumkan sebelum ini, Lenovo secara rasminya telah melancarkan telefon pintar K4 Note di India dengan harga penjualan Rs 11,999 (RM 782)
Lenovo K4 Note hadir sebagai pengganti kepada model K3 Note yang popular dan model baru ini hadir dengan penambahbaikan spesifikasi dan reka bentuk.
Bercakap mengenai reka bentuk, Lenovo K4 Note hadir dengan reka bentuk berasaskan keluli dan terdapat juga sensor capjari pada bahagian belakang selain dua pembesar suara 1.5W dengan teknologi audio Dolby Atmos.
Lenovo K4 Note hadir dengan skrin paparan 1080p berukuran 5.5-inci yang hadir dengan kepadatan piksel 441ppi dan terdapat juga gelas perlindungan Gorilla Glass 3 daripada Corning.
Beralih kepada pemproses, Lenovo K4 Note memiliki pemproses MT6753 daripada MediaTek yang mempunyai kelajuan 1.3GHz, GPU Mali T720 MP3, 3GB RAM dan memori simpanan dalaman 16GB yang boleh ditambah lagi dengan kad microSD.
Beralih kepada unit kamera yang dimiliki oleh Lenovo K4 Note, ianya hadir dengan kamera utama 13MP f/2.2 yang turut dilengkapi dengan teknologi pemfokusan PDAF dan lampu flash LED. Kamera selfie yang dimiliki oleh K4 Note ini adalah kamera 5MP.
Selain itu, Lenovo K4 Note juga hadir dengan bateri berkapasiti 3300mAh, NFC, Bluetooth 4.0 LE, 4G LTE pada kedua-dua slot sim dan Wi-Fi 802.11 ac
Selain itu, Lenovo juga memperkenalkan satu teknologi baru yang dikenali sebagai ‘TheaterMax’ pada K4 Note, teknologi ini membolehkan mana-mana kandungan multimedia ditukarkan kepada kandungan realiti maya (VR).
Disebabkan ini, Lenovo juga mengambil kesempatan untuk melancarkan VR mereka hasil kerjasama dengan Ant VR khas untuk K4 Note dan ianya ditawarkan pada harga penjualan yang sangat murah iaitu hanya Rs. 1,299 (RM 84).
Lenovo K4 Note akan mula ditawarkan mulai 19 Januari 2016 secara eksklusif melalui Amazon India dan pendaftaran bagi penjualan ini akan dibuka hari ini.
Selain pasaran India, Lenovo tidak mengumumkan samada model ini akan ditawarkan di pasaran antarabangsa termasuk di Malaysia.