Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Samsung Galaxy A33 5G – Kecil Berkuasa

Pengenalan

Siri telefon pintar midrange daripada Samsung bagi tahun 2022 iaitu Galaxy A Series telah dilancarkan secara rasmi dengan reka bentuk yang lebih premium dan cip pemprosesan lebih berkuasa.

Tiga model didalam Samsung Galaxy A Series adalah Samsung Galaxy A33 5G, Samsung Galaxy A53 5G dan Samsung Galaxy A73 5G.

Model yang akan kami tumpukan pada ulasan kali ini adalah Samsung Galaxy A33 5G yang merupakan model entry level didalam siri Galaxy A yang ditawarkan pada harga RM 1,499.

Isi Kandungan Kotak Samsung Galaxy A33 5G

Apabila dibandingkan dengan harga generasi sebelum ini, Samsung Galaxy A33 5G ini adalah lebih mahal namun apabila dibandingkan dengan spesifikasi yang ditawarkan,ianya dilihat sebagai satu telefon pintar yang berbaloi untuk dimiliki.

Berikut adalah ulasan Samsung Galaxy A33 5G yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,499

Jika anda meminati Samsung Galaxy A53 5G, anda boleh membaca ulasanya di SINI

Reka Bentuk

Seperti tahun sebelum ini, Samsung Galaxy A Series mewarisi sedikit sebanyak reka bentuk Galaxy S Series dan Samsung Galaxy A33 5G ini juga tampil dengan reka bentuk yang sama seperti model Galaxy A Series 2022 yang lain walaupun ianya merupakan model termurah didalam keluarga ini.

Samsung Galaxy A33 5G ditawarkan dalam empat warna iaitu Awesome Blue, Awesome Black, Awesome White dan Awesome Peach

Samsung Galaxy A33 5G hadir dengan panel yang diperbuat daripada plastik dengan kemasan matte yang memastikan tiada sebarang kesan capjari kelihatan.

Beralih kepada bahagian sisi, Samsung masih menggunakan rangka yang berasaskan plastik namun dengan kemasan berkilat dan telefon pintar ini juga mempunyai pensijilan kalis air dan habuk IP67 yang telah ditawarkan pada generasi sebelum ini.

Samsung Galaxy A33 5G juga disertakan dengan lapisan gelas keselamatan Corning Gorilla Glass 5 yang memberikan ketahanan tinggi kepada telefon pintar.

Selain itu, pada bahagian sisi kanan, terdapat butang kuasa kelantangan suara yang sangat responsif.

Pada bahagian bawah pula, Galaxy A33 5G tidak lagi menawarkan bicu audio 3.5mm, dan ini bermaksud hanya slot USB-C dan sistem pembesar suara sahaja yang ada pada bahagian ini.

Samsung Galaxy A53 5G mempunyai speaker stereo Dolby Atmos untuk pengalaman multimedia yang lebih memuaskan.

Dalam pada itu, ketiadaan bicu audio 3.5mm membolehkan slot SIM dipindahkan ke bahagian bawah dan ianya menyokong dua Nano SIM atau satu SIM dan satu kad microSD yang memberikan anda tambahan storan sehingga 1TB.

Memandangkan storan dalaman Samsung Galaxy A33 5G ini hanya 128GB, terdapat keperluan untuk menggunakan kad microSD bagi kebanyakkan pengguna.

Akhir sekali, Samsung Galaxy A33 5G mempunyai ukuran dimensi 159.7 x 74.0 x 8.1mm dengan berat 186 gram dan Samsung juga berjaya menyertakan bateri 5,000mAh (bateri sama seperti pada Galaxy A53 5G) yang lebih besar pada rangka yang lebih kompak.

Skrin Paparan

Samsung Galaxy A33 5G menampilkan skrin paparan Infinity-U berukuran 6.4-inci dan ianya adalah panel Super AMOLED yang menawarkan anda resolusi FHD+ dengan kepatan piksel 411ppi.

Dalam pada itu, skrin paparan ini juga menempatkan sensor capjari optikal didalam skrin yang pantas dan mampu mengesan capjari dengan efektif.

Skrin 6.4-inci yang dimiliki Samsung Galaxy A33 5G dilihat sebagai saiz paling ideal untuk penggunaan yang selesa dan ianya pasti menjadi pilihan bagi pengguna yang mahu sebuah peranti yang kompak namun bezel pada sekeliling skrin Galaxy A33 5G ini masih tebal khususnya pada bahagian atas dan bawah skrin.

Satu lagi tambahan pada skrin ini adalah sokongan kadar segar semula yang lebih tinggi iaitu pada kadar 90Hz yang lebih baik dari panel 60Hz.

Pujian juga boleh diberikan kepada Samsung kerana menawarkan skrin paparan AMOLED 90Hz pada Samsung Galaxy A33 5G kerana kebanyakkan telefon pintar pada kategori ini tidak disertakan dengan ciri ini (jika panel OLED digunakan, ianya akan mempunyai kadar 60Hz, jika kadar segar semula yang lebih tinggi disertakan, panel LCD akan digunakan).

Pada Galaxy A33 5G, Samsung menawarkan dua kategori kadar segar semula pada bahagian tetapan iaitu Smooth untuk pengalaman skrin 90Hz sepanjang masa dan Standard yang menetapkan kadar segar semula pada 60Hz sahaja. Kadar 60Hz sudah pastinya menawarkan anda penggunaan bateri yang lebih cekap.

Panel skrin Samsung Galaxy A33 5G ini juga menawarkan kecerahan maksima 800nits yang memastikan penggunaan peranti dibawah cahaya matahari yang terik adalah jelas.

Selain itu, terdapat dua profil warna skrin yang ditawarkan iaitu Vivid dan Natural. Terdapat juga tetapan white balance yang boleh dilaras mengikut kemahuan pengguna namun ianya hanya ditawarkan jika anda memilih mod Vivid.

Sedikit mengecewakan adalah, tiada sokongan mod Always-On display pada Galaxy A33 5G ini disertakan walaupun pada hakikatnya ia ditawarkan pada Galaxy A53 5G dan Galaxy A73 5G.

Walaubagaimanapun, ianya ditebus dengan ciri Screen Saver yang akan teraktif apabila pengecasan dilakukan.

Secara keseluruhan, skrin paparan Samsung Galaxy A33 5G menawarkan pengguna pengalaman skrin yang baik dan reka bentuk yang kompak menjadikanya sangat sesuai digunakan oleh pengguna yang mempunyai tangan yang lebih kecil.

Pemproses

Salah satu perubahan terbesar pada Samsung Galaxy A33 5G apabila dibandingkan dengan generasi sebelum ini adalah dari segi cipset yang mana generasi kali ini hadir dengan cipset berkuasa gred flagship.

Samsung Galaxy A33 5G dikuasakan dengan cip Exynos 1280 yang mampu menawarkan pengguna prestasi yang lebih stabil setaraf peranti atasan dipasaran.

Cip Exynos 1280 ini merupakan cip 5nm yang menjanjikan kuasa pemprosesan yang baik dan lebih stabil.

Cip Exynos 1280 ini memiliki dua teras Cortex-A78 berkelajuan sehingga 2.4GHz dan 6 teras Cortex A-66 berkelajuan 2.0GHz serta GPU Mali G-68.

Samsung Galaxy A33 5G juga memiliki 8GB RAM dengan storan dalaman 128GB dan ianya turut disertakan dengan teknologi RAM Plus yang membolehkan lebih banyak aplikasi aktif pada latar belakang dan sedia untuk digunakan dengan serta merta apabila diperlukan.

Bercakap mengenai UI, Samsung Galaxy A33 5G tampil dengan keistimewaan Android 12 yang diterapkan pada One UI 4.1 iaitu Color Palettes yang mana satu perubahan warna bermaksud keseluruhan antaramuka akan berubah warna yang termasuk ikon, menu, butang dan latar belakang.

Selain itu, Samsung juga telah menyatakan komitmen untuk menawarkan sehingga 4 generasi kemaskini Android dan 5 tahun kemaskini keselamatan Android yang pasti disambut baik pengguna yang membeli telefon pintar untuk kegunaan jangka masa panjang.

Satu ciri baharu pada Samsung Galaxy A33 5G ini adalah Link to Windows yang membolehkan anda beroperasi dengan telefon pintar terus pada komputer anda seperti berkongsi imej, menguruskan notifikasi dan membuat panggilan. Ciri ini masih belum setaraf mod DeX yang masih eksklusif pada peranti flagship.

Walaupun terdapat kekurangan dari segi prestasi apabila dibandingkan dengan cip MediaTek pada generasi sebelum ini, Samsunh Galaxy A33 5G adalah telefon pintar yang mampu menguruskan tugas yang diberi tanpa sebarang masalah.

Kamera

Pasaran telefon pintar midrange amat popular dengan penawaran tetapan quad-kamera yang terdiri daripada sensor wide, sensor ultrawide, sensor makro dan depth dan Samsung Galaxy A33 5G juga disertakan dengan 4 kamera.

Samsung Galaxy A33 5G kini disertakan dengan OIS yang kali pertama ditawarkan pada telefon pintar termurah dalam siri Galaxy A.

Penawaran optik pengstabilan imej (OIS) pada sensor utama memberikan sensor kamera Galaxy A33 5G satu kebolehan fotografi atau videografi yang lebih baik dimana gegaran peranti dapat diatasi tanpa memberikan kesan kepada hasil gambar atau video yang diambil.

Samsung Galaxy A33 5G memiliki sensor utama 48MP, sensor ultrawide 8MP sensor, sensor makro 5MP dan sensor depth 2MP.

Kamera selfie Samsung Galaxy A33 5G adalah unit 32MP yang menjanjikan anda satu sensor selfie mampu memenuhi keperluan selfie samada untuk koleksi peribadi ataupun untuk dimuatnaik pada akaun media sosial anda.

Secara keseluruhan, keupayaan kamera Samsung Galaxy A33 5G adalah memuaskan walaupun ianya tidak mencapai tahap yang lebih khususnya kerana had kos yang lebih rendah.

Jom tengok hasil gambar dari Samsung Galaxy A33 5G

Bateri

Samsung Galaxy A33 5G menampilkan penggunaan sel bateri berkapasiti 5,000mAh yang mana ianya adalah lebih besar berbanding pada generasi sebelum ini.

Telefon pintar ini juga disertakan dengan sokongan pengecasan pantas 25W namun mengecewakan generasi kali ini tidak lagi disertakan dengan adapter pengecasan didalam kotak.

Ini bermaksud untuk menikmati pengecasan pantas 25W anda perlu membeli adapter PD charger yang menyokong kabel USB-C ke USB-C yang disertakan didalam kotak.

Dengan menggunakan adapter 25W, bateri yang dimiliki Samsung Galaxy A33 5G ini dilihat mampu mencapai tahap pengecasan 100% didalam masa kurang dari 90 minit sahaja.

Secara purata, Samsung menjanjikan sehingga 2 hari jangka hayat bateri namun ianya bergantung kepada corak penggunaan individu.

Selain pengecasan pantas ini, Samsung tidak menawarkan sebarang sokongan pengecasan tanpa wayar atau reverse charging pada mana-mana model Galaxy A Series.

Penutup

Samsung Galaxy A33 5G mungkin bukan model yang terbaik didalam keluarga Galaxy A Series namun ianya ternyata sebuah telefon pintar yang mempunyai keupayaan yang baik sesuai dengan harganya.

Pada harga RM 1,499, Samsung Galaxy A33 5G memberikan anda prestasi cipset setaraf flagship, pensijilan IP67, skrin paparan OLED dengan kadar segar semula yang tinggi, kamera utama yang mempunyai OIS dan bateri berkapasiti tinggi. Pakej ini adalah sesuatu yang tidak dapat ditandingi oleh kebanyakkan telefon pintar Android lain dipasaran.

Jika anda mencari sebuah telefon pintar dibawah harga RM 1,5000, Samsung Galaxy A33 5G adalah telefon pintar yang patut anda berikan pertimbangan serius.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.