Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Samsung Galaxy Tab A7 Lite – tablet mampu milik untuk keperluan hiburan dan pembelajaran

Samsung Galaxy Tab A7 Lite

Pengenalan

Sejak awal tahun 2020, wabak pandemik Covid-19 telah mengubah cara kita berkerja, berhibur dan belajar yang mana kebanyakkan aktiviti ini kini dilakukan dari rumah.

Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, membuat pelaburan besar untuk memiliki sebuah peranti yang boleh digunakan untuk meningkatkan produktiviti dan juga sebagai hub hiburan.

Pandemik juga telah meningkatkan permintaan bagi tablet dan menyedari keadaan ini, Samsung telah memperkenalkan Samsung Galaxy Tab A7 Lite sebagai satu alternatif mampu milik kepada pengguna di Malaysia.

Samsung Galaxy Tab A7 Lite ditawarkan di Malaysia pada harga RM 699 sahaja dan ianya adalah versi Wi-Fi yang memiliki 4GB RAM dan 64GB storan dalaman.

Dengan harga yang sangat mampu milik, mampukah Samsung Galaxy Tab A7 Lite memberikan satu prestasi tablet yang baik dan memuaskan?, Berikut adalah ulasan kami mengenai tablet ini.

Reka Bentuk

Samsung Galaxy Tab A7 Lite hadir dengan reka bentuk kompak dan ringan dengan DNA yang sama seperti Galaxy Tab A7 namun dengan profile yang lebih nipis dan ringan.


Samsung Galaxy Tab A7 Lite mempunyai ukuran dimensi 212.5 x 124.7mm dengan ketebalan 8.0mm dan berat hanya 366gram yang meletakkanya sebagai antara tablet paling ringan dipasaran.

Pada bahagian hadapan, Samsung Galaxy Tab A7 Lite tampil dengan skrin paparan 8.7-inci yang kompak tanpa bezel yang terlalu besar di sekeliling skrin. paparan berukuran 8.7-inci menjanjikan pengguna satu skrin yang imersif namun maklumat lanjut mengenai skrin boleh anda baca pada bahagian seterusnya.

Beralih kepada bahagian sisi, terdapat butang kuasa dan butang pelaras bunyi pada sisi kanan manakala pada sisi kiri terdapat slot MicroSD yang menawarkan anda kebolehan untuk menambah storan dalaman sehingga 1TB.


Dalam pada itu, pada bahagian bawah, Samsung Galaxy Tab A7 Lite ini memiliki slot USB-C, gril pembesar suara, bicu audio 3.5mm dan mikrofon.

Pada bahagian atas pula, terdapat satu lagi gril pembesar suara yang bermaksud Galaxy Tab A7 Lite hadir dengan pembesar suara stereo yang turut mempunyai pensijilan Dolby Atmos.

Sebelum ke bahagian belakang, ingin kami maklumkan bahawa rangka atas dan bawah Galaxy Tab A7 Lite yang diperbuat daripada besi.

Bercakap mengenai panel belakang, Samsung Galaxy Tab A7 Lite tampil dengan panel plastik yang hadir dengan warna grey atau silver dan terdapat juga modul kamera yang menempatkan satu kamera 8MP.


Skrin Paparan

Samsung Galaxy Tab A7 Lite hadir dengan skrin paparan TFT WXGA+ berukuran 8.7-inci yang membawakan resolusi 1340 x 800.

Skrin paparan yang ditawarkan pada Galaxy Tan A7 Lite ini mempunyai kepatan piksel 179ppi dan ianya memberikan pengguna sebuah skrin yang baik namun dibawah cahaya matahari yang terang, refleksi yang dihasilkan ternyata mengganggu tumpuan kami.

Selain itu, kami juga perasan kadar piksel yang rendah yang terlalu nyata ketika melakukan navigasi pada skrin dimana perkataan dan animasi UI adalah sedikit tidak jelas namun dengan harga tablet yang sangat mampu milik ini, ianya adalah sesuatu yang masih boleh diterima.

Walaubagaimanapun, input dan tindak balas terhadap sentuhan yang ditawarkan pada skrin Galaxy Tab A7 Lite adalah pantas dan memuaskan sepanjang kami menggunakan tablet ini.

Secara keseluruhan skrin paparan Samsung Galaxy Tab A7 Lite menawarkan pengguna satu paparan yang imersif dan luas ckup untuk memenuhi keperluan kerja dan hiburan seseorang di waktu pandemik.


Pemproses

Samsung Galaxy Tab A7 Lite hadir dengan cip pemprosesan MediaTek MT8768T (Helio P22) yang dipadankan dengan 4GB RAM.

Pemproses MediaTek MT8768T yang digunakan pada Samsung Galaxy A7 Lite bukan lah sebuah cip yang berprestasi tinggi namun gabungan RAM yang tinggi dan antaramuka Samsung OneUI 3.1 yang berasaskan Android 11 memastikan penggunaan tablet ini lancar tanpa sebarang isu besar.

Selain itu, skrin paparan yang lebih besar juga membolehkan anda melakukan multitasking dengan lebih mudah dimana anda boleh membuka dua aplikasi secara serentak dan antaramuka Samsung juga menawarkan anda pilihan untuk melaras saiz ruang skrin yang digunakan mengikut kehendak anda.

Secara keseluruhanya, pretasi yang ditawarkan oleh Samsung Galaxy Tab A7 Lite adalah yang setimpal dengan harganya dan ini bermaksud bahawa tablet ini mampu menawarkan prestasi yang konsisten sepanjang anda menggunakan tablet ini namun membuka beberapa aplikasi dan permainan video berintensif tinggi jelas menunjukkan kelemahan cip pemprosesan MediaTek ini.

Samsung Galaxy Tab A7 Lite juga mempunyai mod Samsung Kids yang membolehkan anda melindungi kanak-kanak daripada potensi dunia internet yang berbahaya.

Samsung Kids membolehkan hanya beberapa aplikasi tertentu yang mesra kanak-kanak sahaja boleh digunakan dan anda juga boleh menetapkan kata laluan untuk memastikan anak anda tidak dapat keluar dari mod Samsung Kids tanpa pengetahuan anda.

Samsung juga telah membangunkan beberapa aplikasi khas untuk kanak-kanak pada mod Samsung Kids.


Pembesar Suara

Walaupun diposisikan sebagai sebuah tablet mampu milik, Samsung Galaxy Tab A7 Lite memiliki salah satu ciri yang kebiasaanya hanya ditawarkan pada tablet premium.

Samsung Galaxy Tab A7 Lite hadir dengan pembesar suara Stereo yang memiliki pensijilan Dolby Atmos dan ianya diletakkan dibahagian atas dan bawah tablet untuk pengalaman audio yang memuaskan.

Pembesar suara yang ditawarkan pada Samsung Galaxy A7 Lite ini adalah sangat memuaskan dan ianya boleh dikatakan sebagai salah satu ciri paling baik dimiliki tablet ini.


Kamera

Umum diketahui bahawa kamera tidak memainkan peranan penting pada sebuah tablet dan Samsung Galaxy Tab A7 Lite juga Tidak terkecuali.

Sebagai pra-syarat memiliki kamera, Samsung  Galaxy Tab A7 Lite hadir dengan satu sensor kamera 8MP dibahagian belakang yang memberikan anda kebolehan asas untuk mengambil gambar dan video.

Pada bahagian hadapan, Samsung Galaxy Tab A7 Lite juga memiliki sensor kamera selfie 2MP yang juga digunakan untuk panggilan video yang kini menjadi aspek penting kerja dari rumah.

Kamera selfie Samsung Galaxy Tab A7 Lite juga boleh digunakan untuk face unlock.


Bateri

Samsung Galaxy Tab A7 Lite hadir dengan bateri berkapasiti 5,100mAh yang dilihat mencukupi untuk tablet kompak ini.

Dengan skrin paparan yang efisien tenaga, Samsung Galaxy Tab A7 Lite dijangka mampu mengharungi satu hari pengunaan tanpa perlu anda mengecas semula bateri di tengah hari.

Selain itu, Samsung Galaxy Tab A7 Lite juga dilengkapi sokongan pengecasan pantas 15W dan anda pasti juga lega untuk mengetahui bahawa pengecasan dilakukan melalui USB-C dan bukanya menggunakan slot microUSB.

*hanya adapter 7.8W disertakan didalam kotak pembelian


Penutup

Samsung Galaxy Tab A7 Lite bukanlah tablet yang terbaik di luar sana namun pada kelas harga entry-level, tablet ini mempunyai kebolehan untuk memberikan pengguna satu pakej tablet yang mampu memenuhi keperluan profesional, hiburan dan pembelajaran anak-anak di musim pandemik ini.

Samsung Galaxy Tab A7 Lite kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 699 dan pembelian tablet ini boleh dibuat di Samsung Online Store.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.