Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : HUAWEI MateView – Monitor Premium 4K+ yang sesuai untuk golongan profesional


ULASAN : HUAWEI MateView – Monitor Premium 4K+ yang sesuai untuk golongan profesional

Pengenalan

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, HUAWEI telah mula mengembangkan portfolio produk mereka yang berazam untuk menawarkan pengguna pelbagai produk yang merangkumi satu ekosistem HUAWEI yang lengkap.

Apabila menyebut sahaja HUAWEI MateSeries, pasti terlintas difikiran anda mengenai telefon pintar HUAWEI Mate yang sinonim dengan teknologi canggih, reka bentuk premium dan kualiti yang luar biasa.

Selain itu, HUAWEI MateSeries juga mempraktikan perkara yang sama dan selepas penantian lama, HUAWEI secara rasminya telah melancarkan monitor komputer HUAWEI MateView ke pasaran Malaysia.

Pasaran monitor di Malaysia boleh dikatakan sangat kompetitif dengan pelbagai pilihan yang berdaya saing, namun dengan teknologi terkini pada HUAWEI MateView, monitor ini dilihat mempunyai semua resepi untuk berjaya dipasaran tempatan.

HUAWEI MateView kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 2,988.


Reka Bentuk

Tidak dapat kami nafikan bahawa HUAWEI MateView adalah antara monitor yang paling cantik pernah kami lihat dan impresi pertama monitor ini pasti memberikan anda bayangan bahawa ianya adalah sebuah peranti yang sangat kukuh.

HUAWEI MateView ini tampil didalam kemasan berwarna perak dengan rangka aluminum aloi yang nipis.

Selain itu, skrin paparan HUAWEI MateView ini juga mempunyai nisbah skrin kepada rangka yang sangat tinggi iaitu 94%.

Bahagian base atau asas HUAWEI MateView juga menempatkan sambungan NFC yang membolehkan fungsi Wireless Projection bersama-sama telefon pintar HUAWEI yang terpilih.

Pada bahagian stand monitor ini, terdapat dua speaker 5W yang diletakkan dibahagian hadapan betul-betul dibawah skrin dan ini sudah pastinya memberikan anda output audio yang lebih kuat dan imersif.

Beralih kepada ciri yang paling mencuri tumpuan pada HUAWEI MateView iaitu pelaras ketinggian monitor yang memberikan pengguna kebebasan untuk melaran ketinggian paparan serendah 7cm dari meja atau 18cm dari meja pada posisi tertinggi.

Dalam pada itu, terdapat juga satu engsel yang memberikan anda pilihan untuk melaras sudut antara -5° hingga 18° yang memastikan anda mempunyai sudut tontonan yang sesuai.


Jenis-Jenis Sambungan pada HUAWEI MateView

HUAWEI telah melengkapkan MateView dengan pelbagai port yang diperlukan.

Pada bahagian belakang, HUAWEI MateView mempunyai satu slot HMDI, Mini DisplayPort, dan  slot USB-C yang mana slot ini hanya untuk membekalkan tenaga elektrik.

Walaubagaimanapun, terdapat satu lagi slot USB di sisi yang boleh menyokong input paparan iaitu pada resolusi 3,840 x 2,560 (3:2 4K) dengan kadar segar semula 60Hz dan resolusi ini juga disokong pada Mini DisplayPort. Jika menggunakan slot HDMI, kadar segar semula adalah 50Hz namun resolusi adalah sama.

Dalam pada itu, HUAWEI MateView tidak mempunyai sokongan G-Sync atau FreeSync yang pasti sedikit mendukacitakan untuk gamers.

Selain itu, terdapat juga dua slot USB-A untuk menggunakan aksesori seperti papan kekunci dan tetikus yang seterusnya boleh digunakan untuk membuat tetapan pada monitor ini dan terdapat juga bicu audio 3.5mm.

Slot USB-C yang ada pada MateView ini juga menyokong output pada kadar 65W dan ini boleh digunakan untuk mengecas telefon pintar atau komputer anda.

Akhir sekali, HUAWEI MateView juga mempunyai satu smart bar sebagai pengganti kepada butang fizikal tradisional dan ianya boleh digunakan untuk melaras bunyi dan pelbagai tetapan skrin.

Skrin Paparan

HUAWEI MateView hadir dengan skrin paparan 4K+ berukuran 28.2-inci yang mempunyai resolusi  3,840 x 2,560.

HUAWEI sangat bangga dengan peratusan ketepatan warna yang dicapai oleh monitor MateView ini.

Monitor ini mempunyai kadar DCI-P3 yang tinggi iaitu 98% dengan DeltaE kurang daripada dua namun terdapat juga tetapan untuk 100% sRGB dengan DeltaE kurang daripada satu.

Selain itu, HUAWEI MateView juga tampil dengan pensijilan VESA DisplayHDR 400 dan ianya juga memberikan anda kadar kecerahan maksima 500nits.

Secara keseluruhanya skrin HUAWEI MateView memberikan anda satu pengalaman skrin yang vivid dan memuaskan sepanjang waktu penggunaan.


Penutup

HUAWEI MateView telah terbukti sebagai sebuah monitor premium mampu meningkatkan pengalaman skrin yang lebih baik khususnya kepada golongan profesional yang mahu memiliki skrin paparan yang menawarkan ketepatan warna dan reka bentuk yang menarik.

HUAWEI MateView kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 2,988 dan pembelian boleh dilakukan di HUAWEI Online Store

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.