Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Asus ZenFone 5z – telefon pintar flagship dengan pemproses Snapdragon 845 termurah dipasaran

Pendahuluan

Tahun 2018 boleh dikatakan sebagai tahun yang akan menentukan masa depan Asus selepas beberapa kali gagal menambat hati pengguna di Malaysia melalui telefon pintar mereka.

Sebagai permulaan, Asus ZenFone Max Pro M1 yang hadir ke pasaran sebagai antara telefon pintar paling berkuasa pada tahap harganya telah berjaya mencapai penjualan yang memberangsangkan dan ulasan komprehensif kami turut membuktikan bahawa harga kini bukan penentu kehebatan sesuatu telefon pintar.

Moto ini nampaknya turut disalurkan kepada Asus ZenFone 5z yang merupakan telefon pintar kelas flagship pertama Asus dengan harga penjualan yang sangat berpatutan dan ianya hadir dengan pemproses kelas flagship Snapdragon 845.

Asus ZenFone 5z ini hadir ke pasaran Malaysia didalam dua kapasiti RAM dan storan dalaman iaitu 6GB + 128GB dan 8GB + 256GB.

Ini adalah ulasan Asus ZenFone 5z yang akan memberikan anda gambaran jelas kenapa model ini boleh diangkat sebagai telefon pintar flagship termurah dan terbaik di pasaran.

Reka Bentuk

Insipirasi Asus bagi model ini sudah pastinya dipengaruhi oleh trend pasaran yang mana memiliki skrin paparan dengan takukan adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan khususnya selepas Apple melancarkan iPhone X.

Pada bahagian hadapan, Asus ZenFone 5z hadir dengan skrin paparan tanpa bezel 19:9 berukuran 6.2-inci yang memiliki nisbah skrin kepada rangka yang tinggi iaitu 90%.

Panel hadapan ini dilapisi dengan rangka aluminium dan panel gelas dengan kemasan cermin yang sudah menjadi tanda premium peranti Asus.

Panel belakang Asus ZenFone 5z ini mempunyai reka bentuk yang minimalistik namun sangat premium tidak kira warna apa yang anda pilih.

Sensor kamera juga tidak begitu ketara kerana tiada sebarang potongan (berwarna hitam) yang mengganggu keseragaman panel belakang ini.

Skrin paparan

Secara jujurnya kami amat tertarik dengan skrin paparan Asus ZenFone 5z. Ianya adalah skrin paparan Super IPS+ yang sangat terang walaupun diletakkan pada tetapan auto.

Skrin paparan ini adalah FullViev dengan notch yang mana ianya berinsiprasikan Apple iPhone X dan jika ‘notch’ bukan sesuatu yang anda minati, Asus memberikan anda kebebasan untuk menyorokkan notch ini dengan menggunakan latar belakang berwarna hitam.

Asus turut menyertakan ciri Smart Screen yang mana skrin akan sentiasa menyala apabila peranti dipegang secara menegak.

Pretasi Dalaman

Asus ZenFone 5z boleh diberikan sebagai antara telefon pintar kelas flagship terpantas di pasaran dan ini berjaya dilakukan dengan penyertaan ZenUI yang biasanya akan memperlahankan sedikit kelajuan peranti.

Dengan pilihan RAM sehingga 8GB dan digandingkan dengan pemproses Snapdragon 845 yang mana prestasi dan kuasa CPU ini langsung tidak boleh dipersoalkan.

Asus ZenFone 5z juga hadir dengan ciri OptiFlex yang mana ianya memaksimakan prestasi memori peranti selain mengurangkan waktu menunggu untuk pembukaan aplikasi kegemaran anda.

OptiFlex mampu memahami corak aplikasi yang biasa anda gunakan dan menawarkan waktu pembukaan 1.7 kali lebih pantas berbanding peranti lain.

Sepanjang ulasan kami menggunakan ZenFone 5z, istilah ‘Lag’ dan pretasi yang kurang memuaskan tidak wujud pada peranti Asus ini dan GPU Adreno 630 juga mampu mengharungi tugas-tugas grafik yang instensif dengan mudah.

Kami telah mencuba permainan PUBG pada Asus ZenFone 5z ini dan walaupun tidak mempunyai sebarang masalah untuk memainkan permainan popular ini, walaubagaimanapun panel belakang kaca Asus ZenFone 5z mengeluarkan haba yang menyebabkan saya sedikit kurang selesa.

Dari segi storan dalaman pula, Asus ZenFone 5z hadir dengan kapasiti sehingga 256GB yang sudah pastinya akan memberikan pengguna lebih kebebasan untuk merekod dan menyimpan multimedia berkualiti tinggi.

Kamera

Asus ZenFone 5 dan ZenFone 5z yang berkongsi sensor kamera yang sama telah mendapat pengiktirafan DxoMark yang amat baik iaitu 93 bagi fotografi.

Asus ZenFone 5z hadir dengan tetapan dwi kamera menegak yang mana Asus memutuskan untuk menawarkan sensor kedua yang lebar dan bukanya sensor telefoto.

Gambar lensa utama vs gambar lensa lebar

Sensor utama Asus ZenFone 5z adalah unit 12MP Sony IMX363 manakala sensor kedua adalah unit 8MP dengan FOV 120 darjah.

AI memainkan peranan utama pada bahagian kamera ZenFone 5z ini dan fungsi nya adalah untuk menawarkan tetapan mengikut subjek gambar yang diambil ( sebanyak 16 jenis adengan boleh dikesan oleh Asus ZenFone 5z).

Walaubagaimanapun kami tidak melihat sebarang perbezaan teknologi pengecaman adengan AI ZenFone 5z pada hasil gambar yang diambil.

Selain itu, AI ini dilihat hanya disokong melalui sensor utama Asus ZenFone 5z dan bukanya pada sensor kamera kedua yang hadir dengan lensa lebar.

Mod portrait yang membolehkan anda mengambil gambar bokeh melalui kamera belakang dan hadapan namun anda boleh melaras aperture apabila mengambil portrait melalui kamera belakang.

portrait selfie melalui kamera 8MP ZenFone 5z juga menawarkan mod kecantikan yang mana terdapat pilihan untuk ditetapkan secara automatik atau mengikut citarasa anda.

Pada pendapat kami, hasil gambar portrait pada Asus ZenFone 5z ini sedikit kurang memuaskan dan ianya mungkin disebabkan tiada sensor telefoto pada bahagian belakang namun dengan pencahayaan yang sempurna, pengambil gambar portrait adalah lebih mudah.

Selain mengambil gambar orang, portrait juga boleh digunakan untuk mengambil gambar objek dan pengasingan antara objek yang difokus dan latar belakang juga baik.

Bateri

Asus ZenFone 5z hadir dengan bateri berkapasiti 3,300mAh yang hadir dengan beberapa pengoptimasian AI yang sudah pastinya membantu meningkatkan lagi jangka hayat bateri telefon pintar flagship Asus ini.

AI charging pada Asus ZenFone 5z membolehkan pretasi bateri yang dimiliki telefon pintar ini dikekalkan untuk tempoh yang lama. AI Charging akan mempelajari corak pengecasan anda dan akan memastikan bahawa tiada sebarang terlebih caj berlaku.

Sebagai contoh, jika anda melakukan pengecasan pada waktu malam, AI Charging akan menghentikan pengecasan bateri pada tahap 80% sebelum baki 10% pengecasan dilakukan sebelum anda dijangka bangun dari tidur.

Asus ZenFone 5z ini juga hadir dengan teknologi pengecasan pantas Asus BoostMaster yang berasaskan dengn teknologi pengecasan pantas Qualcomm Quick Charge.

Kami telah menjalankan ujian pengecasan Asus ZenFone 5z ini untuk melihat masa yang diambil untuk satu pengecasan penuh.

Ujian ini bermula tepat pada pukul 2 dengan kadar bateri pada tahap 2% sahaja. Didalam masa 15 minit sahaja, tahap pengecasan telah sampai ke tahap 21% manakala didalam masa 30 minit, bateri telah dicaj sehingga ke tahap 43%.

Pengecasan ke tahap 50% mengambil masa 36 minit sahaja dan ianya adalah amat memberangsangkan.

Pengecasan penuh Asus ZenFone 5z selesai didalam masa 1 jam 40 minit selepas pengecasan bermula.

Satu pengecasan penuh Asus ZenFone 5z ini membolehkan anda mengharungi satu hari dengan pengunaan purata tanpa sebarang masalah.

Selain itu terdapat juga beberapa mod bateri yang mampu meningkatkan lagi jangka hayat bateri dan anda juga boleh menetapkan pengaktifan mod SuperSaving apabila bateri mencapai tahap 10%.

Lain-lain ciri menarik Asus ZenFone 5z

Asus ZenFone 5z juga hadir dengan beberapa ciri yang boleh kami tekankan disini.

Antaranya adalah AI Ringtone yang mana ianya mampu mengurangkan dan meningkatkan kelantangan bunyi nada deringan apabila panggilan diterima mengikut keadaan persekitaran.

Selain itu, pembesar suara stereo yang dimiliki oleh Asus ZenFone 5z ini juga sangat lantang dan terdapat juga mod outdoor yang meningkatkan lagi kelantangan pembesar suara telefon pintar ini.

Penutup

Asus ZenFone 5z telah menafikan mitos bahawa sebuah telefon pintar kelas flagship tidak boleh hadir harga penjualan yang jauh lebih murah berbanding pencabarnya.

Asus ZenFone 5z boleh diberikan gelaran telefon pintar kelas flagship yang paling bernilai dipasaran dan dengan pemproses Snapdragon 845, anda dibekalkan dengan pemproses terbaik didunia pada harga paling murah dipasaran.

 

Asus ZenFone 5z akan mula ditawarkan di Malaysia pada 31 Julai 2018 dengan harga yang bermula dari RM 1,899 (RM 1,699 adalah harga promosi) iaitu bagi versi 6GB RAM + 128GB storan dalaman dan RM 2,299 bagi versi 8GB RAM + 256GB storan dalaman.

Beli Asus ZenFone 5z melalui Lazada di SiNi

Berikut adalah gambar-gambar yang diambil melalui Asus ZenFone 5z

 

Comments

comments