OPPO Find X10 Pro Max Rasmi Dengan Tiga Kamera 200MP, Dimensity 9600 Pro Dan Bateri 8,000mAh

OPPO secara rasminya telah memperkenalkan telefon pintar flagship OPPO Find X10 Pro Max, yang hadir dengan cip pemprosesan MediaTek Dimensity 9600 Pro. Cip yang sama turut digunakan pada vivo X500 Pro Max yang diperkenalkan sebelum ini.
Dari segi paparan,OPPO Find X10 Pro Max hadir dengan skrin paparan AMOLED berukuran 6.78-inci dengan resolusi 1272 × 2772 piksel. Kadar penyegaran mencapai 144Hz untuk permainan tertentu, manakala penggunaan sistem secara umum menyokong sehingga 120Hz. Skrin tersebut turut mempunyai kadar pensampelan sentuhan 288Hz serta tahap kecerahan puncak sehingga 2,000 nits.
Menariknya, OPPO memberikan penekanan besar terhadap kemampuan fotografi dengan tiga sensor 200MP iaitu sensor utama 24mm menggunakan sensor bersaiz 1/1.3-inci dengan aperture f/1.5 serta sokongan penstabilan optikal imej (OIS) dua paksi.
Kamera ultra-wide pula mempunyai sudut pandangan sehingga 124 darjah dan menggunakan sensor 1/1.56-inci dengan aperture f/2.2 serta sokongan autofokus. Ia dipadankan dengan sensor telefoto 70mm yang turut menggunakan sensor 1/1.56-inci, aperture f/2.1 dan OIS dua paksi. Kamera telefoto ini juga menyokong fotografi makro dengan kebolehan memfokus pada jarak serendah 10cm.
Beralih ke bahagian hadapan, Find X10 Pro Max dilengkapi kamera swafoto 50MP yang turut menyokong autofokus.
Selain itu, OPPO melengkapkan peranti ini dengan bateri berkapasiti 8,000mAh bersama pengecasan pantas 80W SuperVOOC dan pengecasan tanpa wayar 50W. OPPO mendakwa bateri tersebut masih mampu mengekalkan sekurang-kurangnya 80% daripada kapasiti asal selepas lima tahun penggunaan.
Find X10 Pro Max hadir dengan sistem operasi ColorOS 17 berasaskan Android 17 dan turut hadir dengan pensijilan IP66, IP68 serta IP69 bagi memberikan perlindungan terhadap habuk dan air.
Dari aspek reka bentuk, OPPO menawarkan peranti ini dalam tiga pilihan warna iaitu Moon White, Warm Orange dan Light Titanium. Ia mempunyai ukuran 161.32 × 76.57 × 8.4mm, manakala beratnya adalah 233 gram untuk Moon White dan 235 gram bagi dua pilihan warna yang lain.
Untuk harga, OPPO Find X10 Pro Max ditawarkan dalam beberapa konfigurasi memori:
– 12GB + 256GB – CNY 6,799 (sekitar RM3,940)
– 12GB + 512GB – CNY 7,499 (sekitar RM4,350)
– 16GB + 512GB – CNY 7,999 (sekitar RM4,640)
– 16GB + 1TB – CNY 8,999 (sekitar RM5,220)
Maklumat jualan bagi pasaran antarabangsa masih belum diumumkan.



