nubia Neo 5 Max 5G rasmi di Malaysia pada harga RM1,399

nubia secara rasmi melancarkan nubia Neo 5 Max 5G di Malaysia, telefon gaming terbaharunya yang menggabungkan pengalaman telefon pintar, tablet, konsol gaming dan pembaca digital dalam satu peranti.
Antara tarikan utama ialah skrin AMOLED 7.5 inci 1.5K dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan sehingga 1,000 nits. Skrin besar dengan nisbah 18.7:9 ini menawarkan ruang paparan lebih luas ketika bermain, selain dilengkapi True DC Dimming, pengurangan cahaya biru serta mod Reading dan Night untuk penggunaan lebih selesa.
Untuk gaming, Neo 5 Max 5G dilengkapi sistem penyejukan berkeluasan lebih 30,000mm², bersama teknologi vapor chamber bagi membantu mengekalkan prestasi dalam sesi permainan yang panjang. nubia mendakwa suhunya boleh dikekalkan sekitar 38.4°C selepas bermain MLBB selama 60 minit pada 90 FPS.
Ia turut membawa bateri besar 7,000mAh dengan pengecasan pantas 45W, Bypass Charging, pengecasan tanpa wayar songsang 10W serta kabel pengecasan bersudut 90 darjah untuk gaming sambil mengecas.
Dari segi kawalan, Neo 5 Max hadir dengan Neo Triggers 5.0 yang mempunyai kadar pensampelan 990Hz, selain NeoTap Esports Touch Algorithm, Magic Touch 3.0 dan giroskop berketepatan tinggi.
Peranti ini dikuasakan cip MediaTek D7100 dengan sehingga 20GB RAM melalui memory fusion dan storan 256GB UFS 2.2. Ia juga menyokong MLBB pada 90 FPS Extreme Graphics, sistem antena 360° untuk sambungan 5G lebih stabil, pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos serta Z-Axis Linear Motor untuk maklum balas getaran ketika bermain.
Fungsi AI turut menjadi sebahagian daripada pengalaman gaming menerusi Demi AI Copilot 2.0 dan AI Game Space 5.0 yang menawarkan Gaming Coach, chatbot, Auto-Chat, pengoptimuman prestasi, macro dan pemetaan kekunci.
Di Malaysia, nubia Neo 5 Max 5G ditawarkan dalam warna Shadow Black dan Cyber Silver pada harga RM1,399 untuk 8GB + 256GB, manakala model 8GB + 512GB akan menyusul pada September 2026.
Sempena promosi Early Bird dari 17 Ogos hingga 16 September 2026, model 8GB + 256GB boleh didapati pada harga RM1,299, termasuk percuma nubia Cooler sementara stok masih ada.
Peranti ini boleh didapati secara dalam talian serta melalui beberapa cawangan rasmi nubia di Malaysia.



