ULASAN : OPPO Reno16 5G – Gabungan Kamera, AI dan Bateri Yang Sukar Ditandingi

Pengenalan
Setiap generasi OPPO Reno Series yang dilancarkan sentiasa membawa penambahbaikan yang dibawa bukan sekadar tertumpu kepada spesifikasi semata-mata, malah turut melibatkan reka bentuk, pengalaman fotografi serta ciri-ciri pintar yang semakin relevan dengan penggunaan harian.
Menerusi OPPO Reno16 Series, OPPO sekali lagi menampilkan gabungan rekaan yang bukan sahaja premium malah unik, sistem kamera yang dipertingkat serta pelbagai ciri AI baharu yang direka untuk memudahkan pengguna menghasilkan kandungan, meningkatkan produktiviti dan menikmati pengalaman penggunaan yang lebih lancar.
Selain tampil dengan rekaan 3D Pop Planet Design yang menjadi trademark baharu pada siri ini, OPPO Reno16 Series turut membawa beberapa pembaharuan seperti Pop Cam, AI Remix Collage dan pelbagai ciri fotografi serta videografi yang dipertingkat selain digandingkan dengan bateri berkapasiti tinggi, pengecasan pantas SUPERVOOC dan penarafan kalis air & habuk IP68/IP69, Reno16 Series dilihat menawarkan pakej yang lebih lengkap untuk pengguna masa kini.
Dalam ulasan ini, kita akan melihat dengan lebih dekat bagaimana OPPO Reno16 5G mampu memberikan pengalaman yang seimbang dari segi reka bentuk, prestasi, kamera dan nilai keseluruhan untuk penggunaan harian.
Reka Bentuk
Salah satu perkara pertama yang mencuri perhatian pada OPPO Reno16 5G adalah reka bentuknya yang benar-benar berbeza daripada telefon kelas pertengahan biasa.
OPPO Reno16 5G ini menampilkan konsep rekaan 3D Pop Planet Design (hanya pada warna Pop White) dengan teknologi HoloVerse 3D, yang menghasilkan efek planet terapung pada bahagian belakang peranti. Menariknya, ia bukan sekadar pelekat atau cetakan biasa, kesan ini sebenarnya timbul beberapa milimeter dari permukaan dan menghasilkan bayang fizikal yang berubah mengikut sudut cahaya. Kesan kedalaman ini membuatkan Reno16 5G kelihatan lebih hidup dan premium setiap kali dipegang.
Teknologi HoloVerse 3D sendiri menggunakan struktur tiga lapisan yang terdiri daripada corak grafik, lapisan substrat dan jutaan lensa mikro. Apabila cahaya mengenai permukaan belakang, lensa-lensa mikro ini memantulkan cahaya secara berbeza untuk menghasilkan ilusi 3D yang jelas tanpa perlu sebarang aksesori tambahan. OPPO mendakwa kesan visual ini mempunyai kedalaman sekitar 5 mm hingga 15 mm, menjadikannya antara rekaan paling unik dalam siri Reno setakat ini.
Dari segi binaan, Reno16 5G hadir dengan profil ultra nipis berukuran 8.22mm (8.36mm bagi warna Pop White) dan menggunakan rangka aluminium gred aeroangkasa yang memberikan rasa lebih kukuh serta premium di tangan. Ianya memiliki berat sekitar 182gram namun warna Pop White memiliki berat 193gram.
Selain itu,OPPO turut menggunakan rekaan one-piece cold-sculpted pada bahagian belakang, menjadikan peralihan antara modul kamera dan panel belakang lebih kemas dan lancar tanpa rasa janggal. Hasilnya, telefon ini bukan sahaja nampak elegan, malah selesa digunakan untuk tempoh yang panjang.
Dalam pada itu, OPPO Reno16 5G tampil didalam tiga pilihan warna yang mempunyai identiti tersendiri iaitu Pop White yang menonjolkan sepenuhnya rekaan 3D Pop Planet, Twilight Violet yang tampil dengan gaya yang lebih matang dan premium, manakala Dream Purple memberikan penampilan yang lebih ceria dan menyerlah.
Apa yang lebih mengagumkan, Reno16 5G bukan sekadar cantik ia turut hadir dengan perlindungan IP66, IP68, IP69 dan IP69K, memberikan ketahanan terhadap habuk, percikan air, rendaman air serta semburan air bertekanan tinggi. Ianya adalah tahap perlindungan yang jarang ditawarkan pada telefon pintar dalam kelasnya dan menjadikan Reno16 5G lebih sesuai untuk digunakan dalam pelbagai situasi harian.
Secara keseluruhannya, OPPO Reno16 5G berjaya menggabungkan elemen reka bentuk yang kreatif, binaan premium dan ketahanan yang menyeluruh. Ia bukan sekadar telefon pintar yang nampak cantik di atas meja, tetapi juga sebuah peranti yang terasa premium setiap kali digunakan.
Skrin Paparan
OPPO Reno16 5G hadir dengan skrin paparan AMOLED fleksibel berukuran 6.32-inci yang lebih ergonomik kerana saiznya yang lebih kompak berbanding kebanyakan telefon pintar masa kini menjadikan ia lebih mudah dikendalikan, namun masih cukup besar untuk menikmati kandungan multimedia, bermain permainan dan menghasilkan kandungan.
Apa yang paling menarik perhatian ialah OPPO berjaya mengekalkan bezel simetri ultra nipis sekitar 1.25mm pada keempat-empat sisi paparan. Bezel yang sangat nipis ini memberikan nisbah skrin-ke-badan yang tinggi, sekali gus menghasilkan pengalaman tontonan yang lebih luas dan premium. Digabungkan dengan reka bentuk melengkung pada panel AMOLED fleksibel, keseluruhan bahagian hadapan telefon kelihatan moden dan elegan.
Dalam pada itu, skrin AMOLED Reno16 5G ini juga memiliki kadar segar semula adaptif 120Hz, menjadikan setiap animasi, tatalan media sosial dan peralihan antara aplikasi terasa lebih lancar. Teknologi adaptif ini juga mampu melaraskan kadar segar semula secara automatik mengikut kandungan yang dipaparkan bagi membantu menjimatkan penggunaan bateri apabila kadar bingkain yang tinggi tidak diperlukan.
Dari segi kecerahan, OPPO Reno16 5G menawarkan kecerahan puncak sehingga 1,800 nits (HBM) membolehkan kandungan pada skrin kekal jelas walaupun digunakan di bawah cahaya matahari yang terang. Warna yang dihasilkan juga memiliki kadar kontras yang tinggi dan tona hitam yang lebih pekat, memberikan pengalaman visual yang lebih menyerlah seperti yang diharapkan daripada panel AMOLED.
Pemproses
Dari segi prestasi, OPPO Reno16 5G dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 7 Gen 4 yang dibina menggunakan proses 4nm bersama 8/12GB RAM LPDDR5X serta storan dalaman 256GB atau 512GB jenis UFS 3.1.
Untuk gaming pula, OPPO menyertakan AI HyperBoost 3.0 yang mengurus penggunaan CPU dan GPU dengan lebih pintar bagi memastikan kadar bingkai kekal stabil sepanjang sesi permainan. Berdasarkan maklumat rasmi OPPO, sistem ini dioptimumkan untuk permainan popular seperti Mobile Legends: Bang Bang, PUBG Mobile, BGMI dan Roblox. Turut disediakan ialah Game Master Toolkit yang membolehkan pemain mengakses pelbagai tetapan permainan dengan lebih mudah tanpa perlu keluar daripada game.
Satu lagi ciri yang menarik ialah AI LinkBoost 4.0. yang direka untuk meningkatkan kestabilan sambungan rangkaian, terutama ketika berada di kawasan sesak seperti pusat beli-belah, kafe atau lokasi yang mempunyai liputan isyarat yang lemah.
ColorOS 16
OPPO Reno16 5G juga hadir sistem operasi dengan ColorOS 16 yang berasaskan Android 16, yang menawarkan antaramuka yang kemas selain pelbagai ciri AI yang membantu meningkatkan produktiviti dan kemudahan penggunaan.
Antara ciri paling menarik sudah pastinya AI Mind Space, iaitu ruang simpanan pintar yang membolehkan pengguna menyimpan apa sahaja yang dipaparkan pada skrin hanya dengan satu gesture. Kandungan seperti artikel, gambar, nota atau maklumat penting akan disusun secara automatik mengikut kategori supaya lebih mudah dicari pada masa akan datang.

Bagi mereka yang kerap membuat carian atau penyelidikan, AI Mind Pilot pula berfungsi sebagai pembantu AI yang boleh memberikan jawapan menggunakan beberapa model AI secara serentak dalam satu paparan. Ini memudahkan pengguna membuat perbandingan jawapan tanpa perlu membuka aplikasi pembantu AI yang berbeza.
Dalam pada itu, OPPO Reno16 5G juga memiliki AI Snap Key, iaitu butang khas pada sisi yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pengguna. Butang ini boleh digunakan untuk menyimpan kandungan ke AI Mind Space, merakam nota suara dengan pantas atau melancarkan fungsi lain seperti kamera, lampu suluh dan terjemahan.

Untuk pengguna yang kerap melancong, AI Menu Translation mampu menterjemahkan menu restoran secara langsung sambil memaparkan gambar hidangan, ramuan serta anggaran harga dalam mata wang tempatan.

Sementara itu, AI Scan & AI Extract memudahkan proses mengimbas dokumen, membuang bayang pada kertas, serta mengekstrak teks, jadual dan maklumat daripada imej untuk diedit.
Satu lagi ciri yang boleh disebut adalah AI Bill Manager, yang boleh mengesan resit atau transaksi pembayaran secara automatik dan menyusun rekod perbelanjaan mengikut kategori, sekali gus memudahkan pengguna memantau kewangan bulanan.
Akhir sekali, Ciri O+ Connect pula memudahkan perkongsian fail antara telefon OPPO dengan peranti lain termasuk iPhone, komputer dan Mac. Ia turut menyokong ciri seperti Touch to Share, paparan skrin ke PC serta kawalan komputer dari jauh, menjadikan ekosistem OPPO lebih mesra untuk kerja dan produktiviti.
Kamera
OPPO Reno Series sememangnya terkenal dengan kemampuan kamera yang baik dan Reno16 5G meneruskan fokus tersebut dengan kombinasi sensor yang lengkap bersama pelbagai fungsi AI baharu.
Sehubungan itu, Reno16 5G ini hadir dengan sensor utama 50MP, sensor telefoto 50MP dengan zoom optikal 3.5x, kamera ultra wide 50MP serta kamera selfie ultra lebar 50MP. Kesemua kamera ini juga mampu merakam video sehingga resolusi 4K, termasuk kamera hadapan.
Dalam penggunaan harian, sensor utama 50MP menghasilkan imej yang tajam dengan warna yang kelihatan hidup tetapi masih natural. Julat dinamik juga memuaskan, membolehkan kawasan terang dan gelap dikawal dengan baik ketika mengambil gambar di bawah cahaya matahari.
Bagi peminat fotografi potret, sensor telefoto 50MP merupakan antara tarikan utama Reno16 5G. Dengan zoom optikal 3.5x, gambar potret kelihatan lebih menarik kerana perspektifnya lebih semula jadi berbanding menggunakan kamera utama. Ia juga membantu mengasingkan subjek daripada latar belakang dengan lebih kemas, sekali gus memberikan kesan potret yang lebih profesional.
Prestasi kamera pada waktu malam turut dipertingkatkan menerusi AI Flash Photography 3.0. Sistem ini menggunakan pencahayaan pintar untuk menyesuaikan intensiti flash mengikut situasi, sekali gus membantu menghasilkan gambar yang lebih terang tanpa menjadikan wajah kelihatan terlalu putih atau latar belakang hilang suasana asal.
Di bahagian hadapan pula, OPPO membekalkan kamera swafoto ultra wide 50MP. Sudut pandang yang lebih luas memudahkan pengguna mengambil gambar berkumpulan tanpa perlu menghulurkan tangan terlalu jauh. Bagi mereka yang gemar menghasilkan kandungan di TikTok atau Instagram, sokongan rakaman video 4K pada kamera hadapan merupakan satu kelebihan yang sangat berguna.
Selain kualiti kamera, OPPO turut menambah beberapa ciri kreatif yang menjadikan pengalaman fotografi lebih menyeronokkan. Antaranya ialah Pop Cam, yang menawarkan beberapa penapis bergaya kamera filem klasik terus di dalam aplikasi kamera. Pengguna boleh menghasilkan gambar dengan efek retro seperti digicam, instant film atau light leak tanpa perlu menggunakan aplikasi suntingan lain.
Turut disertakan ialah AI Remix Collage, yang membolehkan gambar, video dan motion photo digabungkan menjadi kolaj yang lebih interaktif. Pengguna bebas menambah pelekat, teks dan pelbagai elemen kreatif untuk menghasilkan kandungan yang lebih menarik sebelum dikongsi di media sosial.
Bagi mereka yang gemar mencuba sesuatu yang berbeza, fungsi Popout 2.0 mampu menghasilkan kesan seolah-olah subjek keluar daripada bingkai gambar. Ciri ini menggunakan AI untuk mengasingkan subjek secara automatik dan memberikan hasil yang lebih unik tanpa memerlukan kemahiran menyunting gambar.
Untuk rakaman video pula, Reno16 5G bukan sahaja menyokong rakaman 4K pada kamera hadapan dan belakang, malah dilengkapi fungsi 4K Auto Straighten Video yang membantu memastikan rakaman kekal lurus walaupun telefon sedikit senget ketika bergerak. OPPO turut menyertakan Dual-View Video 2.0, membolehkan kamera hadapan dan belakang merakam secara serentak, sesuai untuk vlogging atau sesi temu bual.
Bateri
OPPO Reno16 5G hadir dengan bateri Silicon-Carbon berkapasiti 6,700mAh, iaitu teknologi bateri generasi baharu yang membolehkan kapasiti lebih besar digunakan pada peranti tanpa meningkatkan ketebalan peranti.
Dari segi pengecasan pula, OPPO Reno16 5G hadir dengan teknologi pengecasan 80W SUPERVOOC Flash Charge yang memberikan pengecasan penuh didalam masa kurang dari satu jam (59 minit).
Lebih menarik, hanya 10 minit pengecasan sudah cukup untuk memberikan sehingga 4.86 jam tontonan video, sesuai untuk pengguna yang sentiasa bergerak dan tidak mempunyai banyak masa untuk mengecas telefon.
Dalam pada itu, OPPO Reno16 5G juga boleh mencapai sehingga 2.73 hari penggunaan biasa (DoU), atau sehingga 67.26 jam panggilan telefon berterusan.
Penutup
OPPO Reno16 5G bukan sahaja mengekalkan identiti siri Reno yang terkenal dengan kemampuan kamera, malah turut menambah baik aspek prestasi, ketahanan bateri dan pengalaman perisian melalui ColorOS 16 yang dipenuhi pelbagai ciri AI berguna.
Selain itu, penggunaan sensor 50MP pada hampir setiap lensa utama, kamera telefoto 3.5x, rakaman video 4K pada kamera hadapan dan belakang serta pelbagai mod kreatif menjadikan Reno16 5G sesuai untuk pengguna yang gemar menghasilkan kandungan tanpa memerlukan proses suntingan yang rumit.
Dalam masa yang sama, cip Snapdragon 7 Gen 4 memberikan prestasi yang lancar untuk penggunaan harian dan gaming, manakala bateri Silicon-Carbon 6,700mAh bersama pengecasan pantas 80W SUPERVOOC memastikan telefon ini mampu dicaj penuh dalam masa yang singkat ketika diperlukan.
Anda boleh mendapatkan OPPO Reno16 5G pada harga RM 2,699.


































