Ulasan : Xiaomi Redmi 15 4G – Telefon Pintar Bajet Dengan Bateri 7,000mAh dan Skrin 144Hz
_cuva

Pengenalan
Xiaomi secara rasminya telah memperkenalkan Redmi 15 4G yang merupakan sebuah telefon pintar mampu milik yang memilik bateri gergasi dan tampil dengan rekaan yang elegan.
Seperti pada namanya, Xiaomi Redmi 15 4G ini hanya menyokong rangkaian LTE dan pada tahun 2025 dan ini mungkin bermaksud telefon pintar ini lebih disasarkan kepada pengguna muda atau sebagai peranti kedua.
Berikut adalah ulasan Xiaomi Redmi 15 4G yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 599.
Reka Bentuk
Xiaomi 15 4G hadir dengan rekaan yang agak premium untuk sebuah telefon pintar bernilai sekitar RM 600 dimana ianya menampilkan rekaan panel belakang quad-curved yang bermaksud ianya melengkung pada kesemua sisi untuk ‘grip’ yang lebih baik ketika digunakan.
Selain itu, Redmi 15 4G ini tampil dengan rekaan panel belakang plastik yang tampil dengan kemasan yang anti capjari dan ianya ditawarkan didalam tiga pilihan warna iaitu Titan Gray, Midnight Black dan Sandy Purple seperti unit ulasan kami. Ianya turut memiliki modul kamera yang mempunyai panel deco yang diperbuat daripada aluminium aloi untuk penampilan yang lebih premium.
Beralih kepada kerangka, ianya kelihatan seperti diperbuat daripada besi dan ianya mempunyai ketebalan 8.40mm dengan berat 214gram namun pujian harus diberikan kerana ianya menampilkan penarafan kalis air dan habuk IP64.
Seterusnya, pada sisi kanan, Redmi 15 4G memiliki butang kuasa yang turut mempunyai sensor capjari dan butang kelantangan bunyi.
Secara keseluruhan, Redmi 15 4G tidak tampil dengan sebarang elemen mengejutkan pada tahap harga ini, ianya adalah sebuah peranti yang memberikan pengalaman penggunaan yang memuaskan setimpal dengan harga yang anda bayar.
Skrin Paparan
Xiaomi Redmi 15 4G hadir dengan skrin paparan DotDisplay berukuran 6.9-inci yang memiliki resolusi FHD+ dengan sokongan kadar segar semula 144Hz.
Panel ini juga hadir dengan kadar penyegaran dinamik yang dikenali sebagai AdaptiveSync dimana sistem akan menawarkan kadar bingkai berdasarkan senario yang berbeza untuk pengalaman visual yang lebih lancar – sama ada anda melayari internet atau menonton kandungan multimedia. Pada bahagian tetapan, anda boleh menetapkan kadar bingkai didalam dua mod iaitu Default (sehingga 144Hz) atau Custom ( 60Hz, 90Hz, 144Hz)
Selain itu, Redmi 15 4G juga menawarkan kecerahan maksima sehingga 850 nits (HBM) dan ianya juga hadir dengan beberapa pensijilan dari TÜV Rheinland seperti Low Blue Light (Software Solution), Circadian Friendly dan Rheinland Flicker Free.
Secara keseluruhan, skrin paparan Redmi 15 ini dilihat menawarkan pengalaman visual yang cukup imersif dan kadar segar semula yang tinggi juga adalah bonus tambahan yang pasti dihargai.
Pemproses
Xiaomi Redmi 15 4G hadir sebagai peranti yang menumpukan kepada kecekapan prestasi dan pengalaman penggunaan yang lebih lancar. Sehubungan dengan itu, Xiaomi telah melengkap telefon pintar ini dengan cip Qualcomm Snapdragon 685 serta sistem operasi terkini HyperOS 2, yang masing-masing memiliki kelebihan dari segi kuasa pemprosesan dan kelancaran antaramuka.
HyperOS 2 juga memperkenalkan antara muka baharu dengan animasi yang lebih lembut, pilihan susun atur widget yang fleksibel dan skrin kunci yang boleh disesuaikan mengikut citarasa pengguna.
Seterusnya, Snapdragon 685 merupakan cip 4G yang dibina menggunakan proses 6-nanometer (6nm) oleh Qualcomm. Ia terdiri daripada lapan teras CPU dengan empat teras performance Cortex-A73 berkelajuan 2.8GHz dan empat teras efficiency Cortex-A53 pada 1.9GHz. Cip ini turut disertakan dengan GPU Adreno 610 untuk tugasan grafik harian. Bersama cip ini, turut disertakan 8GB RAM bersama storan dalaman 256GB.
Dari segi penggunaan, Snapdragon 685 menawarkan prestasi yang mencukupi untuk kebanyakan aktiviti harian seperti melayari media sosial, menonton video, mengambil gambar dan bermain permainan mudah alih yang tidak terlalu intensif grafik.
Kamera
Redmi 15 4G hadir sebagai telefon pintar bajet yang menawarkan keseimbangan antara prestasi dan kemampuan fotografi untuk pengguna harian. Walaupun berada dalam kategori pertengahan rendah, sistem kameranya masih mampu memberikan hasil gambar yang memuaskan dalam pelbagai situasi.
Redmi 15 4G hadir dengan sensor utama 50MP yang memiliki aperture f/1.8 bersama satu lagi sensor auxiliary. Berdasarkan penggunaan kami, sensor ini dilihat menawarkan hasil gambar harian yang tajam dan berwarna semula jadi. Bagi rakaman video, peranti ini menyokong video resolusi 720p/1080p pada 30fps.
Dalam pada itu, Redmi 15 4G ini juga memiliki kamera selfie 8MP yang boleh dikatakan menawarkan kualiti selfie yang ‘average’ sahaja.
Berikut adalah hasil gambar dari Redmi 15 4G :
Bateri
Antara aspek paling menonjol pada Redmi 15 4G sudah pastinya adalah ketahanan baterinya. Xiaomi jelas memberi tumpuan kepada daya tahan penggunaan harian, menjadikannya salah satu telefon pintar bajet dengan kapasiti bateri terbesar dalam kelasnya.
Xiaomi Redmi 15 4G memiliki bateri berkapasiti 7,000mAh, menjadikannya pilihan ideal untuk pengguna yang aktif menggunakan telefon sepanjang hari. Dengan kapasiti sebesar ini, peranti mampu bertahan sehingga dua hari bagi penggunaan biasa seperti media sosial, penstriman video, dan panggilan.
Selain itu, Redmi 15 4G turut menyokong pengecasan pantas 33W, yang membolehkan bateri diisi semula dengan lebih cepat berbanding banyak model lain dalam kategori harga yang sama.
Dalam penggunaan sebenar, Redmi 15 4G mampu bertahan sepanjang hari dengan penggunaan intensif seperti menonton video, melayari internet, dan bermain permainan mudah alih. Cip Snapdragon 685 yang cekap tenaga turut membantu mengoptimumkan penggunaan bateri agar tidak cepat habis.
Penutup
Secara keseluruhan, Redmi 15 4G menawarkan pakej lengkap untuk segmen bajet. Ia mungkin bukan telefon paling berkuasa dari segi gaming atau fotografi, tetapi agak seimbang dari pelbagai sudut seperti prestasi cipset, paparan, dan ketahanan bateri yang menjadikanya sangat berbaloi untuk harga yang ditawarkan.
Bagi pengguna yang mahukan telefon harian tahan lama, mudah digunakan dan mampu milik, Redmi 15 4G sememangnya antara pilihan terbaik dalam kelasnya.
Anda boleh mendapatkan Redmi 15 4G di Malaysia pada harga RM 599 di Xiaomi Online Store















