ULASAN : REDMI Watch 6 Active – Smartwatch Mesra Poket dengan Skrin AMOLED dan Bateri Sehingga 18 Hari


Pengenalan
Siri REDMI Watch 6 kini hadir sebagai generasi terbaharu jam pintar REDMI dengan beberapa pilihan yang menyasarkan keperluan dan bajet pengguna berbeza. Dalam barisan ini, Xiaomi menawarkan tiga model iaitu REDMI Watch 6 sebagai model utama, REDMI Watch 6 Lite dan REDMI Watch 6 Active yang lebih memfokuskan kepada pengguna yang mahukan fungsi smartwatch pada harga lebih mampu milik.
REDMI Watch 6 Active tampil dengan reka bentuk yang ringan dan nipis, skrin AMOLED 1.85 inci, lebih 140 mod sukan serta pelbagai fungsi pemantauan kesihatan, jam pintar ini menawarkan pakej yang agak lengkap untuk kegunaan harian.
Lebih menarik, REDMI Watch 6 Active turut dilengkapi fungsi Bluetooth Calling dan bateri yang didakwa mampu bertahan sehingga 18 hari dalam penggunaan ringan.
Jadi, persoalannya, sejauh mana jam pintar ini mampu memenuhi keperluan pengguna yang mahukan sebuah peranti ringkas tetapi masih menawarkan ciri-ciri penting sebuah smartwatch moden?
Berikut adalah ulasan REDMI Watch 6 Active yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 159.
Rekaan
Dari segi reka bentuk, REDMI Watch 6 Active tampil dengan reka bentuk segi empat dengan bingkai rata dan bucu yang dibulatkan. Ia mempunyai ketebalan hanya 9.9mm bersama berat sekitar 26 gram tanpa tali, menjadikannya agak ringan untuk dipakai sepanjang hari.
Gabungan reka bentuk bingkai rata, kemasan matte pada bahagian bucu serta kaca 2.5D turut memberikan penampilan yang lebih kemas dan moden.
Selain itu, tali jam REDMI Watch 6 Active menggunakan material TPU dan hadir dengan mekanisme quick-release, membolehkan pengguna menukar tali dengan lebih mudah tanpa memerlukan alat tambahan.
Dalam pada itu, REDMI Watch 6 Active turut mempunyai penarafan IP68 untuk perlindungan daripada habuk dan air yang membolehkanya digunakan dalam aktiviti harian atau ketika berpeluh semasa bersenam.
REDMI Watch 6 Active hadir dalam tiga pilihan warna untuk disesuaikan dengan gaya pengguna, iaitu Midnight Black, Matte Silver dan Sunset Orange.
Skrin Paparan
REDMI Watch 6 Active hadir dengan penggunaan panel AMOLED yang berukuran 1.85-inci dengan bezel yang minima yang membolehkanya memiliki kadar nisbah skrin kepada badan 71.2%.
Selain itu, panel AMOLED yang digubakan pada Watch 6 Active ini menawarkan resolusi 390 x 450 piksel dengan ketumpatan 322 PPI, kadar segar semula melebihi 50Hz, kadar kecerahan maksima sehingga 1,200 nits serta sokongan Always-on Display, membolehkan masa dan maklumat penting dipaparkan tanpa perlu mengaktifkan skrin sepenuhnya.
Pemantauan Kesihatan
Dari segi ciri kesihatan, REDMI Watch 6 Active dilengkapi sensor kadar denyutan jantung dan sensor oksigen dalam darah (SpO2)
Jam tangan pintar REDMI ini juga menyokong pemantauan kadar denyutan jantung sepanjang hari, termasuk amaran sekiranya mengesan kadar denyutan yang tidak normal. Ia turut menawarkan pemantauan SpO₂ sepanjang hari dan boleh memberikan amaran melalui getaran sekiranya bacaan oksigen dalam darah terlalu rendah.
Selain itu, terdapat fungsi pemantauan tidur, pemantauan tahap stres, latihan pernafasan serta Vitality Score yang memberikan gambaran keseluruhan mengenai tahap kecergasan dan aktiviti harian pengguna.
Bagi pengguna wanita, REDMI Watch 6 Active turut menawarkan ciri pengurusan kesihatan wanita yang boleh membantu menjejak serta meramal kitaran haid.
Dari segi sistem operasi, REDMI Watch 6 Active dengan Xiaomi HyperOS yang boleh digunakan bersama Android 8.0 atau bersama peranti iOS (iPhone).
140 Mod Sukan
Dari aspek kecergasan, REDMI Watch 6 Active menyokong lebih 140 mod sukan.
Ia merangkumi aktiviti seperti larian luar, berbasikal, latihan dalam bangunan dan pelbagai jenis sukan bola. Xiaomi REDMI Watch Active 6 ini direka untuk merekod data aktiviti dan memberikan analisis berkaitan sesi senaman pengguna.
Ia juga menyokong pengesanan senaman secara automatik untuk membantu pengguna memulakan pemantauan aktiviti tanpa perlu memilih mod secara manual terlebih dahulu.
Bagi mereka yang lebih serius dalam kecergasan, jumlah mod sukan yang banyak ini memberikan fleksibiliti kerana pengguna tidak terhad kepada sekadar berjalan atau berlari sahaja.
Bluetooth Calling
Satu lagi ciri yang menarik ialah sokongan Bluetooth Calling.
Dengan adanya pembesar suara terbina dalam, pengguna boleh menjawab panggilan terus melalui jam apabila ia disambungkan kepada telefon pintar melalui Bluetooth. Ini boleh menjadi ciri yang praktikal ketika sedang bersenam atau ketika telefon tidak mudah dicapai.
Selain panggilan, REDMI Watch 6 Active turut menawarkan beberapa fungsi tambahan asas seperti kawalan muzik, cuaca, kalendar, alarm, stopwatch, Find Phone dan flashlight.
Bateri
Salah satu kekuatan utama REDMI Watch 6 Active ialah jangka hayat baterinya.
Dengan kapasiti bateri 470mAh, Xiaomi mendakwa jam ini mampu bertahan sehingga 18 hari dalam penggunaan ringan. Untuk penggunaan normal pula, ia boleh mencapai sehingga 12 hari, manakala penggunaan berat dianggarkan sekitar 6 hari.
Sudah tentu, angka sebenar bergantung kepada cara penggunaan. Jika fungsi seperti Always-on Display, pemantauan kesihatan sepanjang hari, Bluetooth Calling dan pemantauan senaman digunakan dengan lebih kerap, tempoh penggunaan akan menjadi lebih pendek.
Namun begitu, kemampuan sehingga 12 hari untuk penggunaan normal masih menjadikan REDMI Watch 6 Active menarik bagi pengguna yang tidak mahu mengecas jam setiap satu atau dua hari.
Pengecasan pula menggunakan sistem magnetic charging yang lebih mudah kerana pengguna hanya perlu melekatkan pengecas pada bahagian belakang jam.
Penutup
Secara keseluruhan, REDMI Watch 6 Active menawarkan pakej yang agak lengkap untuk sebuah jam pintar yang memfokuskan kepada penggunaan harian dan kecergasan.
Skrin AMOLED 1.85 inci dengan kecerahan sehingga 1,200 nits memberikan pengalaman visual yang lebih menarik, manakala reka bentuk 9.9mm dan berat hanya 26 gram menjadikannya selesa dipakai sepanjang hari.
Pada masa sama, ciri seperti pemantauan kadar denyutan jantung, SpO₂, tidur dan stres, lebih 140 mod sukan serta Bluetooth Calling menjadikan jam ini lebih daripada sekadar aksesori untuk melihat masa.
Namun, perkara yang paling menonjol ialah ketahanan baterinya. Dengan sehingga 18 hari untuk penggunaan ringan dan sehingga 12 hari dalam penggunaan normal, REDMI Watch 6 Active mempunyai kelebihan yang jelas untuk pengguna yang mahu sebuah smartwatch yang boleh digunakan lama tanpa perlu terlalu kerap mencari pengecas.
Pendek kata, jika keutamaan anda ialah rekaan ringan, skrin AMOLED, fungsi kesihatan dan kecergasan yang lengkap, Bluetooth Calling serta bateri yang tahan lama, REDMI Watch 6 Active merupakan sebuah smartwatch yang menarik untuk dipertimbangkan.
- Dapatkan REDMI Watch 6 Active di Xiaomi Malaysia









