ULASAN : OPPO Reno10 Pro+ 5G – Telefon Pintar Reno Series Terbaik Setakat Ini
Pengenalan
OPPO Reno Series telah memasuki generasi ke-10 tahun ini dan generasi kali ini menyaksikan OPPO mempertaruhkan tiga model iaitu OPPO Reno10, OPPO Reno10 Pro dan OPPO Reno10 Pro+ 5G.
Berdasarkan nama sahaja, anda pasti sudah mempunyai pemahaman jelas bahawa OPPO Reno10 Pro+ 5G adalah model paling premium didalam keluarga Reno10 Series.
Sebagai peranti Reno yang paling berkuasa, Reno 10 Pro+ 5G direka untuk memberikan anda prestasi kelas flagship perdana dalam profil peranti yang nipis dan ringan
Bersempena dengan pelancaran OPPO Reno10 Series di Malaysia baru-baru ini, pihak OPPO Malaysia telah menghantar kami satu unit OPPO Reno10 Pro+ 5G untuk kami uji dan berikut adalah ulasan mengenai telefon pintar terbaru syarikat ini di Malaysia.
Reka Bentuk
OPPO Reno10 Pro+ 5G adalah sebuah peranti yang premium baik dari segi dalaman mahupun luaran.
Untuk itu, OPPO Reno10 Pro+ 5G menampilkan reka bentuk chasis yang melengkung yang memiliki kemasan sangat sinonim seola ianya tersambung secara semulajadi dengan panel belakang kaca 3D , memberikan pengguna keselesaan yang lebih baik dan cengkaman yang lebih mudah.
Selain itu, modul kamera Reno10 Pro+ 5G menampilkan kemasan dwi-tona premium yang direka bentuk menggunakan teknik penyambungan kaca dan aluminium. Ianya menjanjikan sebuah peranti yang tahan terhadap jatuh dan calar sekaligus menawarkan perlindungan yang menyeluruh untuk tiga modul kamera dibelakang.
OPPO Reno10 Pro+ 5G ini ditawarkan didalam kemasan warna yang sangat elegan iaitu Glossy Purple dan Silver Grey yang diperbuat daripada panel kaca yang turut mempunyai lapisan gelas keselamatan Corning Gorilla Glass 5 untuk perlindungan maksima.
Unit ulasan kami ini adalah didalam warna Silver Grey dan ianya menampilkan proses OPPO Glow eksklusif untuk mencipta tekstur seolah logam halus dan kemasan yang sentiasa bebas dari kesan cap jari.
Bercakap mengenai permukaan hadapan pula, OPPO Reno10 Pro+ 5G menampilkan panel skrin berukuran 6.78-inci namun lebih menarik adalah ianya tampil dengan bezel sisi skrin ternipis pernah ditawarkan pada OPPO Reno Series iaitu hanya 1.38mm. Ianya juga mempunyai ketebalan hanya 8.28mm dengan berat 194 gram sahaja.
Tidak lupa susunan butang pada OPPO Reno10 Pro+ 5G , pada sisi kanan terdapat butang kuasa yang mempunyai kemasan jalur berwarna hijau dan butang kelantangan bunyi. Pada sisi bawah pula terdapat slot USB-C, gril pembesar suara, mikrofon dan slot SIM manakala pada sisi atas terdapat sensor IR Blaster, satu lagi gril pembesar suara dan mikrofon.
Secara keseluruhanya, rekaan OPPO Reno10 Pro+ 5G adalah antara yang terbaik pernah kita lihat pada Reno Series dan ianya menawarkan pengguna sebuah peranti dengan rekaan peranti flagship premium.
Skrin Paparan
OPPO Reno10 Pro+ 5G menampilkan penggunaan skrin paparan AMOLED menyokong paparan warna 10-bit untuk warna semula jadi dan tepat yang menakjubkan.
Panel ini menampilkan resolusi 2772×1240, gamut warna P3 100% dan sokongan untuk mainan video HDR 10+ dan HDR di Amazon Prime Video dan penawaran pembesar suara stereo yang dinaik taraf, membolehkan Reno10 Pro+ 5G berfungsi sebagai pawagam poket anda untuk menikmati kandungan HDR.
OPPO Reno10 Pro+ 5G juga disertakan dengan teknologi ProXDR Smart Display Control — yang memberikan penambahbaikan ketara dalam julat dinamik kepada foto HDR dan ianya juga menawarkan kecerahan skrin sehingga 1100nits, membawa kesan cahaya dan bayang ultra-realistik pada setiap imej potret .
Selain itu, OPPO menawarkan tiga tetapan kadar segar semula iaitu High untuk kadar 120Hz sepanjang, Standard 60Hz untuk penjimatan maksima dan kadar segar semula dinamik (auto-select) yang akan memilih kadar segar secara automatik antara 45Hz, 60Hz, 90Hz, dan 120Hz bergantung kepada kandungan yang dipaparkan dan ini akan membantu mengurangkan penggunaan kuasa dan meningkatkan jangka hayat bateri tanpa menjejaskan pengalaman visual.
Selain itu, Reno10 Pro+ 5G juga memiliki ciri Adaptive Sleep yang memastikan skrin tidak terpadam ketika anda sedang membaca atau menonton kandungan pada skrin namun ianya memerlukan akses kepada kamera hadapan dan ini mungkin turut menyumbang kepada peningkatan penggunaan bateri.
Pemproses
OPPO Reno10 Pro+ 5G dilengkapi cip kelas flaghsip Snapdragon 8+ Gen 1 yang diperbuat daripada teknologi proses 4nm TSMC yang menawarkan sehingga 30% peningkatan dalam kecekapan penggunaan tenaga.
Selain itu, Modem-RF Snapdragon X65 Generasi Ke-4 dan sistem GPS dwi-jalur berprestasi tinggi serta reka bentuk antena L5 bebas anti-jamming yang lebih kuat, Reno10 Pro+ 5G masih boleh mendapatkan kedudukan geografi anda dengan ketepatan yang luar biasa walaupun anda berada di kawasan terpencil dengan isyarat lemah.
Dalam pada itu, Reno10 Pro+ 5G juga disertakan dengan ColorOS 13 yang berkuasa tinggi dan ianya juga disertakan dengan RAM sehingga 12GB dan storan dalaman 256GB.
Turut disertakan bersama cip berkuasa tinggi adalah sistem penyejukan terbaik yang pernah ditawarkan pada OPPO Reno Series iaitu Ultra-Conductive Cooling System
Grafit Ultra-Conductive eksklusif daripada OPPO ini memberikan sehingga 1,800 W/mk dalam kekonduksian terma, manakala keluasan permukaan penyejukan cecair 3,500 mm2 VC yang diperluaskan adalah 92% lebih besar berbanding apa yang ditawarkan pada OPPO Reno8 Pro.
Peningkatan ini membolehkan Reno10 Pro+ 5G ini kekal sejuk walaupun di bawah beban pemprosesan yang berat seperti permainan atau rakaman video lanjutan, membantu memastikan prestasi keseluruhan stabil dan lancar.
Secara keseluruhanya, prestasi OPPO Reno8 Pro+ 5G boleh dikatakan mampu menyaingi peranti kelas flagship dan cipset Snapdragon 8+ Gen 1 yang dilancarkan lewat tahun 2022 dijangka mampu kekal memberikan prestasi terbaik untuk tempoh beberapa tahun lagi.
Kamera
OPPO Reno10 Pro+ 5G memberikan anda keupayaan pengimejan yang paling berkuasa sebagai sebuah peranti Portrait Expert .
Reno10 Pro+ 5G memiliki sensor utama 50MP IMX890 yang turut memiliki OIS, satu sensor potret telefoto 64MP yang kali pertama digunakan pada siri Reno bersama ciri Potret yang dinaik taraf dan sensor Ultrawide 8MP dengan FoV 112° yang membantu anda menangkap gambar lebar dengan lebih mudah dan menyeluruh.
Menariknya, sensor telefoto yang digunakan pada Reno10 Pro+ 5G merupakan sensor telefoto periskop dengan resolusi tertinggi yang terdapat pada mana-mana telefon pintar.
Dengan sensor 64 megapiksel dan sensor 1/2 inci yang besar, kamera ini menawarkan kepekaan cahaya yang luar biasa dan penggunaan lebsa silinder yang lebih besar membolehkan sensor ini memberikan penstabilan imej dengan sudut anti-goncang yang lebih luas sekaligus memberikan anda zum optik penuh walaupun dalam persekitaran cahaya malap.
Berikut adalah beberapa contoh gambar yang menunjukkkan kemampuan zoom Reno10 Pro+ 5G : 1x >3x > 6x
Lebih-lebih lagi, sensor ini jugak memiliki aperture maksimum f/2.5 yang besar dan jarak pemfokusan minimum 25 cm, anda boleh memanfaatkan ciri komposisi kamera telefoto dengan mudah untuk mencapai kesan bokeh optik semula jadi dengan tanpa menjejaskan kejelasan imej.
Selain itu, Teknologi In-sensor Zoom OPPO pada Reno10 Pro+ 5G membolehkan telefon pintar ini menawarkan 3x zoom optik dan sehingga 6x dengan kualiti setaraf zoom optik .
Menyentuh sedikit mengenai kamera selfie yang dimiliki Reno10 Pro+ 5G ini, ianya adalah sensor 32MP IMX709 yang menampilkan tatasusunan piksel RGBW yang lebih peka cahaya yang direka bersama oleh OPPO dan Sony untuk penangkapan cahaya yang lebih baik, penghasilan warna dan kualiti imej terbaik walaupun didalam persekitaran cahaya malap. Ia juga termasuk teknologi AutoFocus dengan jarak fokus minimum 15 cm, menjadikannya kamera yang sempurna untuk merakam swafoto dan foto wefie dengan rakan-rakan.
Secara keseluruhanya, kebolehan kamera OPPO Reno10 Pro+ 5G sebagai sebuah Portrait Expert tidak boleh sangkal lagi dan pengguna kamera telefoto terbaik dipasaran juga membolehkan telefon pintar ini mengambil gambar pada dimensi yang lebih unik.
Berikut adalah hasil gambar daripada OPPO Reno 10 Pro+ 5G :
Bateri
OPPO Reno10 Pro+ 5G dilengkapi bateri berkapasiti 4,700mAh (dwi-sel) yang boleh dikatakan sedikit rendah berbanding standard dipasaran iaitu 5,000mAh.
Walaubagaimanapun, OPPO telah menebus kekurangan ini dengan menawarkan teknologi pengecasan 100W SUPERVOOC yang memberikan anda kadar kelajuan pengecasan luar biasa.
Pengecasan penuh OPPO Reno10 Pro+ 5G mengambil masa 27 minit sahaja namun lebih menakjubkan adalah pengecasan 0-50% yang boleh dicapai didalam masa 9 minit 30 sahaja.
Selain itu, OPPO juga telah menyertakan teknologi Battery Health Engine yang memastikan bateri Reno10 Pro+ 5G ini kekal seperti baru walaupun selepas 4 tahun digunakan.
Penutup
OPPO Reno10 Pro+ 5G adalah telefon pintar Reno terbaik yang pernah dikeluarkan dan rekod ini mungkin kekal untuk tempoh beberapa tahun kerana ramuan yang digunakan untuk menghasilkan telefon pintar ini adalah sangat sempurna.
Walaubagaimanapun, harga jualan Reno10 Pro+ 5G yang semakin menghampiri peranti flagship sudah pastinya membuat bakal pembeli terfikir untuk membeli telefon pintar ini atau menambah sedikit dan mendapatkan terus telefon pintar kelas flagship.
Walaubagaimanapun jika anda memiliki bajet sekitar RM 3,00 – RM 3,500, OPPO Reno10 Pro+ 5G adalah model yang patut anda pertimbangkan.
OPPO Reno10 Pro+ 5G kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 3,499.
OPPO Reno10 Pro+ 5G kini rasmi di Malaysia pada harga RM 3,499