ULASAN: OnePlus 10T 5G – Prestasi Flagship Snapdragon 8+ Gen 1 dan pengecasan 150W terbaik dipasaran
Pengenalan
Bagi OnePlus, tahun 2022 dimulakan dengan syarikat ini melancarkan OnePlus 10 Pro sebagai model tunggal didalam keluarga flagship syarikat ini.
Bagi yang mengikuti perkembangan syarikat ini, onePlus kebiaasaanya akan memperkenalkan dua model flagship namun tahun ini tiada model bukan ‘Pro’ dilancarkan.
Walaubagaimanapun, OnePlus baru-baru ini telah melancarkan OnePlus 10T 5G sebagai satu lagi penawaran flagship daripada syarikat ini dan ianya juga tampil sebagai telefon pintar pertama OnePlus yang menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 1.
OnePlus 10T 5G ini tidak dilancarkan sebagai pengganti kepada OnePlus 10 Pro kerana telefon pintar ini memiliki ciri-ciri utama yang berbeza dari telefon pintar itu.
Apakah kelebihan dan kekurangan OnePlus 10T 5G yang akan ditawarkan di Malaysia pada 1 September ini dengan harga RM 3,199?.
Jom baca ulasan kami dengan lebih lanjut.
Buka Kotak
OnePlus 10T tampil didalam kotak berwarna merah yang mengadungi satu adapater pengecasan 160W namun telefon pintar ini hanya menyokong pengecasan pantas pada tahap 150W. didalam kotak juga terdapat aksesori seperti kabel USB-,C berwarna merah, pelekat OnePlus, risalah waranti dan kata-kata aluan daripada Pete Lau yang merupakan pengasas OnePlus.
Walaubagaimanapun, didalam kotak tiada sebarang bekas perlindungan disertakan namun OnePlus menghantar kami dua unit bekas perlindungan didalam warna hitam Sandstone dan bekas perlindungan bercorak berwarna kelabu yang mempunyai kemasan kasar. OnePlus juga menyertakan filem perlindungan yang disiap pasang pada peranti
Reka Bentuk
OnePlus 10T tampil dengan reka bentuk yang hampir sama seperti OnePlus 10 Pro yang amat berbeza daripada telefon pintar OnePlus yang lain.
Paling mencuri tumpuan adalah modul kamera OnePlus 10 Series ini yang memanjang hampir memenuhi keseluruhan bahagian atas panel belakang kedua-dua telefon pintar ini.
Walaupun kelihatan sama, OnePlus 10T tampil dengan reka bentuk panel belakang yang terbina sekali dengan modul kamera dan ianya juga diperbuat daripada gelas keselamatan Corning Gorilla Glass 5.
OnePlus 10T tampil didalam dua warna yang memiliki kemasan yang berbeza iaitu Jade Green seperti unit ulasan kami yang memiliki kemasan berkilat yang bermaksud capjari amat mudah melekat pada panel ini manakala Moonstone Black pula tampil dengan kemasan unik yang mana OnePlus berkata ianya diilhamkan oleh tekstur batuan gunung berapi yang dikenali sebagai basalt.
Bercakap mengenai rangka pula, ianya tampil didalam warna yang sama seperti panel belakang namun ianya diperbuat daripada plastik yang bermaksud tiada sebarang garisan antena.
Agak menyedihkan, OnePlus 10T 5G tidak mempunyai butang alert slider yang merupakan satu indentiti unik telefon pintar OnePlus dan ini tindakan ini juga diterima baik oleh peminat OnePlus.
Walaubagaimanapun, OnePlus telah mengesahkan bahawa alert slider akan kembali digunakan pada telefon pintar OnePlus yang akan dilancarkan selepas ini.
Ini bermaksud pada sisi kanan OnePlus 10T 5G terdapat butang kuasa sahaja manakala pada sisi kiri terdapat butang pelaras kelantangan bunyi manakala pada bahagian bawah terdapat slot SIM, slot USB-C dan gril pembesar suara stereo.
OnePlus 10T 5G mempunyai ukuran dimensi 163×75.4×8.8mm dengan berat 204 gram yang meletakkanya didalam kategori telefon pintar yang ‘berat’namun reka bentuk sisi panel belakang memastikan imej tebal telefon pintar ini dapat disorokkan.
Skrin Paparan
OnePlus 10T 5G tampil dengan skrin paparan OLED berukuran 6.67-inci yang memiliki resolusi FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz dan kepadatan piksel 394ppi.
Ianya adalah panel rata yang memiliki saiz bezel sisi yang nipis namun bezel atas dan bawah sedikit tebal apabila dibandingkan dengan bezel sisi. Panel ini masih dilapisi gelas keselamatan Corning Gorilla Glass 5 seperti pada OnePlus 10 Pro.
Lebih lanjut, panel OLED yang digunakan oleh OnePlus pada 10T 5G ini bukan panel LTPO2 yang bermaksud ianya hanya menyokong kadar segar maksima 120Hz atau kadar segar standard 60Hz. Ini mungkin sedikit sebanyak memberikan kesan kepada jangka hayat bateri.
Selain itu, panel skrin OnePlus 10T 5G ini juga menyokong paparan 1 bilion warna (10-bit) dan HDR10+ dengan kecerahan maksima sekitar 800nits.
Pemproses
OnePlus 10T 5G merupakan telefon pintar pertama OnePlus untuk hadir dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 yang didakwa lebih efisien dan lebih berkuasa berbanding cip Snapdragon 8 Gen 1.
Ini bermaksud anda akan menerima cipset flagship terbaik dipasaran apabila membeli OnePlus 10T 5G dan ianya juga dipadankan dengan 16GB RAM jenis LPDDR5 dan 256GB storan dalaman jenis UFS 3.1.
Cip Snapdragon 8+ Gen 1 ini dikilangkan oleh TSMC yang didakwa menawarkan prestasi yang lebih stabil dan OnePlus juga menyertakan teknologi penyejukan yang terbaik iaitu penyejukan wap Cryo-velocity dengan keluasan keseluruhan 37038.8mm² iaitu 64% lebih luas berbanding sistem penyejukan pada OnePlus 10T 5G.
Menguasakan OnePlus 10T adalah sistem operasi OxygenOS 12.1 yang sama seperti pada OnePlus Nord 2T 5G .
Antaramuka OxygenOS sering dikatakan sebagai antara UI paling hampir kepada pengalaman Android yang tulen namun terdapat pada generasi kali ini, terdapat elemen ColorOS pada antaramuka ini.
OxygenOS 12.1 yang ditawarkan pada telefon pintar ini menawarkan pengalaman penggunaan yang sangat stabil tanpa sebarang isu ‘lag’ dan ianya ditambah dengan beberapa ciri baharu yang berguna ditambah dengan kuasa pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1 yang memastikan operasi harian telefon pintar ini adalah lancar.
Kamera
Satu lagi ciri yang memisahkan OnePlus 10 Pro dengan OnePlus 10T 5G adalah sistem kamera yang dimiliki telefon pintar ini.
OnePlus 10T 5G tampil dengan sistem kamera yang lebih mirip kepada penawaran pada peranti midrange dan atas sebab-sebab tertentu tiada juga kepakaran Hasselblad digunakan pada telefon pintar ini.
Sensor utama OnePlus 10T 5G ini adalah sensor 50MP IMX 766 yang mempunyai aperture f/1.8 dan pengstabilan OIS.
Sensor kedua yang dimiliki telefon pintar ini adalah sensor ultrawide 8MP yang mempunyai 120⁰ FoV dengan fokus tetap serta satu sensor makro 2MP yang mempunyai aperture f/2.4 dengan fokus tetap pada jarak 4cm.
Kualiti gambar yang diambil menggunakan sensor utama ternyata berupaya memberikan anda hasil gambar yang baik dengan warna yang menyerlah dan jarak dinamik yang mencukupi.Jika anda mahu warna yang lebih menonjol, anda mungkin boleh mengaktifkan mod AI pada aplikasi kamera.
Sensor ultrawide 8MP ini sudah pastinya mengingatkan kami kepada telefon pintar midrange yang pernah kami ulas sebelum ini dan sensor ini menjalankan tugas dengan baik memenuhi kemampuanya yang memberikan anda gambar ultrawide yang memuaskan namun kualiti tidak lah begitu tinggi.
Walaubagaimanapun, sensor 8MP dilihat tidak mampu menawarkan hasil fotografi setaraf sensor ultrawide telefon pintar flagship dan OnePlus sekurang-kurangnya harus menyertakan sensor ultrawide yang lebih baik.
Sensor makro 2MP yang disertakan dilihat boleh digunakan untuk fotografi makro namun hasil yang diperoleh tidak begitu menyenangkan mata.
Selain itu, OnePlus 10T 5G juga memiliki mod kamera Pro, fotografi malam yang diaktifkan secara automatik apabila keadaan cahaya rendah dan mod potret.
Beralih kepada videografi pula, OnePlus 10T 5G mampu merakam video 4K pada kadar 60fps dengan menggunakan sensor utama sahaja.
Secara keseluruhanya, sistem kamera OnePlus 10T 5G mampu memberikan anda pengalaman fotografi asas sama seperti kebanyakkan telefon pintar midrange lain dipasaran dan jelas terbukti bahawa OnePlus 10T 5G tidak dilancarkan sebagai sebuah peranti dengan teknologi kamera terbaik.
Bateri
OnePlus 10T 5G tampil dengan bateri berkapasiti 4,800mAh yang terdiri daripada dua sel bateri berkapasiti 2,400mAh.
OnePlus 10T 5G tampil dengan teknologi pengecasan terpantas pernah ditawarkan oleh syarikat ini iaitu pengecasan pantas 150W SUPERVOOC Endurance Edition.
Teknologi ini membolehkan bateri 4,800mAh yang dimiliki OnePlus 10T 5G ini dicaj penuh didalam masa 19 minit sahaja yang meletakkanya sebagai antara yang terpantas dipasaran.
Kebiasaanya, pengecasan sepantas ini akan memberikan kesan kepada jangka hayat bateri namun OnePlus menyertakan teknologi Battery Health Engine yang memastikan kadar degradasi bateri akan berada pada tahap 80% selepas 1,600 kitaran pengecasan iaitu 2 kali ganda lebih lama berbanding kebanyakkan telefon pintar dipasaran.
Agak mengecewakan, tidak menyokong pengecasan tanpa wayar yang dilihat sebagai satu ciri wajib bagi sebuah flaghship lebih-lebih lagi pada tahun 2022.
Penutup
OnePlus 10T 5G adalah satu telefon pintar yang berkemampuan tinggi namun tidak semua aspek telefon pintar ini mampu memenuhi keperluan semua pengguna.
Dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1, OnePlus 10T 5G menjanjikan anda prestasi peranti terbaik ditambah lagi dengan sistem penyejukan paling menyeluruh daripada syarikat ini.
OnePlus 10T 5G kini telah dibuka untuk pra-tempahan di Malaysia pada harga RM 3,199.
Pra-tempahan OnePlus 10T 5G kini boleh dilakukan di stor rasmi OnePlus di Shopee dan Lazada dan setiap pembelian akan turut menerima perlindungan skrin 1 tahun, jaminan waranti tambahan dan perlindungan kerosakan yang tidak termasuk dalam waranti.