Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

Siri Ikon Wild Rift Asia Tenggara Summer Super Cup – 16 Pasukan dari 8 Rantau Termasuk Malaysia Bertarung Untuk Gelaran Juara


Siri Ikon 2021 Asia Tenggara (SEA) anjuran
Riot Games, bakal berakhir dengan kejuaraan serantau pertamanya bagi tahun ini, iaitu Summer Super Cup.

Sepanjang kejohanan ini, pasukan-pasukan telah bertarung dalam League of Legends: Wild Rift, iaitu versi mudah alih permainan arena pertempuran dalam talian berbilang pemain (MOBA) yang mencatat lebih 660,000 muat turun di Malaysia, serta lebih 12 juta muat turun di seluruh SEA dan Hong Kong.

 Susulan kejayaan dalam pertandingan pra-musim dan serantau, kejohanan terulung ini merupakan batu loncatan untuk menonjolkan kehebatan para pemain dan pasukan kami sebagai antara golongan elit di persada e-sukan antarabangsa.

 Siri Ikon Wild Rift SEA – Summer Super Cup ini dibawakan oleh Philippine Pro Gaming League (PPGL), iaitu liga e-sukan multi-permainan terbesar di negara berkenaan, yang dimiliki bersama oleh organisasi esports terkemuka, Mineski Philippines dan rakan telekomunikasi Globe Telecom.

Kejohanan ini turut ditaja oleh syarikat peranti pintar antarabangsa OPPO, yang merupakan peranti mudah alih rasmi Summer Super Cup.

Dari lebih 800 peserta yang layak, hanya 16 pasukan akan mara ke kejohanan serantau Wild Rift, iaitu pasukan No.1 dan No.2 dari lapan wilayah: Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand, dan Vietnam.

Mereka akan bersaing merebut gelaran juara Summer Super Cup yang pertama dengan hadiah berjumlah USD 150,000 (~ RM620,850)

Dua jaguh tanah air yang bakal mewakili Malaysia dalam pertempuran ialah Berjaya Dragons dan Geek Fam.

Berjaya Dragon telah mendominasi peringkat kumpulan ESL Mobile Open 2021 Summer: Malaysia, dengan keputusan 6-0 dan mengungguli kejuaraan serantau dengan memenangi hadiah wang tunai $4,845 (RM20,082), setelah mengalahkan Geek Fam 4-1 dalam pusingan Grand Final.

Sebagai pemenang tempat kedua, Geek Fam juga membawa pulang wang hadiah sebanyak $2,422 (RM10,039).

 Pasukan yang bakal menyertai pusingan kelayakan adalah MVP dan QWQ dari Hong Kong, Onic Esports dan Bigetron Infinity dari Indonesia, Amihan Esports dan Team Secret dari Filipina, ONE Team dan Flash Wolves dari Taiwan, EVOS Esports TH dan Buriram United Esports dari Thailand, Alliance dan Impunity Esports dari Singapura, serta SBTC Esports dan CERBERUS Esports dari Vietnam.

 Siri Ikon Wild Rift SEA – Summer Super Cup dibahagikan kepada dua peringkat, bermula dengan Peringkat Kumpulan yang bakal berlangsung dari 19 hingga 22 Jun dan peringkat ‘Playoff’ dari 25 hingga 27 Jun. Grand Final juga akan berlangsung pada hari terakhir.

 Nikmati penstriman langsung eksklusif Siri Ikon Wild Rift SEA-Summer Super Cup di saluran rasmi PPGL.

 Facebook – facebook.com/ppgl

Twitch – twitch.tv/ppgl

YouTube – youtube.com/c/PPGLGG

TikTok – tiktok.com/@helloppgl

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.