Qualcomm Snapdragon 480 5G dilancarkan – telefon pintar bajet 5G pada harga yang lebih murah
Pengeluar cip Qualcomm telah mengumumkan penawaran cipset 5G kelas bajet siri-400 mereka yang pertama iaitu Snapdragon 480.
Snapdragon 480 5G bakal menjadi cipset yang akan memberikan pengguna akses yang lebih murah kepada telefon pintar 5G dan ianya juga terbina dengan Snapdragon X51 5G Modem-RF yang menyokong rangkaian mmWave dan Sub-6 GHz.
Pada bahagian CPU, Snapdragon 480 tampil dengan teras berprestasi tinggi Kyro 460 yang berasaskan Cortex-A76 (berkelajuan 2.0GHz) bersama-sama teras cekap tenaga Cortex A55 pada kelajuan 1.8GHz manakala GPU adalah Adreno 619.
Selain itu, Qualcomm mendakwa Snapdragon 480 menawarkan sehingga 2 kali ganda peningkatan prestask CPU dan GPU berbanding Snapdragon 360 manakala ciri AI adalah 70% lebih baik hasil pengunaan cipset Qualcomm Hexagon 686.
Spesifikasi lain Snapdragon 480 ini adalah sokongan skrin paparan FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz, sensor kamera 64MP, rakaman video 1080 pada 60fps.
Selain itu, pemproses Snapdragon 480 juga hadir dengan ISP Qualcomm Spectra 345 yang menawarkan sokongan untuk mengambil gambar dari tiga sensor secara serentak.
Akhir sekali, Snapdragon 480 5G juga menyokong rangkaian SA, NSA, Dynamic Spectrum Sharing (DDS), Wi-Fi 6 dan Bluetooth 5.1
Snapdragon 480 dijangka akan digunakan pada telefon pintar bajet 5G daripada pelbagai pengeluar seperti vivo, Oppo, Xiaomi, Motorola, dan Nokia bermula pada suku pertama 2021.