WhatsApp Perkenal Ciri Scheduled Messages, Kini Boleh Jadualkan Mesej untuk Dihantar Kemudian


WhatsApp memperkenalkan ciri baharu Scheduled Messages yang membolehkan pengguna menjadualkan penghantaran mesej pada tarikh dan waktu tertentu. Ciri ini memudahkan pengguna menghantar ucapan hari lahir tepat pada tengah malam, memberikan kata-kata semangat sebelum peperiksaan atau menyampaikan pesanan pada waktu yang lebih sesuai.
Menerusi ciri ini, pengguna boleh menulis mesej lebih awal dan menetapkan masa penghantarannya antara 10 minit hingga 14 hari kemudian. Ia turut menyokong perbualan individu dan kumpulan.
Untuk menjadualkan mesej, pengguna hanya perlu menekan dan menahan butang hantar sebelum memilih tarikh serta waktu yang dikehendaki. Mesej tersebut kemudiannya akan dihantar secara automatik dan dipaparkan seperti mesej biasa kepada penerima.
Pengguna juga boleh melihat senarai mesej yang telah dijadualkan dan memadamkannya sebelum waktu penghantaran sekiranya berlaku perubahan rancangan.
Menariknya, penghantaran mesej berjadual ini tidak bergantung kepada keadaan telefon pengguna. Mesej tetap akan dihantar mengikut waktu yang ditetapkan walaupun telefon dimatikan atau kehabisan bateri.
Dari aspek keselamatan, WhatsApp mengesahkan bahawa mesej berjadual kekal dilindungi dengan penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption), sama seperti mesej peribadi lain. Ini bermakna hanya pengirim dan penerima boleh membaca kandungan mesej tersebut.
Selain teks, ciri Scheduled Messages turut menyokong penghantaran gambar dan video.
Ciri baharu ini akan dilancarkan secara berperingkat kepada pengguna di seluruh dunia dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
