Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : OPPO Reno8 Z 5G – Penampilan premium dengan spesifikasi biasa-biasa

Pengenalan

Selepas pelancaran dua telefon pintar OPPO Reno8 Series 5G di Malaysia sebelum ini, OPPO Malaysia telah memperkenalkan satu lagi telefon pintar didalam keluarga Reno8 Series iaitu OPPO Reno8 Z 5G.

OPPO Reno8 Z 5G tampil dengan reka bentuk yang hampir sama seperti Reno8 5G dam Reno8 Pro 5G namun dengan spesifikasi kelas entry-level yang lebih mesra poket.

OPPO Reno8 Z 5G kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 1,799 dan berikut adalah ulasan telefon pintar ini.

Reka Bentuk

OPPO Reno8 Z 5G tampil dengan reka bentuk yang premium yang mengekalkan DNA dua telefon pintar Reno8 Series yang dilancarkan sebelum ini.

OPPO Reno8 Z 5G merupakan telefon pintar OPPO pertama yang menggunakan panel belakang berasaskan kaca anti silau 0.5 mm. Jumlah ketebalan panel belakang kaca ini adalah 0.62 mm yang termasuk diafragma.

Selain itu, Reno 8 Z 5G ialah telefon pintar pertama dalam industri yang menggunakan panel belakang berkilat matte bersama modul kamera berkilat dilanjutkan ke tepi bingkai untuk meningkatkan kesinambungan visual dan mencipta rupa yang menyegarkan lagi dinamik.

Bercakap mengenai rangka, OPPO Reno8 Z 5G tampil dengan rangka yang diperbuat daripada besi yang rata dan agak selesa untuk dipegang untuk tempoh yang lama.

Pada bahagian sisi kanan, OPPO telah menyertakan butang kuasa yang diletakkan pada posisi yang ergonomik dan mudah dicapai manakala pada sisi kiri terdapat butang pelaras bunyi dan slot SIM.

Dalam pada itu, pada bahagian bawah terdapat slot USB-C, bicu audio 3.5mm dan gril pembesar suara mono.

Menutup bahagian reka bentuk ini adalah dengan ukuran dimensi telefon pintar ini yang mempunyai ketebalan sekitar 7.6mm dengan berat 181 gram.

Dual-Orbit Light pada OPPO Reno8 Z 5G

Secara keseluruhan, reka bentuk Reno8 Z 5G dilihat setaraf telefon midrange premium lain dipasaran khususnya penggunaan gelas pada bahagian belakang dan ianya adalah antara telefon pintar dengan rekaan premium terbaik pada tahap harga ini.

Skrin Paparan

OPPO Reno8 Z 5G tampil dengan skrin paparan AMOLED berukuran 6.4-inci dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 60Hz.

Agak mengecewakan kerana kadar segar semula yang disokong adalah 60Hz dan ianya dilihat sebagai ‘downgrade’ berbanding skrin AMOLED 90Hz yang digunakan pada OPPO Reno7 Z 5G.

Skrin paparan ini juga mempunyai lubang punch-hole untuk menempatkan kamera selfie 16MP dan ianya mempunyai nisbah skrin kepada badan 90.8% dan kepadatan piksel 401ppi.

Skrin paparan ini juga mempunyai sensor capjari dalam skrin dan lapisan gelas keselamatan Corning Gorilla Glass 5 serta bezel sisi yang nipis namun saiz bezel bawah skrin adalah sedikit tebal.

Panel ini menawarkan kadar kecerahan yang baik dan penghasilan warna juga amat tepat yang mana ianya telah menerima pensijilan Netflix HD dan Amazon Prime Video HD (20:9).

Pemproses

Sebagai sebuah telefon pintar kelas midrange, OPPO Reno8 Z 5G menampilkan penggunaan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 695 5G yang merupakan cipset terbaru yang dibangunkan pada proses 6nm.

Bersama cip Snapdragon 695, OPPO Reno8 Z 5G juga memiliki GPU Adreno 619, 8GB RAM jenis LPDDR4X dan storan dalaman 256GB jenis UFS 2.2.

OPPO Reno8 Z 5G juga mempunyai ciri Extended RAM yang membolehkan penggunaan storan dalaman sebagai RAM tambahan yang memastikan prestasi peranti kekal lancar walaupun pelbagai aplikasi dibuka serentak (sehingga 5GB RAM).

Selain itu, Oppo juga menyertakan antaramuka ColorOS 12.1 yang berasaskan Android 12 yang merupakan versi yang sama seperti pada telefon pintar premium OPPO yang lain termasuk OPPO Find X5 Pro.

Kamera

Oppo Reno8 Z 5G memiliki tetapan tri-kamera yang terdiri daripada sensor utama 64MP, sensor monokrom 2MP dan sensor makro 2MP.

Ianya kelihatan seperti konfigurasi kamera yang telah banyak kali digunakan oleh OPPO termasuk pada OPPO Reno7 Z 5G.

Oppo Reno Series terkenal dengan jolokkan Portrait Expert dan Reno8 Z 5G memiliki beberapa ciri kamera yang berkuasa dan mampu memberikan anda hasil potret setaraf kamera DSLR. Mod potret Oppo Reno8 Z 5G memiliki 25 tahap pelarasan aperture yang membolehkan anda menetapkan sendiri kadar kekaburan latar belakang mengikut kesesuaian dan citarasa anda.

Satu lagi ciri kamera yang boleh diperkatakan adalah rakaman video Bokeh Flare Portrait. Ciri rakaman ini juga digabungkan dengan Smart Skin Tone Protection AI yang memastikan wajah subjek sentiasa menonjol walaupun pada latar belakang dengan kesan yang cinematik

Selain itu, Oppo Reno8 Z 5G juga boleh mengambil gambar pada mod Ultra-Clear 108MP dengan menggunakan algoritma Super Resolution yang dibangunkan sendiri oleh Oppo. Hasilnya anda dapat mengambil gambar beresolusi tinggi yang tidak kabur walaupun ketika di zoom.

Sensor utama OPPo Reno8 Z 5G dilihat mampu menawarkan pengguna fotografi yang baik namun agak mengecewakan kerana ianya disertakan dua sensor 2MP yang merupakan sensor monokrom dan makro dan ini juga bermaksud tiada sensor ultrawide.

Oppo Reno8 Z 5G juga dilengkapi dengan kamera selfie 16MP yang menawarkan ciri portrait yang sama seperti pada kamera belakang.

Bateri

Oppo merupakan perintis didalam teknologi pengecasan pantas dan Oppo Reno8 Series juga telah menerima teknologi pengecasan kelas flagship.

Walaubagaimanapun, OPPO Reno8 Z 5G hanya tampil dengan teknologi pengecasan pantas 33W SUPERVOOC yang mampu mengecas bateri 4,500mAh nya ke tahap 32% didalam 15 minit dan mencapai pengecasan maksima didalam masa 63 minit.

OPPO turut menyertakan mod Super Power Saving yang memberikan jangka hayat bateri lebih lama dengan akses kepada aplikasi penting walaupun pada 5% kapasiti bateri.

Penutup

OPPO Reno8 Z 5G mungkin tampil dengan kosmetik luaran terbaru, namun spesfikasi telefon pintar ini adalah sama seperti beberapa model OPPO sebelum ini yang sedikit mengecewakan kerana pengguna sudah pastinya mahu sebuah telefon pintar yang menerima penambahbaikan dari segi spesifikasi dalaman juga.

Walaubagaimanapun, pengguna yang mencari sebuah telefon pintar yang tampil dengan reka bentuk premium pada harga yang lebih berpatutan serta spesifikasi yang memuaskan, OPPO Reno8 Z 5G mungkin peranti yang anda cari.

OPPO Reno8 Z 5G kini dibuka untuk pra-tempahan di Malaysia pada harga RM 1,799.

 

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.