Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Black Shark 5 Pro – Telefon Pintar Gaming Premium dengan Snapdragon 8 Gen 1

Pengenalan

Telefon pintar gaming adalah satu produk yang memfokuskan pasaran ‘niche’ namun ini tidak bermaksud permintaan bagi telefon pintar ini adalah kurang.

Antara syarikat yang mengeluarkan telefon pintar gaming adalah Black Shark yang telah memperkenalkan Black Shark 5 dan Black Shark 5 Pro untuk pasaran Malaysia baru-baru ini.

Black Shark 5 Pro adalah telefon premium gaming yang hadir dengan cip Snapdragon 8 Gen 1 dan disertakan dengan skrin OLED yang menyokong kadar segar 144Hz pada harga dari RM 3,699.

Black Shark 5 Pro kini ditawarkan pada harga seperti berikut.

Black Shark 5 Pro 12GB + 256GB: RM 3,699 Black Shark 5 Pro16GB + 256GB: RM 3,999

Reka Bentuk

Sejak kali pertama dilancarkan, telefon pintar gaming Black Shark mempunyai reka bentuk yang mempunyai elemen gaming dan Black Shark 5 Pro juga tidak terkecuali.

Panel belakang Black Shark 5 Pro ini mempunyai pelbagai ukiran geometric dan logo namun ianya boleh dikatakan tidak terlalu agresif.

Selain itu, Panel ini diperbuat daripada gelas yang lembut untuk disentuh dan menawarkan cengkaman yang baik ketika dipegang dan tidak terlalu mudah untuk mengumpul kesan capjari.

Tambahan lagi, panel ini juga melengkung untuk saling melengkapi dengan bingkai peranti yang memberikan kemasan yang kukuh.

Black Shark 5 Pro ditawarkan didalam dua warna iaitu Nebula White seperti unit ulasan kami atau Stellar Black.

Black Shark 5 Pro adalah telefon pintar premium namun ianya masih belum disertakan dengan sebarang piawaian perlindungan kalis air dan habuk yang mungkin disebabkan penawaran butang pop-up trigger pada rangka peranti.

Black Shark 5 Pro mempunyai ukuran 163.8 x 76.4 x 9.9 mm dengan berat 220 gram yang hampir sama dengan kebanyakkan telefon pintar flagship lain dipasaran.

Skrin Paparan

Black Shark 5 Pro tampil dengan skrin paparan berukuran 6.67-inci yang sama seperti pada model tahun lalu dengan resolusi FHD+ dan kepadatan piksel 395ppi.

Panel ini juga menyokong kadar segar semula 144Hz, HDR10+ dan kecerahan maksima 1300nits.

Walaubagaimanapun, panel yang digunakan pada Black Shark 5 Pro adalah jenis 10 bit daripada Samsung dan ianya dilihat menawarkan kualiti skrin yang baik dan kemampuanya untuk digunakan tanpa sebarang masalah walaupun dibawah cahaya matahari.

Selain itu, Black Shark 5 Pro juga memiliki 3 mod warna skrin untuk anda pilih iaitu Saturated, Natural dan Standard.

Bercakap mengenai sokongan kadar segar semula pula, Black Shark 5 Pro menyokong kadar segar semula sehingga 144Hz namun tidak banyak aplikasi mahupun permainan video yang menyokong kadar ini.

Pada bahagian tetapan, Black Shark 5 Pro mempunyai beberapa tetapan kadar segar semula yang mungkin membantu didalam aspek penjimatan bateri.

Terdapat 4 mod kadar segar semula iaitu Standard yang menawarkan kadar 60Hz sepanjang masa, Ultrahigh yang beroperasi pada kadar 90Hz , Ultimate yang menawarkan kadar segar semula sehingga 144Hz dan Auto yang menawarkan kadar segar semula mengikut kandungan pada skrin.

Prestasi

Black Shark 5 Pro adalah telefon pintar yang hadir dengan cip flagship daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Gen 1 namun ianya adalah model-model terakhir untuk menggunapakai cip ini yang telah digantikan dengan Snapdragon 8+ Gen 1 yang menawarkan prestasi dan tahap penjimatan lebih baik.

Bagi pasaran Malaysia, Black Shark 5 Pro disertakan dengan dua kapasiti RAM LPDDR5 iaitu 12GB atau16GB dengan storan dalaman yang sama iaitu 256GB jenis UFS 3.1.

Menyedihkan sedikit adalah, Black Shark 5 Pro yang ditawarkan di Malaysia tidak disertakan dengan teknologi memori DM Cache yang menggunakan gabungan storan UFS 3.1 bersama storan NVMe yang menjanjikan prestasi ‘read and write’ yang lebih pantas.

Selain itu, Black Shark 5 Pro hadir dengan antaramuka JOYUI 13 yang berasaskan MIUI 13 dengan Android 12. Kebanyakkan UI pada JOYUI 13 adalah sama seperti pada MIUI 13 kecuali beberapa tema, wallpaper dan beberapa tetapan khas gaming.

Ciri Gaming yang ditawarkan pada Black Shark 5 Pro boleh diuruskan melalui aplikasi yang dikenali sebagai Shark Space yang boleh dibuka secara manual atau dengan menekan butang pop-up shoulder triggers.

Secara keseluruhan, prestasi yang ditawarkan oleh Black Shark 5 Pro adalah setaraf telefon pintar flagship terbaik dipasaran dan penggunaan sistem penyejukan Anti-gravity Dual VC Liquid Cooling yang terdiri daripada plat VC besar* (5320mm²) pada kedua-dua belah telefon dan aloi tembaga yang meliputi 100% komponen utama yang memastikan pelesapan haba adalah lebih cekap berbanding gel terma tradisional.

Kamera

Black Shark 5 Pro memiliki tetapan tri-kamera yang terdiri daripada sensor utama 108MP yang memiliki PDAF dan EIS (tiada OIS), sensor ultrawide 13MP dan sensor telemakro 5MP. Kamera selfie adalah 16MP

Di atas kertas  kamera Black Shark 5 Pro mampu menawarkan prestasi yang baik namun ianya tidak dapat bertanding dengan kamera pada peranti flagship yang ditawarkan pada harga yang lebih kurang sama.

Memandangkan Black Shark 5 Pro adalah sebuah telefon pintar gaming, prestasi kamera bukan menjadi satu keutamaan kepada bakal pembeli telefon pintar ini.

Bateri

Black Shark 5 Pro hadir dengan bateri berkapasiti 4,650mAh yang mungkin sedikit mengecewakan bagi kebanyakkan peminat yang mahu melihat peranti ini disertakan dengan bateri 5,000mAh.

Walaubagaimanapun, ianya adalah peningkatan dari bateri 4,500mAh pada model tahun lalu dan prestasi atau jangka hayat bateri adalah setaraf dengan kebanyakkan telefon pintar yang menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 1.

Selain itu, Black Shark 5 Pro juga disertakan dengan pengecasan pantas 120W Hyper Charge yang membolehkan pengecasan dari tahap 0% ke 100% boleh dilakukan didalam masa sekitar 15-18 minit sahaja.

Dalam pada itu, Black Shark 5 Pro juga mempunyak dua mod pengecasan iaitu Speed Flash Filling yang membuat pengecasan sepantas mungkin dan Constant Temperature Charging yang membuat pengecasan secara pintar mengikut suhu peranti ketika pengecasan dan mod kedua ini mengambil masa sekitar 24 hingga 30 minit untuk pengecasan penuh.

Pada pendapat kami, kedua-dua mod pengecasan ini adalah sesuatu yang amat baik dan kami mungkin lebih memilih mod kedua kerana ianya mungkin dapat membantu memelihara prestasi bateri untuk tempoh panjang.

Penutup

Black Shark 5 Pro merupakan sebuah telefon pintar yang terbaik dari pelbagai aspek penting bagi sebuah telefon pintar gaming iaitu prestasi, skrin, teknologi penyejukan dan teknologi pengecasan.

Jika anda seorang yang mencari telefon pintar khas untuk gaming, Black Shark 5 Pro adalah sesuatu yang patut diberi perhatian namun pelancaran ASUS ROG Phone 6 Series di Malaysia dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 mungkin mengugat sedikit populariti telefon pintar ini.

Black Shark 5 Pro kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 3,699.

Dapatkan Black Shark 5 Pro di :

Shopee: https://bit.ly/3NePTUv

Lazada: https://bit.ly/3m9uakP

TikTok: https://bit.ly/3Q9Y8mK

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.