Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Samsung Galaxy S21 FE 5G – Peranti Fan Edition Terbaik Keluaran Samsung


Pengenalan

Samsung memulakan tahun 2022 dengan pelancaran satu lagi telefon pintar flagship didalam keluarga Galaxy S21 Series iaitu Samsung Galaxy S21 FE 5G.

Selepas tertunda beberapa kali, Samsung Galaxy S21 FE 5G akhirnya dilancarkan secara rasmi pada awal bulan Januari dan ianya kembali dengan resepi Fan Edition yang sama seperti generasi sebelum ini iaitu sebuah peranti setaraf flagship pada harga yang lebih berpatutan.

selepas pelancaran global, Samsung membuktikan Malaysia adalah antara pasaran terpenting bagi syarikat ini dengan pelancaran Galaxy S21 FE 5G di Malaysia selang beberapa hari selepas itu.

Samsung Galaxy S21 FE 5G mungkin merupakan jawapan bagi anda yang tercari sebuah telefon pintar flagship namun pada harga yang lebih mesra poket.

Samsung Galaxy S21 FE 5G kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 2,899 bagi varian 128GB namun pilihan terbaik adalah untuk mendapatkan varian 256GB yang ditawarkan pada harga RM 3,099.

Sebelum membuat pembelian, pasti ramai yang ingin tahu tentang kelebihan dan kekurangan Samsung Galaxy S21 FE 5G ini dan berikut adalah ulasan kami tentang telefon pintar terbaru Samsung Galaxy Fan Edition ini.


Reka Bentuk

Sekali pandang atau beberapa kali  pandang, tidak dapat dinafikan Samsung Galaxy S21 FE 5G tampil dengan reka bentuk yang sama seperti Galaxy S21 namun dengan beberapa perubahan.

Pada bahagian belakang, Samsung Galaxy S21 FE 5G tampil dengan panel belakang plastik dengan kemasan matte yang ianya hadir didalam satu warna uniform, tidak seperti pada Galaxy S21 atau S21 Plus di mana warna modul kamera adalah berlainan.Kemasan ini sesuai bagi yang lebih suka kepada rekaan yang minimalis dan tidak terlalu menonjol.

Reka Bentuk Contour Cut Camera Samsung Galaxy S21 FE 5G

Panel belakang ini adalah diperbuat daripada sekeping plastik yang mana Samsung menamakanya sebagai Contour Cut Camera yang mana modul kamera juga direka sekali tanpa sebarang potongan berasingan.

Selain itu, penggunaan plastik pada panel belakang mungkin tidak terlalu popular dengan pengguna namun pada pendapat kami panel belakang Galaxy S21 FE 5G tidak memberikan imej ‘murah’ dan kemasan matte adalah satu positif yang memastikan telefon pintar ini sentiasa kemas tanpa sebarang kesan capjari yang nyata.

Dalam pada itu, Samsung Galaxy S21 FE 5G memiliki rangka aluminum yang berkilat dengan ketebalan 7.9mm yang memberikan cengkaman baik sepanjang menggunakan telefon pintar ini dan kombinasi ini juga telah menerima pensijilan kalis air dan habuk IP68.


Menyentuh sedikit mengenai reka bentuk hadapan, ianya tampil dengan skrin paparan berukuran 6.4-inci yang juga mempunyai lubang punch-hole ditengah untuk menempatkan kamera selfie 32MP.

Panel skrin adalah lebih kompak berbanding skrin pada Samsung Galaxy S20 FE namun saiz skrin masih sama dan ini mungkin kerana saiz bezel yang lebih nipis pada generasi kali ini.

Kita akan mengulas lebih lanjut mengenai skrin pada bahagian seterusnya.

Samsung Galaxy S21 FE 5G ditawarkan dalam 4 warna iaitu Graphite, White, Olive dan Lavender

Menutup bahagian ini adalah pendapat kami tentang reka bentuk Samsung Galaxy S21 FE 5G yang amat selesa untuk diguna sepanjang kami melakukan reviu. Ianya juga memberikan cengkaman yang kukuh walaupun ketika dipegang pada satu tangan dan juga mudah untuk disimpan didalam poket.

Skrin Paparan

Samsung Galaxy S21 FE 5G tampil dengan skrin paparan Dynamic AMOLED 2X yang berukuran 6.4-inci dan ianya memberikan anda resolusi FHD+ dengan kepadatan piksel pada skrin 441ppi.

Panel Dynamic AMOLED 2X ini juga menyokong kadar segar semula 120Hz dan Samsung menawarkan dua tetapan Motion Smoothness iaitu standard yang menawarkan kadar segar 60Hz dan High yang menawarkan kadar segar maksima 120Hz.

Walaubagaimanapun, Samsung Galaxy S21 FE 5G terlepas ciri dynamic refresh rate yang mana peranti akan menetapkan kadar segar semula automatik mengikut kandungan pada skrin iaitu dari kadar 1Hz hingga 120Hz.

Selain itu, panel skrin Samsung Galaxy S21 FE 5G ini juga mempunyai sokongan HDR10+ dan ianya turut dilapisi gelas keselamatan Corning Gorilla Glass Victus.

Dalam pada itu, untuk ciri biometrik, Samsung Galaxy S21 FE 5G dilengkapi dengan pengimbas capjari dibawah skrin iaitu jenis optikal dimana ianya menyuluh cahaya kepada jari yang diletakkan sebelum membuat bacaan dan membuka peranti.

Sensor jenis ini adalah yang berbeza daripada digunakan pada Galaxy S21 namun ianya ternyata pantas dan tepat. Cara pembukaan lain adalah melalui Face Unlock.

Dalam pada itu, skrin paparan Samsung Galaxy S21 FE 5G ini juga ternyata mampu menawarkan kualiti visual setaraf flagship namun ketiadaan dynamic refresh rate mungkin sedikit sebanyak memberikan kesan kepada jangka hayat bateri telefon pintar ini.

Akhir sekali, panel skrin OLED yang dikeluarkan oleh Samsung adalah antara yang terbaik dimana penghasilan warna yang penuh warna dan visual yang menarik untuk dilihat.

One UI 4.0


Pemproses & One UI 4.0 berasaskan Android 12

Samsung Galaxy S21 FE 5G adalah antara telefon pintar pertama Samsung untuk hadir dengan One UI 4.0 yang berasaskan Android 12.

Antara keistimewaan Android 12 yang diterapkan pada One UI 4.0 adalah Color Palettes yang mana satu perubahan warna bermaksud keseluruhan antaramuka akan berubah warna yang termasuk ikon, menu, butang dan latar belakang.


Beberapa ciri yang kami suka pada Samsung Galaxy S21 FE 5G adalah Edge Panel yang memberikan anda akses pantas kepada aplikasi kegemaran anda. Ciri tidak eksklusif pada telefon pintar ini sahaja namun kegunaanya adalah sangat banyak.

Beralih kepada cip pemprosesan, Samsung Galaxy S21 FE 5G hadir dengan cip Exynos 2100 yang mana ianya adalah pemproses yang sama digunakan pada model Samsung Galaxy S21 Series yang lain.

Ujian Geekbench 5 yang kami jalankan mendedahkan Samsung Galaxy S21 FE 5G memperoleh 1037 mata bagi ujian single-core manakala ujian multi-core menyaksikan telefon pintar ini memperoleh 3177 mata.

Bagi pasaran Malaysia, Samsung Galaxy S21 FE 5G hadir didalam satu kapasiti RAM iaitu 8GB yang mana ianya adalah jenis LPDDR5 RAM dan storan dalaman UFS 3.1 yang ditawarkan didalam dua kapasiti iaitu 128GB dan 256GB. Menyedihkan juga Samsung Galaxy S21 FE tidak mempunyai slot microSD yang mana ianya ditawarkan pada generasi sebelum ini.

Samsung Galaxy S21 FE 5G dengan cip Exynos 2100 dilihat mampu memberikan pengguna pengalaman telefon pintar flagship seperti Galaxy S21 Series yang lain dan ianya ternyata mampu menawarkan pretasi terbaik untuk tempoh beberapa tahun akan datang.


Kamera

Samsung Galaxy S21 FE dilengkapi tetapan kamera yang sama seperti pada Samsung Galaxy S20 FE 5G yang mana ianya bukan berita buruk bagi pengguna kerana penggunaan komponen yang sama sedikit sebanyak dapat membaiki kekurangan yang ada pada generasi sebelum ini.

Samsung Galaxy S21 FE 5G tampil dengan penggunaan tri-kamera yang terdiri daripada satu sensor utama 12MP, satu sensor ultrawide 12MP dan sensor telefoto 8MP. Tidak lupa juga sensor kamera selfie 32MP.

Sensor utama 12MP yang digunakan Samsung Galaxy S21 FE 5G adalah jenis Samsung S5K2LD yang mempunyai pemfokusan Dual-Pixel dan OIS.

Hasil gambar daripada sensor 12MP ini ternyata sangat baik tanpa sebarang kekaburan dan gambar yang diambil juga mempunyai kecerahan yang baik.

Selain itu, warna yang diambil oleh sensor juga amat menyenangkan mata namun pengguna panel AMOLED Samsung juga memberikan gambar ini lebih warna dan terang. Kami dapat melihat perbezaan apabila gambar yang diambil pada Galaxy S21 FE 5G dipindah dan dipaparkan pada panel telefon pintar yang lain.

Selain itu, sensor ultrawide 12MP yang digunakan pada telefon pintar ini juga memberikan hasil gambar yang setaraf dengan sensor utama dengan hasil gambar yang baik.

Selain itu, sensor telefoto 8MP yang digunakan mengambil gambar pada resolusi 12MP dengan fungsi zoom 3x. Ianya dilihat mampu mengekalkan kekaburan gambar pada tahap yang minima.


Aplikasi kamera pada  Samsung Galaxy S21 FE 5G adalah sama seperti pada kesemua telefon pintar Samsung namun satu ciri terbaru fotografi berguna yang dimiliki oleh telefon pintar ini adalah Object Eraser.

Object Eraser boleh di akses pada bahagian Gallery dan ianya menawarkan anda kebolehan untuk memadam sesuatu objek daripada gambar yang telah diambil. Anda boleh melakar garisan sekeliling objek yang hendak dipadam atau ‘tap’ sahaja untuk pemilihan automatik. Kami telah mencuba ciri Object Eraser ini dan ternyata ianya adalah mudah untuk digunakan namun hasil yang diperoleh tidak selalunya sempurna.

Selain itu, Samsung Galaxy S21 FE juga menawarkan pelbagai ciri fotografi yang anda mahu pada telefon pintar seperti mod malam, rakaman video dual-recording, mod pro dan banyak lagi. Walaubagaimanapun mod makro tidak ditawarkan pada telefon pintar ini dan ini sedikit mengecewakan kami yang merupakan peminat fotografi makro.

Secara keseluruhan, bahagian fotografi Samsung Galaxy S21 FE 5G mampu memberikan anda kualiti fotografi gred flagship walaupun ianya tidak setaraf Samsung Galaxy S21 Ultra.

Berikut adalah hasil gambar yang diambil menggunakan Samsung Galaxy S21 FE 5G :


Bateri

Samsung Galaxy S21 FE 5G memiliki bateri berkapasiti 4,500mAh yang mana ianya adalah sama seperti Galaxy S20 FE dan ianya juga menyokong pengecasan pantas 25W namun anda harus membeli adapter secara berasingan.

Jika anda mempunyai adapter 25W, ianya akan mengambil masa sekitar 30 minit untuk mencapai tahap 50% manakala pengecasan penuh mengambil masa sekitar 60-75 minit.

Selain itu, Samsung Galaxy S21 FE 5G juga menyokong pengecasan tanpa wayar Qi pada kadar 15W manakala pengecasan berbalik Wireless PowerShare juga disertakan namun peranti anda harus mempunyai bateri melebihi 30% untuk mengecas peranti lain.


Penutup

Samsung Galaxy S21 FE 5G terbukti sebagai satu lagi edisi Fan yang mempunyai kebolehan untuk mengamit peminat dengan telefon pintar serba boleh yang sangat hampir kepada kategori flagship.

Walaupun ada beberapa kekurangan, seperti ketiadaan kadar segar semula dinamik, mod fotografi makro dan bicu audio 3.5mm yang sepatutnya ada pada telefon pintar ‘Fan Edition’, Samsung Galaxy S21 FE 5G adalah telefon pintar yang boleh anda pertimbangkan jika anda mahu peranti yang menawarkan prestasi flagship pada harga yang lebih berpatutan.

Bagi kami, Samsung Galaxy S21 FE 5G adalah penutupan sempurna untuk Galaxy S21 Series.

Anda boleh mendapatkan Samsung Galaxy S21 FE 5G di Malaysia pada harga RM 2,899 bagi varian 8/128GB dan RM 3,099 bagi varian 8/256GB.

Pembelian Samsung Galaxy S21 FE 5G boleh dibuat di semua Samsung Experience Store, Samsung Online dan wakil pengedar rasmi.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.