Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Redmi Buds 3 – TWS Entry-Level Berbaloi pada harga RM 139

Ulasan Xiaomi Redmi Buds 3

Produk TWS daripada Xiaomi adalah sangat banyak yang ditawarkan pada pelbagai tahap harga dan terdapat juga perbezaan antara TWS dengan jenama Xiaomi dan Redmi.

Baru-baru ini Xiaomi telah melancarkan Redmi Buds 3 untuk pasaran Malaysia dan ianya adalah satu lagi TWS mampu milik yang ditawarkan pada harga RM 139 sahaja.


Reka Bentuk

Redmi Buds 3 adalah sebuah TWS entry-level yang hadir dengan reka bentuk half-in ear design dengan berat hanya 4.5 gram.

Redmi Buds 3 tampil dengan reka bentuk earbuds yang keras tanpa sebarang eartip silikon yang dilihat lebih selesa untuk semua pengguna.

Walaubagaimanapun, Xiaomi menebus kekurangan ini dengan reka bentuk yang sangat ringan untuk keselesaan pemakaian sepanjang hari tanpa sebarang masalah.

Redmi Buds 3 hadir didalam satu pilihan warna sahaja iaitu warna putih yang berkilat dan skema warna ini juga digunakan pada bekas pengecasan yang mempunyai kualiti buatan yang baik.

Bekas pengecasan Redmi Buds 3 ini juga mempunyai satu butang fizikal dan terdapat juga satu lampu notifikasi LED serta slot USB-C untuk pengecasan.

Bercakap mengenai earbuds Redmi Buds 3 ini, ianya hadir dengan reka bentuk L yang menempatkan pemacu dinamik 12mm yang dibangunkan sendiri oleh Xiaomi untuk kualiti muzik yang lebih imersif.

Kedua earbuds ini juga mempunyai multi functional touch-area yang mana bahagian yang menyokong input sentuhan ini adalah sangat kecil iaitu satu bulatan pada buds.

Kami ternyata menghadapi kesukaran untuk melakukan input pada buds ini kerana ianya hanya aktif apabila disentuh pada kawasan yang spesifik dan cengkaman pada telinga juga tidak begitu kukuh.

Masalah cengkaman ketika pemakaian mungkin berbeza bergantung kepada bentuk telinga namun touch-area adalah agak kecil untuk kami.

Kualiti Audio

Redmi Buds 3 dilengkapi dengan cip audio Qualcomm QCC3040 yang menyokong Bluetooth 5.2 dan teknologi penyahkodan audio Qualcomm aptX Adaptive yang menawarkan sambungan yang stabil kepada peranti dan pengalaman audio tanpa wayar yang lebih berkualiti.

Kualiti audio yang ditawarkan oleh Redmi Buds 3 adalah mungkin adalah yang terbaik didalam tahap harga ini.

Tahap kelantangan dan kejelasan audio yang dimainkan adalah amat baik dan tanpa sebarang ganguan bunyi yang tidak diingini namun anda pasti tahu bahawa buds ini tidak menawarkan sebarang teknologi pembatalan bunyi hingar.


Proses Pairing

Proses penyambungan pertama kali kepada peranti adalah sangat mudah dimana anda hanya perlu membuka sambungan bluetooth pada telefon pintar sebelum membuka charging case (pastikan filem perlindungan pada sisi buds dicabut sebelum digunakan).

Seterusnya, anda akan melihat Redmi Buds 3 disenaraikan pada tetapan Bluetooth telefon pintar anda dan tekan ‘connect’.

Redmi Buds 3 juga hadir dengan ciri Fast Pairing yang disokong pada peranti Xiaomi atau Redmi dimana selepas Bluetooth di aktifkan anda hanya perlu membuka dan meletakkan case berhampiran peranti sebelum ianya dikesan secara automatik oleh telefon pintar.

Jangka Hayat Bateri

Redmi Buds 3 menawarkan jangka hayat bateri yang sangat baik yang mana anda boleh menikmati muzik sehingga 20 jam dengan bekas pengecasan.

Jika hanya bergantung kepada bateri pada earbuds, Redmi Buds 3 mampu menawarkan anda sehingga 5 jam waktu pendengaran.

Selain itu, Redmi Buds 3 juga menawarkan sokongan pengecasan pantas melalui slot USB-C yang mana anda boleh menikmati sehingga 1.5 jam waktu penggunaan dengan pengecasan 10 minit sahaja.

Jangka hayat bateri yang ditawarkan oleh Redmi Buds 3 dilihat mencukupi untuk penggunaan dua hingga tiga hari jika purata pengunaan adalah sekitar 4-5 jam sehari.

Penutup

Redmi Buds 3 terbukti sebagai sebuah TWS yang mampu memberikan anda satu pengalaman audio mudah alih yang memuaskan pada harga yang ditawarkan.

Walaubagaimanapun, kebanjiran TWS pada harga berpatutan seperti Redmi Buds 3 memastikan persaingan yang dihadapi TWS ini adalah sangat sengit namun jika anda mencari sebuah earbuds entry level pada harga antara RM 100 hingga RM 150, Redmi Buds 3 adalah antara pilihan terbaik di pasaran.

Redmi Buds 3 kini boleh dibeli di stor fizikal Xiaomi atau stor atas talian Xiaomi di Shopee pada harga RM 139.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.