Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

Kumpulan Touch ‘n Go Umum Kerjasama Strategik dengan Visa


Kumpulan Touch ‘n Go, menerusi Touch ‘n Go eWallet, telah mengumumkan kerjasama strategik dengan Visa Kerjasama ini bakal menyaksikan Touch ‘n Go eWallet menyertai Program Laluan Pantas Teknologi Kewangan Visa, yang memberikan Touch ‘n Go akses kepada rangkaian rakan niaga dan sekutu global Visa secara langsung.

Program ini merupakan sebahagian daripada strategi global Visa untuk membuka rangkaiannya dan memberikan sokongan kepada pelbagai peserta yang sedang merangka pengalaman perdagangan baharu bagi pengguna dalam talian yang kini semakin arif.

Kerjasama ini juga termasuk pembangunan penyelesaian kad prabayar yang terikat dengan kemudahan Touch ‘n Go eWallet. Penyelesaian ini dijangka disediakan kepada pengguna Touch ‘n Go eWallet pada 2022..

Menurut kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa, kedua-dua kad tanpa sentuhan (92 peratus) dan dompet digital (81 peratus) digunakan secara meluas di Malaysia.

Data menunjukkan bahawa 77 peratus menggunakan kedua-dua kaedah pembayaran ini. Dengan kad prabayar Touch ‘n Go Visa yang akan disediakan, rakyat Malaysia boleh menikmati kelebihan kedua-dua pilihan sekali gus, kerana kad ini melengkapi kemudahan sedia ada yang ditawarkan oleh peniaga QR Touch ‘n Go eWallet di Malaysia dengan rangkaian luas Visa meliputi lebih daripada 70 juta lokasi perniagaan di seluruh dunia.

 Ng Kong Boon, Pengurus Negara Visa bagi Malaysia berkata, “Memandangkan pandemik COVID-19 dijangka mempercepatkan peralihan negara ke arah menjadi masyarakat tanpa tunai sepenuhnya menjelang 2025, kami sukacita untuk bekerjasama dengan Touch ‘n Go untuk membolehkan lebih ramai pengguna memanfaatkan pembayaran digital dengan pengeluaran kad Visa.

Menerusi kerjasama ini, kami juga berharap untuk bersama-sama melancarkan tawaran perkhidmatan kewangan dengan Touch ‘n Go bagi segmen pengguna yang bukan pelanggan bank dan masih kurang diberi perhatian di Malaysia, dengan memanfaatkan capaian global rangkaian rakan niaga Visa.”

 Penyelesaian Prabayar Touch ‘n Go Visa bertujuan menambah baik pengalaman pembayaran bagi pelanggan Touch ‘n Go eWallet yang sedia ada.

Kad Prabayar Touch ‘n Go-Visa akan menawarkan pilihan pengeluaran tunai tambahan kepada pengguna Touch ‘n Go eWallet menerusi kemudahan pengeluaran wang titik akhir di ATM yang menyediakan urus niaga VISA di dalam negara dan di peringkat global.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.