Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Xiaomi 11T Pro – Telefon Pintar Flagship Dengan Harga Mesra Poket

Ulasan : Xiaomi 11T Pro
Pengenalan

Xiaomi, sebuah syarikat telefon pintar yang berpangkalan di China telah ditubuhkan pada tahun 2010 dan didalam masa 11 tahun sahaja, syarikat ini kini bergelar syarikat telefon pintar No.2 dunia.

Kejayaan luar biasa Xiaomi ini adalah hasil daripada strategi jualan produk yang sangat sangat hampir kepada kos pembuatan.

Pada mulanya, Xiaomi memfokuskan kepada jualan produk dan telefon pintar secara atas talian sebelum mula membuka stor fizikal.

Selain sebagai syarikat telefon pintar No.2 Dunia, Xiaomi juga menduduki tempat ke-338 didalam senarai Fortune Global 500 dan merupakan syarikat termuda didalam senarai ini.

Bercakap mengenai telefon pintar kelas flagship syarikat ini yang memasuki generasi ke-11 tahun ini iaitu Mi 11, ianya menjadi lambang kepada kemajuan teknologi yang dikecapi oleh syarikat ini.

Xiaomi juga telah memberhentikan penggunaan nama Mi pada produk mereka dan selepas ini telefon pintar mereka hanya akan hadir dengan nama Xiaomi yang disertakan dengan nama model.

Selain itu, Xiaomi juga masih berpegang kepada prinsip mereka yang menawarkan produk pada harga yang sangat setimpal dengan harga dan ini juga termasuk bagi peranti flagship didalam kategori Xiaomi T Series.

Baru-baru ini, Xiaomi secara rasminya telah melancarkan Xiaomi 11T dan Xiaomi 11T Pro yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 1,699.

Xiaomi 11T Pro hadir dengan beberapa spesifikasi premium seperti skrin paparan OLED 120Hz, pemproses Snapdragon 888 dan paling menarik pengecasan pantas Xiaomi HyperCharge 120W.

Berikut adalah ulasan Xiaomi 11T Pro yang tampil sebagai sebuah telefon pintar flagship paling berpatutan di pasaran Malaysia dengan harga dari RM 2,099 sahaja.

Reka Bentuk

Xiaomi 11T Pro menampilkan reka bentuk yang agak premium dengan penggunaan gelas pada bahagian hadapan yang turut dilindungi dengan gelas keselamatan Corning Gorilla Glass Victus dan panel belakang yang juga adalah gelas.

Xiaomi 11T Pro mempunyai reka bentuk DNA yang sama seperti telefon pintar didalam siri Xiaomi Mi 11 dengan perbezaan hanya dari segi reka bentuk panel kamera.

Unit ulasan Xiaomi 11T Pro kami hadir didalam warna Meteorite Gray yang memberikan kemasan seperti aluminum yang digilap dan pada pendapat kami ianya adalah warna pilihan untuk golongan lelaki.

Panel gelas pada belakang ini juga sedikit melengkung pada bahagian sisi yang memudahkan lagi anda memegang telefon pintar ini.

Selain itu, terdapat juga logo baru Xiaomi dan tulisan 5G pada panel belakang ini.

Beralih kepada bahagian sisi, Xiaomi tidak menyertakan penggunaan sensor capjari dalam skrin dan Xiaomi telah menyertakan sensor capjari fizikal pada butang kuasa di sisi. Dalam pada itu, di atas butang kuasa ini adalah butang pelaras kelantangan bunyi.

Pada bahagian atas, terdapat gril pembesar suara dengan logo ‘sound by Harmon Kardon’ berserta satu mikrofon.

Beralih kepada bahagian bawah pula, terdapat satu lagi gril pembesar suara yang mengesahkan ianya adalah sistem pembesar suara stereo, slot USB-C, satu mikrofon dan slot Dwi-SIM.

Ini bermaksud bahagian sisi kiri peranti tidak mempunyai apa-apa slot dan telefon pintar ini juga telah menerima pensijilan IP53 yang bermaksud ianya kalis habuk dan percikan air seperti hujan.

Xiaomi 11T Pro mempunyai ukuran dimensi 164.1×76.9×8.8mm dengan berat sekitar 204 gram.

Selain warna Meteorite Gray, Xiaomi 11T Pro juga ditawarkan didalam warna Celestial Blue dan Moonlight White.

Skrin Paparan

Xiaomi 11T Pro tampil dengan skrin paparan OLED  berukuran 6.67-inci yang mempunyai resolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz.

Panel OLED yang digunakan pada Xiaomi 11T Pro ini juga mempunyai sokongan warna 10-bit dengan kebolehan memaparkan hampir 1 bilion warna.

Panel skrin ini juga mempunyai satu lubang punch-hole dibahagian tengah skrin dan tidak lupa juga panel OLED ini dilapisi gelas keselamatan paling kukuh dipasaran iaitu Corning Gorilla Glass Victus.

Dalam pada itu, skrin paparan OLED yang digunakan oleh Xiaomi ini juga menyokong HDR10, HDR10+ dan Dolby Vision.

Selain itu, Xiaomi 11T Pro juga tampil dengan dua mod kadar segar semula iaitu 60Hz dan 120Hz (adaptive).

Walaupun ada memilih tetapan 120Hz, sistem akan secara automatik menggunakan kadar segar semula 60Hz,90Hz atau 120Hz yang mana ianya bergantung kepada kandungan yang dipaparkan.

Xiaomi 11T Pro akan menggunakan kadar 120Hz pada antaramuka dan aplikasi terbina dalam sistem namun ianya akan beralih kepada 60Hz apabila kandungan lebih statik dipaparkan seperti gambar dan ini merupakan fungsi biasa panel 120Hz dipasaran dengan tujuan untuk menawarkan penjimatan bateri yang lebih baik.

Selain itu, Xiaomi 11T Pro juga menawarkan tiga skema warna iaitu Vivid, Saturated dan Standard. Terdapat juga mod Advanced yang memberikan anda lebih banyak pilihan untuk melaras sendiri warna didalam tiga mod iaitu Original, P3 dan sRGB. Xiaomi 11T Pro juga menyokong fungsi Adaptive Colours yang melaras warna mengikut cahaya persekitaran.

Secara keseluruhan, panel OLED yang digunakan pada Xiaomi 11T Pro ternyata mampu memberikan anda pengalaman skrin yang amat imersif dan dengan kombinasi pembesar suara stereo Harmon Kardon, setiap kandungan multimedia pada telefon pintar ini pasti amat memuaskan.

Satu lagi ciri wajib peranti flagship Android adalah Always On Display dan telefon pintar terbaru Xiaomi ini juga menyokong fungsi paparan ini.

Pemproses

Pra-syarat sebuah telefon pintar diklasifikan sebagai peranti flagship adalah cipset yang digunakan dan Xiaomi 11T Pro menepati pra-syarat ini.

Xiaomi 11T Pro hadir dengan pemproses flagship daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 888 yang turut digunakan pada Mi 11 dan Mi 11i.

Selain itu, pemproses Snapdragon 888 ini juga disertakan dengan GPU Adreno 660 yang dikatakan menawarkan prestasi grafik terbaik dipasaran.

Selain itu, bagi pasaran Malaysia, Xiaomi 11T Pro ditawarkan didalam dua kapasiti RAM iaitu 8GB atau 12GB dengan storan dalaman bagi kedua-dua varian ini adalah 256GB yang merupakan memori jenis UFS 2.1.

Pemproses Snapdragon 888 ternyata adalah antara pemproses terbaik dipasaran namun kecenderungan untuk cipset ini menjadi panas adalah terlalu ketara.

Beralih kepada UI, Xiaomi 11T Pro hadir dengan antarmuka MIUI 12.5 yang berasaskan Android 11 dan Xiaomi juga telah memberikan jaminan bahawa Xiaomi 11T dan Xiaomi 11T Pro akan menerima tiga generasi kemaskini Android dan 4 tahun kemasikini keselamatan. Ini pasti menjadi satu dorongan positif untuk pengguna memiliki telefon pintar ini.

Pemproses SD888 juga menyokong rangkaian perhubungan terkini dipasaran iaitu dual 5G, Wi-Fi 6, Bluetooth 5.2 dan dual-band GPS.

Sepanjang kami melakukan ulasan Xiaomi 11T Pro ini, kami mendapati bahawa prestasi harian telefon pintar ini adalah konsisten tanpa sebarang lag dan setiap aplikasi dan permainan video juga boleh dimainkan dengan baik.


Kamera

Xiaomi 11T Pro tampil tetapan kamera yang sama seperti pada Mi 11i iaitu satu sensor utama 108MP, satu sensor ultrawide 8MP dan satu sensor telemakro 5MP serta lampu flash LED.

Sensor utama Xiaomi 11T Pro ini adalah 108MP Samsung ISOCELL HM2 yang mempunyai aperture f/1.75 dan lensa 7P. Sensor ini menampilkan ciri Nona-Bayer yang menggabungkan 9 gambar menjadikan resolusi output akhir adalah 12MP. Sedikit mengecewakan adalah sensor ini tidak mempunyai optik pengstabilan imej (OIS) namun terdapat pemfokusan PDAF.

Beralih kepada sensor ultrawide, ianya adalah unit 8MP Sony IMX355 yang mempunyai aperture f/2.2 dengan fokus tetap. Kedua-dua sensor ini juga menyokong mod malam.

Sensor ketiga pada Xiaomi 11T Pro adalah unit telemakro 5MP iaitu sensor Samsung S5K5E9 dengan aperture f/2.4. Sensor ini mempunyai pemfokusan auto dan mod fotografi makro boleh digunakan pada jarak antara 3 hingga 7cm.

Beralih kepada kamera selfie pula, ianya adalah sensor 16MP OmniVision OV16A1 yang memiliki aperture f/2.4.

Kualiti gambar yang terhasil menggunakan kamera belakang 108MP yang dimiliki Xiaomi 11T Pro ternyata baik namun dengan syarat cahaya yang baik dan terang. Ketiadaan OIS dilihat memberikan kesan kepada kualiti gambar kerana sensor tidak dapat mengimbangi gegaran yang dihasilkan oleh pengguna ketika mengambil gambar.

Selain itu, kualiti gambar daripada sensor ultrawide juga adalah baik walaupun ianya menggunakan sensor yang lebih kecil.

Selain itu, sensor telemakro 5MP yang turut disertakan pada Xiaomi 11T Pro ini ternyata mampu memberikan anda hasil fotografi makro yang baik dan ianya adalah sensor yang boleh didapati pada pelbagai model telefon pintar Xiaomi di pasaran. Sensor ini juga adalah lebih baik berbanding kebanyakkan sensor makro yang hanya terhad pada resolusi 2MP.

Jika terdapat satu kelemahan pada telefon pintar Xiaomi 11T Pro ini, ianya adalah pada kamera kerana kami berpendapat bahawa taraf kamera yang ditawarkan pada telefon pintar ini tidak mampu menyaingi peranti utama flaghship lain dipasaran.


Bateri

Xiaomi 11T Pro hadir dengan bateri berkapasiti 5,000mAh yang merupakan kapasiti bateri terbesar didalam keluarga Xiaomi 11.

Salah satu ciri yang paling mencuri tumpuan pada Xiaomi 11T Pro adalah pengecasan pantas 120W yang dikenali sebagai HyperCharge 120W dan adapter pengecasan yang menyokong tahap pengecasan luar biasa ini juga disertakan didalam kotak.

Bateri berkapasiti 5,000mAh yang digunakan pada Xiaomi 11T Pro adalah terbahagi kepada dua sel dan ini Xiaomi mendakwa bateri ini boleh dicaj penuh dari 0-100% didalam masa 17 minit sahaja.

Walaubagaimanapun, kami telah menjalankan ujian pengecasan kami yang tersendiri dan dari tahap 16% ke 100%, pengecasan HyperCharge 120W ini mengambil masa sekitar 18-19 minit yang bermaksud ianya sedikit tersasar daripada angka yang dikeluarkan oleh Xiaomi. Kami berpendapat pengecasan dari 0-100% mungkin mengambil masa sekitar 21-25 minit.

Selain itu, dengan penggunaan dua sel bateri ini, tahap kepanasan semasa pengecasan juga ternyata lebih rendah.

Penutup

Xiaomi 11T Pro terbukti sebagai sebuah telefon pintar yang mampu menawarkan pakej peranti flagship pada harga yang lebih berpatutan.

Walaubagaimanapun terdapat beberapa ciri yang terpaksa dikorbankan bagi memastikan harga telefon pintar ini kekal berpatutan seperti generasi Xiaomi T Series yang sebelum ini.

Jika anda mencari sebuah telefon pintar yang mampu menawarkan prestasi flagship dan skrin paparan 120Hz namun tidak terlalu memfokuskan kepada fotografi, Xiaomi 11T Pro adalah telefon pintar yang patut anda pertimbangkan.

Xiaomi 11T Pro kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 2,099 iaitu bagi versi 8/256GB manakala versi 12/256GB pula ditawarkan pada harga RM 2,299.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.