Porsche Design Huawei Mate40 RS dan Watch GT2 kini rasmi – peranti bangsawan
Selain pelancaran HUAWEI Mate40, Mate40 Pro dan Mate40 Pro+, Huawei juga telah memperkenalkan Porsche Design Huawei Mate40 RS dan Porsche Design Watch GT 2.
Porsche Design Huawei Mate40 RS merupakan model generasi keenam kerjasama antara Huawei dan Porsche Design.
Dari segi dalaman, telefon pintar ini memiliki spesfikasi yang 100% sama seperti Huawei Mate40 Pro+ namun pada bahagian luaran, ianya hadir dengan indentiti yang tersendiri.
Panel belakang Porsche Design HUAWEI Mate40 RS tampil dengan reka bentuk kamera octagon dengan dua kemasan iaitu Ceramic White dan Ceramic Black.
Selain itu, pada modul kamera ini juga terdapat satu sensor suhu inframerah yang mampu menyukat suhu dari -20° sehingga 100°.
Panel belakang ini juga mempunyai jalur yang melangkaui kamera dengan tulisan jenama Porsche Design.
Selain itu, Porsche Design Huawei Mate40 RS ini juga hadir dengan 12GB RAM dan 512GB storan dalaman namun ianya adalah produk mewah yang akan ditawarkan pada harga €2,295 (RM 11,228).
Porsche Design Huawei Watch GT 2
Porsche Design Huawei Watch GT 2 menampilkan reka bentuk berasaskan gelas sapphire dan bingkai titanium.
Bahagian belakang jam tangan diperbuat daripada seramik yang mesra kulit sementara tali pergelangan tangan adalah titanium dan mempunyai pendakap rama-rama.
Bahagian tali jam juga mempunyai pelaras yang membolehkan anda melonggar atau mengetatkanya dengan tangan, tanpa memerlukan alat tambahan untuk mengubah panjang tali jam.
Seperti Watch GT 2 Pro, ianya menyokong 100 mod kecergasan, bacaan degupan jantung dan SpO2 berterusan, kalis air 5ATM, TrueSleep 2.0 dan 14 hari jangka hayat bateri.
Selain itu, Porsche Design Huawei Watch GT 2 juga hadir dengan skrin paparan AMOLED 1.39”, HUAWEI OS pada rangka 46mm.
Harga penjualan Porsche Design Huawei Watch GT 2 adalah €695 (RM 3,400).