HTC Butterfly 3 dilancarkan secara rasmi – skrin paparan QHD
HTC secara rasminya telah melancarkan HTC Butterfly 3 yang merupakan versi antarabangsa bagi HTC J Butterfly yang telah ditawarkan di Jepun sejak 5 bulan lalu.
Seperti J Butterfly, Butterfly 3 yang hadir ke pasaran sebagai pengganti kepada Butterfly 2 mempunyai skrin paparan QHD 5.2-inci, pemproses Snapdragon 810, 3GB RAM dan memori simpanan dalaman 32GB dengan sokongan kad microSD sehingga 2TB.
Apa yang jelas melalui HTC Butterfly 3 ini adalah, syarikat taiwan ini mahu memberikan teknologi kamera yang terbaik kepada penggunanya.
Pada bahagian belakang, Butterfly 3 ini hadir dengan kamera utama 20.2MP dengan satu sensor tambahan khusus untuk membolehkan anda memperbaiki pemfokusan selepas sesuatu gambar itu diambil. Teknologi ini dikenali sebagai ‘Duo’. Lensa kamera utama telefon pintar ini turut dilapisi gelas Sapphire dan mempunyai dua lampu flash dwi-tona serta rakaman video 4K.
Kamera hadapan juga tidak kurang hebatnya, ianya ahadir dengan kamera BSI 13 MP dengan aperture f/2.0 dan mampu merakam video 1080p.
HTC Butterfly juga dilengkapi bateri berkapasiti 2,700mAh, tahap kekalisan air dan habuk IP57 dan hadir dengan sistem operasi Android 5.0 Loliipop.
HTC Butterfly 3 akan ditawarkan mulai 20 Oktober di pasaran Taiwan terlebih dahulu dengan harga penjualan tempatan TWD 19,900. Selain itu, buat masa ini HTC tidak mendedahkan sebarang maklumat harga dan tarikh pelancaran model ini ke pasaran Global.