POCO F9 Ultra & F9 Pro Kini Rasmi di Malaysia, Prestasi Flagship pada harga mampu milik

POCO secara rasminya telah memperkenalkan POCO F9 Ultra dan POCO F9 Pro, meneruskan legasi siri F dalam segmen telefon pintar flagship premium. Kedua-dua model menawarkan peningkatan besar dari segi prestasi, permainan, paparan, kamera dan bateri, selain meneruskan kerjasama POCO bersama Bose untuk pengalaman audio mudah alih yang lebih premium.
Terus ke spesifikasi, POCO F9 Ultra dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 Mobile Platform dengan skor AnTuTu sehingga 4,165,108, menjadikannya skor tertinggi pernah dicatatkan oleh peranti POCO. Sementara itu, kedua-dua model turut dilengkapi cip VisionBoost D8 yang membolehkan Smart Frame Rate sehingga 185FPS, termasuk sokongan untuk AI Super Resolution bagi menghasilkan pengalaman permainan yang lebih lancar dan tajam.
Dengan sokongan WildBoost Engine, lebih 20 permainan boleh dimainkan secara asli pada kadar sehingga 185FPS, manakala lima permainan tambahan turut menyokong kadar tersebut menerusi Smart Frame Rate. Kedua-dua model juga menawarkan kadar pensampelan sentuhan segera sehingga 4,800Hz, 480Hz 10-point touch sampling serta 200Hz gyro sampling untuk kawalan yang lebih pantas dan responsif. Sistem penyejukan POCO 3D IceLoop pula membantu memastikan prestasi kekal stabil ketika sesi permainan intensif.
Dari segi paparan, POCO F9 Series menggunakan skrin POCO HyperRGB AMOLED dengan kadar segar semula sehingga 185Hz. POCO F9 Ultra hadir dengan skrin lebih besar iaitu berukuran 6.9-inci, manakala POCO F9 Pro menggunakan skrin 6.59-inci yang lebih kompak. Teknologi HyperRGB menawarkan kualiti visual setanding paparan 2K dengan penggunaan tenaga lebih rendah, selain mencapai tahap kecerahan sehingga 4,500 nits dan 10,000 nits untuk kandungan HDR.
Kedua-dua peranti turut memperkenalkan Xiaomi Vision Care, penyelesaian penjagaan mata komprehensif yang menerima pensijilan TÜV Rheinland Quadruple Eye Care. Dari segi reka bentuk, POCO F9 Ultra menampilkan lampu dinamik pada bahagian belakang untuk panggilan, notifikasi, permainan dan muzik. POCO F9 Pro pula hadir dengan reka bentuk luminous panel penuh pertama POCO pada pilihan warna Aurora Green yang boleh menyala selepas terdedah kepada cahaya.
Kerjasama POCO bersama Bose turut membawa pengalaman audio yang lebih baik. POCO F9 Ultra dilengkapi konfigurasi audio 2.1 saluran dengan pembesar suara stereo simetri dan subwoofer bebas untuk menghasilkan bass lebih dalam serta pentas bunyi lebih luas. POCO F9 Pro pula menggunakan pembesar suara stereo simetri dengan Sealed Cavity Design untuk vokal yang lebih jelas dan bunyi lebih terperinci.
Kedua-dua model menawarkan profil audio Dynamic dan Balanced hasil talaan Sound by Bose, selain Game Audio Mode yang meningkatkan bunyi tapak kaki untuk membantu pemain mengenal pasti arah musuh dengan lebih jelas.
Dari segi bateri, POCO F9 Ultra membawa bateri terbesar dalam sejarah siri F dengan kapasiti 8,050mAh, manakala POCO F9 Pro dilengkapi bateri 6,330mAh. Kedua-duanya menyokong pengecasan pantas HyperCharge 100W berwayar dan 50W tanpa wayar, selain pengecasan terbalik sehingga 27W secara berwayar dan 22.5W tanpa wayar.
POCO F9 Series juga memperkenalkan sistem kamera 200MP pertama POCO dengan sokongan OIS, bersama kamera swafoto 32MP. POCO F9 Ultra dilengkapi kamera periskop telefoto 5x dengan sokongan 10x lossless zoom dan 20x AI Ultra Zoom. POCO F9 Pro pula menggunakan kamera floating telephoto 50MP 2.5x yang boleh memfokus sedekat 10cm untuk rakaman makro. Kedua-dua model turut menyokong rakaman video 4K dan ciri Live Cinematography.
POCO F9 Series kini boleh didapati di Malaysia dari 1 hingga 16 September 2026 menerusi mi.com serta kedai rasmi POCO di Shopee, Lazada dan TikTok Shop.
POCO F9 Ultra akan ditawarkan dalam warna Dark Cherry dan Black, dengan harga promosi bermula dari RM3,299 bagi model 12GB+256GB, RM3,699 bagi 16GB+512GB dan RM4,399 untuk 16GB+1TB. Pembeli juga akan menerima POCO Pad C1 secara percuma serta waranti dua tahun, perlindungan penggantian skrin dalam tempoh enam bulan, akses Google AI Pro selama tiga bulan dan YouTube Premium selama tiga bulan.
Sementara itu, POCO F9 Pro tersedia dalam warna Aurora Green, White dan Black, dengan harga promosi RM2,799 untuk versi 12GB+256GB dan RM3,099 bagi 12GB+512GB. Pembeli akan menerima Xiaomi Smart Band 10 Pro secara percuma bersama manfaat tambahan yang sama.




