Xiaomi Lancar Peralatan Rumah Pintar dan Smart Band 11 Active Baharu di Malaysia

Xiaomi hari ini mengumumkan enam produk baharu di Malaysia, sekali gus memperluaskan portfolio peralatan rumah pintar dan peranti boleh pakainya. Produk yang diperkenalkan terdiri daripada Mijia Front Load Washer Dryer Pro 12.5kg, Mijia Smart Air Purifier 6 Plus, Mijia Front Load Washer 8kg, Xiaomi Robot Vacuum 6 Max, Xiaomi Smart Double Stack Air Fryer 12L serta Xiaomi Smart Band 11 Active.
Mijia Front Load Washer Dryer Pro 12.5kg
Mijia Front Load Washer Dryer Pro 12.5kg menawarkan kapasiti cucian 12.5kg dan pengeringan 8kg dalam satu peranti. Ia dilengkapi dram berdiameter 525mm, sistem Dual Auto Dosing untuk melaraskan penggunaan detergen dan pelembut secara automatik serta teknologi Smart Infusion.
Teknologi tersebut membolehkan kitaran Smart Wash diselesaikan dalam 32 minit, manakala Quick Wash mengambil masa serendah 12 minit untuk pakaian yang kurang kotor. Fungsi cucian wap pula mampu menyingkirkan sehingga 99.99% bakteria, manakala sensor pengeringan pintar membantu mengelakkan pakaian daripada terlalu kering. Sambungan Xiaomi Home turut membolehkan pengguna mengawal dan menjadualkan cucian dari jauh.
Mijia Front Load Washer 8kg
Bagi kediaman dengan ruang lebih kecil, Mijia Front Load Washer 8kg hadir dengan badan ultra nipis berukuran 421mm serta dram berdiameter 525mm. Ia menawarkan lebih daripada 28 program cucian bersama teknologi Power Wash dan fungsi cucian wap bersuhu tinggi.
Mesin ini turut menawarkan Quick Wash selama 15 minit serta teknologi pengesanan beban yang melaraskan penggunaan air dan tempoh cucian secara automatik. Melalui aplikasi Xiaomi Home, pengguna juga boleh mengawal mesin dari jauh serta menyesuaikan tetapan cucian mengikut keperluan.
Mijia Smart Air Purifier 6 Plus
Mijia Smart Air Purifier 6 Plus direka untuk kediaman bersaiz besar dengan liputan sehingga 91m² dan aliran udara sehingga 12,666L/min. Ia menggunakan sistem dwi-kipas, dwi-penapis serta penapisan lima peringkat untuk membantu menapis habuk, zarah halus, alergen, formaldehid, bau dan TVOC.
Penapis udara ini turut dilengkapi lima sensor berketepatan tinggi untuk memantau kualiti udara secara masa nyata. Dalam mod paling senyap, ia beroperasi serendah 19.4dB(A) dan boleh dikawal menerusi aplikasi Xiaomi Home.
Xiaomi Robot Vacuum 6 Max
Xiaomi Robot Vacuum 6 Max menawarkan kuasa sedutan sehingga 35,000Pa, menjadikannya robot vakum paling berkuasa Xiaomi setakat ini. Ia turut menggunakan roller mop dengan air mengalir secara masa nyata serta sistem tiga lengan mekanikal untuk membersihkan bahagian sudut, tepi dan sekitar kaki perabot dengan lebih menyeluruh.
Dari segi kecerdasan, sistem AI tiga kamera bersama LiDAR 360° boleh mengenal pasti lebih daripada 320 jenis halangan dan kotoran. Robot ini juga mampu melepasi halangan setinggi sehingga 6cm dan memasuki ruang serendah 9.3cm.
Stesen omni pula menawarkan pengalaman pembersihan lebih automatik dengan keupayaan mengosongkan habuk sehingga 75 hari, mencuci mop pada suhu sehingga 85°C dan mengeringkannya menggunakan udara panas 50°C.
Xiaomi Smart Double Stack Air Fryer 12L
Xiaomi Smart Double Stack Air Fryer 12L menggunakan reka bentuk dua bakul yang disusun secara menegak dengan kapasiti keseluruhan 12L. Ia membolehkan pengguna menyediakan sehingga empat hidangan secara serentak sambil menjimatkan kira-kira 35% ruang permukaan meja berbanding Xiaomi Dual Zone Air Fryer 10L.
Ia menawarkan kuasa 2,800W, aliran udara panas 360°, 14 mod memasak serta julat suhu antara 40°C hingga 230°C. Fungsi Sync pula membolehkan kedua-dua bakul menamatkan proses memasak pada masa yang sama walaupun menggunakan suhu dan tempoh memasak berbeza.
Melalui aplikasi Xiaomi Home, pengguna juga boleh mengakses lebih daripada 100 resipi, menjadualkan proses memasak sehingga 24 jam lebih awal dan menggunakan mod Keep Warm.
Xiaomi Smart Band 11 Active
Melengkapkan pelancaran ini, Xiaomi Smart Band 11 Active hadir dengan skrin warna 1.47 inci dan kadar segar semula 60Hz. Ia menawarkan pemantauan kadar degupan jantung, SpO₂, tidur dan tekanan sepanjang hari, selain menyokong 50 mod sukan.
Dengan ketahanan air 5ATM, Smart Band 11 Active turut sesuai digunakan untuk menjejaki aktiviti berenang. Ia menawarkan hayat bateri sehingga 21 hari dalam mod penggunaan ringan serta lebih daripada 100 pilihan muka jam.
Turut disediakan ialah fungsi notifikasi, kawalan muzik, pengurusan acara dan kemas kini cuaca untuk kegunaan harian.
Harga dan Ketersediaan
Semua produk baharu ini akan dijual melalui Xiaomi Stores di seluruh negara, mi.com serta kedai rasmi Xiaomi di Shopee, Lazada dan TikTok Shop.
- Mijia Front Load Washer Dryer Pro 12.5kg – RRP RM3,399, harga promosi RM2,399
- Mijia Smart Air Purifier 6 Plus – RRP RM1,999, harga promosi RM1,499
- Mijia Front Load Washer 8kg – RRP RM1,999, harga promosi RM1,199
- Xiaomi Robot Vacuum 6 Max – RRP RM5,099, harga promosi RM4,499 (tersedia mulai 2 September 2026)
- Xiaomi Smart Double Stack Air Fryer 12L – RRP RM899, harga promosi RM779 (tersedia mulai 2 September 2026)
- Xiaomi Smart Band 11 Active – RRP RM199, harga promosi RM119 (tersedia mulai 2 September 2026)
Mijia Front Load Washer Dryer Pro 12.5kg, Mijia Smart Air Purifier 6 Plus dan Mijia Front Load Washer 8kg pula akan mula dijual pada 9 September 2026.






