Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Samsung Galaxy Watch9 – sempurna untuk semua pengguna

ULASAN : Samsung Galaxy Watch9 - sempurna untuk semua pengguna 1

ULASAN : Samsung Galaxy Watch9 - sempurna untuk semua pengguna 2

Pengenalan

Bersama-sama Galaxy Z Series, Samsung juga telah memperkenalkan generasi baharu Galaxy Watch9 Series yang tidak begitu mendapat perhatian seperti Galaxy Watch Ultra2.

Walaubagaimanapun, Samsung Galaxy Watch9 masih menawarkan beberapa upgrade yang wajar diberikan perhatian terutamanya dari segi cipset kerana ianya dikuasakan dengan cipset yang sama seperti pada Galaxy Watch Ultra2 iaitu Snapdragon Wear Elite.

Selain itu, Galaxy Watch9 juga tampil dengan kapasiti bateri yang lebih besar iaitu 390mAh pada saiz 40mm dan 445mAh pada saiz 44mm.

Seperti tahun-tahun sebelum ini Galaxy Watch9 ditawarkan didalam dua saiz iaitu 40mm yang lebih sesuai untuk golongan wanita manakala saiz 44mm adalah lebih sesuai untuk golongan lelaki yang tidak memerlukan fungsi tambahan yang ditawarkan pada Galaxy Watch Ultra2.

Selain penambahbaikan yang disebut, Galaxy Watch9 juga tampil dengan beberapa ciri baharu yang berkait dengan kesihatan dan kecergasan. pengguna.

Tanpa membuang masa, jom baca lebih mendalam tentang Galaxy Watch9 yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga yang bermula dari RM 1,499.

ULASAN : Samsung Galaxy Watch9 - sempurna untuk semua pengguna 3

Reka Bentuk

Dari segi reka bentuk, Samsung Galaxy Watch9 tidak membawa banyak perubahan berbanding generasi sebelumnya. Samsung masih mengekalkan reka bentuk yang sama seperti Galaxy Watch8, menjadikannya agak sukar untuk membezakan kedua-dua model ini secara visual.

Perubahan paling ketara hanyalah pada berat, dengan Galaxy Watch9 sekitar 2 gram lebih berat, yang mungkin disebabkan oleh penggunaan bateri yang lebih besar. Namun, perbezaan tersebut hampir tidak dirasakan ketika dipakai.

Dari segi pilihan warna pula, Samsung Galaxy Watch9 hadir didalam kemasan warna Graphite dan Silver. Unit yang kami terima untuk ulasan ini adalah Galaxy Watch9 bersaiz 40mm dalam warna Graphite, yang memberikan penampilan minimalis dan sepadan dengan Galaxy Z Fold8 kami.

Dari aspek ketahanan, Galaxy Watch9 hadir dengan pensijilan IP68 serta rating 5ATM, membolehkannya bertahan dalam air pada kedalaman sehingga 50 meter. Walaupun ia tidak mencapai tahap ketahanan 100 meter seperti Galaxy Watch Ultra2, ini sudah memadai untuk penggunaan harian yang termasuk aktiviti seperti berenang.

Samsung turut menggunakan bahan Armor Aluminum 2 pada bahagian badan jam. Namun, bahagian bawah yang menempatkan sensor masih diperbuat daripada plastik. Bahagian skrin pula dilindungi kaca sapphire yang menawarkan ketahanan lebih baik terhadap calar, terutama untuk penggunaan harian.

Satu lagi perubahan yang kini menjadi sebahagian daripada Galaxy Watch9 ialah sistem Dynamic Lug untuk tali jam. Sistem ini membolehkan tali ditanggalkan dan dipasang dengan lebih pantas tanpa memerlukan proses yang rumit. Walau bagaimanapun, ia menggunakan mekanisme proprietari Samsung, bermakna tali jam standard tidak boleh digunakan.

Dalam pada itu, tali yang disertakan bersama pembelian Galaxy Watch9 adalah yang diperbuat daripada silikon lembut yang ringan dan selesa dipakai. Ia bukanlah sesuatu yang istimewa dari segi reka bentuk, tetapi cukup baik untuk kegunaan harian. Samsung turut menawarkan pelbagai pilihan tali tambahan, termasuk jenis silikon dan fabrik dalam pelbagai warna.

Beralih kepada skrin, Samsung Galaxy Watch9 40mm yang kami terima hadir dengan paparan Super AMOLED berukuran 1.34-inci yang menawarkan kecerahan sehingga 3,000nits sama seperti pada generasi sebelum ini. Ianya menawarkan kadar kecerahan yang optimum walaupun digunakan di persekitaran luar dengan cahaya matahari yang terik sesuai untuk pelbagai aktiviti outdoor.

Secara keseluruhan, Galaxy Watch9 bukanlah sebuah jam pintar yang membawa perubahan besar dari aspek reka bentuk. Samsung memilih untuk mengekalkan DNA yang sudah digunakan pada Galaxy Watch8, dengan beberapa penambahbaikan kecil. Reka bentuknya masih kelihatan premium, selesa dan praktikal.

ULASAN : Samsung Galaxy Watch9 - sempurna untuk semua pengguna 4

Ciri-ciri Galaxy Watch9

Buat pertama kalinya, Samsung Galaxy Watch9 hadir dengan cip keluaran Qualcomm. Kedua-dua model ini dikuasakan oleh Snapdragon Wear Elite, yang menawarkan peningkatan prestasi CPU sehingga 32% serta GPU sehingga 19% berbanding generasi sebelumnya.

ULASAN : Samsung Galaxy Watch9 - sempurna untuk semua pengguna 5

Dalam pada itu, Samsung turut mendakwa cip baharu ini mampu meningkatkan ketepatan GPS dengan ketara, termasuk ketika digunakan di kawasan yang mempunyai liputan satelit yang agak terhad seperti kawasan hutan tebal.

Dari segi penggunaan harian, prestasinya masih terasa pantas dan responsif seperti pada generasi sebelum ini.

Selain itu, Snapdragon Wear Elite pada Galaxy Watch9 juga disertakan bersama 2GB RAM dan 32GB storan dalaman yang mencukupi untuk menyimpan beberapa muzik daripada Spotify serta aplikasi dan data penting lain.

Dari aspek sensor, Galaxy Watch9 memiliki penawaran sensor yang cukup komprehensif yang termasuk :

  • Accelerometer
  • Barometer
  • Gyro Sensor
  • Geomagnetic Sensor
  • Temperature Sensor
  • Light Sensor

ULASAN : Samsung Galaxy Watch9 - sempurna untuk semua pengguna 6

Lebih lanjut, Galaxy Watch9 juga dilengkapi sensor Samsung BioActive, yang menggabungkan beberapa fungsi pemantauan kesihatan dalam satu sistem. Ia merangkumi Bioelectrical Impedance Analysis (BIA), sensor elektrik untuk bacaan ECG, serta sensor optikal bagi pemantauan kadar denyutan jantung (heart rate).

ULASAN : Samsung Galaxy Watch9 - sempurna untuk semua pengguna 7

One UI Watch 9 & Samsung Health

Galaxy Watch9 menggunakan sistem operasi berasaskan Wear OS 7 dengan One UI Watch 9. Dari segi reka bentuk UI dan cara navigasi, pengalaman yang ditawarkan masih sama seperti One UI Watch 8 sebelum ini. Jadi, pengguna model terdahulu tidak akan berdepan perubahan yang terlalu besar dari sudut penggunaan.

Menariknya, Samsung buat pertama kali telah mendedahkan tempoh sokongan perisian secara rasmi untuk Galaxy Watch9 dan Galaxy Watch Ultra2. Kedua-dua jam pintar ini dijanjikan sehingga lima tahun kemas kini sistem operasi utama.

Seterusnya, Integrasi Now Bar dan Gemini AI juga masih menjadi sebahagian daripada pengalaman unik pada jam pintar ini. Fungsi tersebut membolehkan pengguna melakukan tugasan mudah seperti menetapkan pemasa, menambah janji temu ke kalendar atau mendapatkan arah perjalanan terus melalui jam. Namun, One UI Watch 9 memperkenalkan cara interaksi yang lebih mudah menerusi fungsi raise-to-talk. Pengguna hanya perlu mengangkat pergelangan tangan sebelum memberikan arahan kepada Gemini.

ULASAN : Samsung Galaxy Watch9 - sempurna untuk semua pengguna 8

Samsung Health dan Pemantauan Kesihatan

Melalui One UI Watch 9, Samsung dilihat mahu membawa Samsung Health ke arah pendekatan yang lebih proaktif dan bersifat pencegahan, bukannya sekadar memberikan maklumat selepas sesuatu berlaku.

Galaxy Watch9 mengumpulkan pelbagai bacaan daripada sensornya sebelum Samsung Health menganalisis data tersebut untuk mengenal pasti sebarang perubahan yang ketara daripada tahap normal pengguna. Jika terdapat sesuatu yang luar daripada kebiasaan, pengguna akan menerima pemberitahuan supaya tindakan lanjut boleh diambil.

ULASAN : Samsung Galaxy Watch9 - sempurna untuk semua pengguna 9

Dari aspek ciri kesihatan baharu, selain Vascular Load, Samsung Health kini turut menyediakan skor ringkasan berkaitan tahap kesihatan jantung secara keseluruhan, yang dikenali sebagai Vital. Skor ini mengambil kira beberapa faktor utama seperti purata tempoh tidur selama tujuh hari, tahap aktiviti fizikal sederhana hingga tinggi, BMI serta bacaan Vascular Load.

Untuk mendapatkan bacaan yang lebih lengkap dan tepat, pengguna perlu memakai Galaxy Watch9 secara konsisten selama sekurang-kurangnya seminggu, termasuk ketika tidur. Data yang dikumpulkan sepanjang tempoh tersebut kemudiannya digunakan untuk memberikan panduan yang lebih diperibadikan, termasuk ketika melakukan aktiviti atau sesi senaman untuk anda benar-benar mempunyai maklumat penuh keadaan kesihatan anda.

ULASAN : Samsung Galaxy Watch9 - sempurna untuk semua pengguna 10

Bateri

Samsung Galaxy Watch9 40mm hadir dengan bateri berkapasiti 390mAh yang mampu menawarkan sehingga 24 jam penggunaan didalam satu pengecasan namun segalanya bergantung kepada cara penggunaan seseorang.

Walaupun memberikan jangka hayat bateri yang lebih baik berbanding generasi sebelum ini, ianya masih jauh berbeza dengan penanda aras yang dibawa oleh Galaxy Watch Ultra2.

Dari segi pengecasan, Galaxy Watch9 menggunakan pengecas tanpa wayar 10W yang disertakan bersama jam tangan. Dengan pengecasan tersebut, bateri Galaxy Watch9 boleh dicas daripada penuh 100% dalam masa sekitar 90 minit.

ULASAN : Samsung Galaxy Watch9 - sempurna untuk semua pengguna 11

Penutup

Samsung Galaxy Watch9 tampil dengan penambahbaikan yang agak minimal berbanding generasi sebelum ini namun penggunaan chipset yang sama seperti Galaxy Watch Ultra2 sedikit sebanyak memberikan ianya nafas baharu.

Untuk rekod, Samsung Galaxy Z Fold8 kini ditawarkan di Malaysia pada harga bermula dari RM 1,499

 

 

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.