Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

Nothing OS 5.0 kini rasmi dengan Android 17 – senarai peranti yang layak juga diumumkan

Nothing OS 5.0 kini rasmi dengan Android 17 - senarai peranti yang layak juga diumumkan 1

Nothing OS 5.0 kini rasmi dengan Android 17 - senarai peranti yang layak juga diumumkan 2

Nothing secara rasmi telah memperkenalkan Nothing OS 5.0, versi terbaharu sistem operasi Android miliknya. Kemas kini ini dibangunkan dengan konsep Android yang lebih ringkas, tetapi pada masa sama memberikan lebih banyak kawalan, pilihan personalisasi dan ciri baharu kepada pengguna.

Nothing OS 5.0 membawa perubahan pada antaramuka dengan pilihan reka bentuk baharu untuk skrin utama. Tema tambahan ini hadir bersama elemen lutsinar pada widget dan bar carian, menghasilkan kesan kedalaman serta lapisan yang lebih menarik. Pendekatan sama turut diterapkan pada aplikasi seperti Gallery untuk memberikan pengalaman visual yang lebih konsisten.

Sistem warna adaptif baharu pula mengambil warna utama daripada wallpaper pengguna. Ikon aplikasi akan menerima sedikit tona warna, manakala widget turut menyesuaikan warnanya mengikut wallpaper. Widget Quick Settings bersaiz 1×1 juga akan menggunakan warna utama wallpaper dan berubah secara automatik apabila wallpaper ditukar.

Nothing turut menyegarkan beberapa bahagian sistem seperti Status Bar, Settings, Camera dan Gallery dengan ikon, susun atur serta animasi yang dikemas kini. Aplikasi Gallery kini menawarkan pilihan susunan foto yang lebih fleksibel serta paparan album yang direka semula bagi memudahkan pengguna mencari gambar.

Dari segi tipografi, Nothing OS 5.0 menggunakan font Geist bersama saiz teks yang diperbaharui, bentuk bucu yang lebih seragam, kesan blur yang konsisten serta reka bentuk ikon yang lebih sekata.

Kemas kini ini memperkenalkan dua pilihan jam baharu untuk lock screen. Gooey menggunakan bentuk yang lebih berani dan fluid, manakala Micrographics tampil dengan reka bentuk berinspirasikan perkakasan yang memaparkan maklumat seperti tarikh, masa, cuaca dan mesyuarat akan datang. Warna jam pada lock screen juga boleh diubah untuk dipadankan dengan wallpaper.

Pengurusan skrin utama turut dipermudahkan. Pengguna kini boleh memilih dan mengalihkan beberapa aplikasi serta widget secara serentak, berbanding perlu melakukannya satu demi satu.

Dua widget baharu turut diperkenalkan. Collector membolehkan pengguna mengumpulkan objek kegemaran yang dirakam melalui Camera atau Gallery dan memaparkannya pada Home Screen serta Lock Screen. Away Time pula merekod tempoh pengguna tidak menggunakan telefon, termasuk tempoh rehat paling lama serta perubahan masa tanpa skrin sepanjang minggu.

Bagi Glyph Interface, Nothing kini menyediakan aplikasi khusus yang menghimpunkan semua ciri, bunyi, nada dering dan jadual Glyph dalam satu tempat. Widget Glyph Timer juga membolehkan pengguna menetapkan pemasa terus dari Home Screen, dengan baki masa dipaparkan melalui Glyph di bahagian belakang telefon.

Nothing OS 5.0 turut membawa beberapa peningkatan prestasi, khususnya dari segi tindak balas sentuhan, pengurusan aplikasi di latar belakang dan penggunaan sumber sistem.

Sistem akan memberikan keutamaan kepada aplikasi yang sedang digunakan bagi mengurangkan gangguan ketika memori berada dalam keadaan terhad. Teknologi kecerdasan pada peranti juga boleh mengenal pasti aplikasi yang kerap digunakan dan memastikan aplikasi tersebut lebih bersedia untuk dibuka.

Selain itu, penyelenggaraan automatik pada waktu malam akan membantu mengoptimumkan penggunaan memori supaya prestasi telefon kekal konsisten untuk tempoh lebih panjang. Animasi sistem juga diperluaskan dan diperhalusi merentasi aplikasi, folder, widget, multitasking serta pintasan.

Quick Settings untuk Bluetooth kini direka semula supaya pengguna boleh mencari, menyambung atau memutuskan sambungan peranti berdekatan dengan lebih mudah dan hanya memerlukan beberapa ketikan.

Pada aplikasi Camera pula, kod QR yang dikesan akan kekal dipaparkan pada skrin, membolehkan pengguna menekannya dengan lebih mudah tanpa perlu mengimbas semula.

Nothing turut memberikan perhatian kepada ciri kecerdasan buatan menerusi beberapa peningkatan pada Essential Voice dan Essential Space.

Essential Voice kini menawarkan transkripsi yang lebih pantas dengan format teks yang lebih kemas. Sistem juga lebih baik dalam menentukan sama ada sesuatu percakapan perlu disusun sebagai senarai atau kekal dalam bentuk perenggan, sekali gus mengurangkan kesilapan dan kehilangan maklumat.

Transkripsi masa nyata kini turut memaparkan perkataan ketika pengguna bercakap. Audio juga boleh dirakam terus melalui casing Ear (3) menggunakan ciri SuperMic.

Essential Space pula mendapat ciri Smart Collections yang boleh menyusun pelbagai memori secara automatik dengan mencadangkan kandungan untuk koleksi baharu atau sedia ada.

Sokongan Model Context Protocol (MCP) turut diperkenalkan, membolehkan alat AI lain mencari dan membaca data Essential Space yang telah dipilih oleh pengguna.

Penggunaan Essential Key untuk menyimpan kandungan juga dipermudahkan dan kini lebih konsisten sama ada ketika berada di Lock Screen, Home Screen mahupun dalam aplikasi.

Satu lagi ciri menarik ialah Essential Apps Builder yang kini hadir sebagai aplikasi terbina dalam telefon. Melaluinya, pengguna hanya perlu menerangkan aplikasi yang ingin dibina dan sistem akan membantu menghasilkan serta menerapkannya terus pada peranti tanpa memerlukan kemahiran coding. Aplikasi yang dihasilkan juga boleh digunakan terus dari Home Screen.

Nothing OS 5.0 dibangunkan berasaskan Android 17 dan membawa beberapa perubahan yang diperkenalkan oleh sistem operasi tersebut.

Antara perubahan utama ialah pemisahan panel Notifications dan Quick Settings. Pengguna boleh meleret dari sebelah kiri skrin untuk membuka Notifications, manakala leretan dari sebelah kanan akan membuka Quick Settings.

Kemas kini ini turut memperkenalkan Quick Share rentas platform. Pengguna kini boleh berkongsi fail antara peranti Android dan iPhone menggunakan kod QR tanpa memerlukan aplikasi tambahan.

Dari aspek privasi, sistem akan memberikan petunjuk apabila aplikasi sedang menggunakan kamera, mikrofon atau lokasi. Kawalan rakaman skrin serta tetapan kebenaran lokasi turut diperjelaskan.

Beberapa ciri lain termasuk emoji Noto 3D, sokongan Dark Theme yang lebih meluas, kawalan kelantangan Assistant secara berasingan, paparan HDR dengan tahap kecerahan lebih tinggi serta reka bentuk Recents Screen yang baharu.

Nothing OS 5.0 Open Beta mula ditawarkan pada 26 Ogos 2026, jam 11:00 pagi waktu BST, dengan Nothing Phone (3) menjadi peranti pertama yang menerima kemas kini tersebut.

Lebih banyak peranti yang layak akan menyertai program beta ini secara berperingkat. Nothing juga telah menyediakan jadual pelancaran khusus bagi setiap peranti seperti dibawah:

Nothing OS 5.0 kini rasmi dengan Android 17 - senarai peranti yang layak juga diumumkan 3

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.