HONOR Robot Phone Hampir Dilancarkan, Tampil dengan Kamera Gimbal 200MP dan Teknologi Sinematik Arri

Menjelang pelancarannya pada 12 Ogos, HONOR mula mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai HONOR Robot Phone, sebuah telefon pintar yang dijangka memberi tumpuan kepada pengalaman fotografi dan videografi bertaraf profesional.
Dalam satu acara khas yang diadakan di China, HONOR memperincikan sistem kamera peranti tersebut, termasuk kerjasama bersama jenama kamera sinema terkenal dari Jerman, Arri yang menjadikan Robot Phone sebagai telefon pintar pertama HONOR yang mengintegrasikan beberapa teknologi sinematik eksklusif bagi menghasilkan rakaman video dengan kualiti lebih profesional.
Antara ciri utama yang diperkenalkan ialah sokongan Log-C3 untuk rakaman video, membolehkan pengguna merakam video dengan julat dinamik yang lebih luas bagi tujuan suntingan profesional. Peranti ini turut menyokong LUT (Look-Up Table) Color Grading yang diproses terus pada telefon, selain Cinema Mode yang direka untuk menghasilkan warna dan karakter imej seakan kamera sinema Arri.
Dalam pada itu, HONOR turut mendedahkan bahawa pembangunan Robot Phone melibatkan lebih daripada 100 paten, sekali gus menunjukkan fokus syarikat terhadap inovasi dalam teknologi pengimejan mudah alih.
Selain itu, tarikan terbesar Robot Phone ialah kamera utama 200MP yang dipasang pada sistem gimbal tiga paksi (3-axis gimbal) bagi meningkatkan kestabilan ketika mengambil gambar dan merakam video.
Sensor utama bersaiz 1/1.28 inci itu dipadankan dengan bukaan f/1.6 dan menggunakan cip pemproses imej (ISP) baharu yang dibangunkan sendiri oleh HONOR, dikenali sebagai Yuguang H1. Gabungan ini dijangka mampu memberikan prestasi pengimejan yang lebih baik, terutama dalam keadaan pencahayaan rendah dan rakaman video yang lebih stabil.
Bagi menyokong sistem gimbal tersebut, HONOR turut membangunkan motor khas seberat hanya 2.6 gram. Menurut syarikat itu, motor berkenaan adalah 65% lebih kecil berbanding motor gimbal konvensional, namun menawarkan 35% ketumpatan tork lebih tinggi, sekali gus meningkatkan keupayaan penstabilan tanpa menambah saiz peranti.
Selain kamera utama, Robot Phone dijangka hadir dengan kamera telefoto periskop 200MP serta kamera ultra lebar 50MP, melengkapkan sistem kamera yang memfokuskan kepada pengalaman fotografi premium.
Dari segi spesifikasi lain, Robot Phone dijangka hadir dengan skrin paparan bersaiz sekitar 6.3 hingga 6.4 inci, dipacu cip pemproses Snapdragon 8 Elite Gen 5 serta dibekalkan bateri berkapasiti 6,000mAh.
Dengan pelancarannya yang semakin hampir, lebih banyak maklumat mengenai HONOR Robot Phone dijangka akan didedahkan dalam beberapa hari lagi.





