ULASAN : OPPO Enco Air5s – Earbuds Semi in-ear pertama OPPO dengan ANC

Pengenalan
Bersama pelancaran OPPO RENO16 Series 5G, OPPO Malaysia juga telah melancarkan earbuds terbaharu syarikat ini iaitu OPPO Enco Air5 Series yang tampil didalam dua model iaitu Enco Air5 dan Enco Air5s.
Paling menarik adalah OPPO Enco Air5S, iaitu earbuds semi in-ear pertama syarikat yang dilengkapi teknologi Real-time Adaptive Active Noise Cancellation (ANC). Teknologi ini direka untuk memberikan pengalaman mendengar yang lebih senyap tanpa mengorbankan keselesaan rekaan semi in-ear yang ringan dan tidak menekan telinga.
OPPO Enco Air5S kini ditawarkan pada harga RM299 menjadikannya antara earbuds terbaik pada segmen bawah RM300. Selain ANC, ia turut hadir dengan pemacu dinamik 12mm, berat hanya 3.9 gram bagi setiap earbud, Bluetooth 6.0, ketahanan bateri sehingga 48 jam bersama bekas pengecas, serta pelbagai ciri pintar yang meningkatkan pengalaman penggunaan harian.
Ini adalah ulasan OPPO Enco Air5S yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 299.
Reka Bentuk
OPPO Enco Air5S mengekalkan identiti siri Enco Air dengan bekas pengecasan berbentuk bujur yang kompak, ringan dan mudah disimpan di dalam poket.
Walaupun rekaannya kelihatan ringkas, OPPO memberikan sentuhan premium menerusi penggunaan Excimer Craftsmanship, iaitu proses kemasan khas yang menghasilkan permukaan lebih licin, halus dan memberikan efek visual seakan lut sinar. Berbanding kemasan konvensional, lapisan ini juga lebih tahan calar dan kesan haus akibat penggunaan harian.
Unit yang kami terima adalah dalam warna Lunar White, yang menampilkan kemasan putih mutiara dengan kilauan lembut serta tekstur yang terasa licin apabila dipegang. Selain itu, OPPO turut menawarkan earbuds ini dalam warna Midnight Black dengan kemasan matte yang lebih minimalis dan elegan, serta Starlight Purple yang mempunyai efek kilauan ungu yang berubah mengikut pantulan cahaya, memberikan penampilan lebih moden dan bergaya khususnya untuk golongan wanita.
Beralih kepada earbuds pula, OPPO Enco Air5s hadir dengan rekaan semi in-ear ergonomik yang tidak menggunakan silikon pada eartip . Rekaan sebegini memberikan rasa lebih terbuka dan selesa, terutama bagi pengguna yang kurang gemar earbuds jenis in-ear kerana mudah menyebabkan tekanan pada saluran telinga. Setiap earbud ini mempunyai berat sekitar 3.9gram sahaja , menjadikannya antara earbuds semi in-ear paling ringan dalam kelasnya.
Dalam pada itu, OPPO turut memperhalusi struktur sambungan antara batang dan bahagian speaker berdasarkan prinsip ergonomik bagi memastikan ia lebih stabil ketika dipakai. Bentuk bahagian yang menyentuh telinga juga dioptimumkan untuk mengurangkan tekanan pada saluran telinga, sekali gus mengurangkan rasa letih walaupun digunakan selama beberapa jam secara berterusan.
Sebagai pelengkap, OPPO Enco Air5S turut menerima penarafan IP55, yang memberikan perlindungan terhadap habuk serta percikan air dan peluh. Ini menjadikannya sesuai digunakan ketika bersenam, berjoging atau melakukan aktiviti luar tanpa perlu terlalu risau jika terkena hujan renyai atau peluh.
Ciri-Ciri Audio
OPPO Enco Air5S tampil dengan teknologi yang menjadikan pengalaman audio yang ditawarkan earbuds ini setaraf earbuds premium lain dipasaran. Ia dilengkapi pemacu dinamik 12mm menggunakan gegelung Copper-Clad Aluminium Wire (CCAW) yang mampu menghasilkan bunyi dengan julat frekuensi lebih luas.
Salah satu tarikan utama Enco Air5s ialah Real-time Adaptive Active Noise Cancellation (ANC), menjadikannya earbuds semi in-ear pertama daripada OPPO untuk menyokong teknologi ini.
Tidak seperti ANC biasa yang menggunakan tahap pembatalan hingar tetap, sistem ini mampu mengesan bentuk telinga, cara pemakaian dan bunyi persekitaran secara langsung sebelum melaraskan tahap ANC secara automatik
Hasilnya, bunyi bising daripada penghawa dingin, kipas, enjin kenderaan atau pengangkutan awam dapat dikurangkan dengan lebih konsisten tanpa menjejaskan keselesaan pemakaian.
Untuk situasi seperti bekerja di kafe atau ruang awam yang dipenuhi suara orang sekeliling, OPPO turut membangunkan Tailored Voice-Canceling System. Sistem ini memberi fokus kepada penapisan frekuensi suara manusia supaya perbualan di sekeliling kurang mengganggu pengalaman mendengar muzik.
Rekaan saluran akustik khas bersama algoritma ANC yang dioptimumkan turut membantu meningkatkan keberkesanan pembatalan hingar sambil mengekalkan tekanan udara dalam telinga pada tahap yang selesa.
Bagi panggilan telefon pula, Enco Air5S menggunakan sistem tiga mikrofon (Triple-Mic AI Clear Call) yang terdiri daripada mikrofon Feed Forward (FF), Feed Back (FB) dan Talk Mic. Dengan bantuan algoritma AI, suara pengguna dapat dipisahkan daripada bunyi latar seperti angin atau trafik, menjadikan panggilan suara lebih jelas walaupun berada di kawasan yang sibuk.
Dari segi penyesuaian audio, OPPO menyediakan 10-Band Custom EQ menerusi aplikasi HeyMelody. Pengguna boleh melaras sendiri 10 jalur frekuensi mengikut cita rasa masing-masing, selain memilih tiga profil bunyi Sound Master EQ yang disediakan.
Pengalaman mendengar turut dipertingkatkan dengan OPPO Alive Audio, iaitu teknologi audio spatial yang menghasilkan kesan bunyi 360 darjah. Muzik dan kandungan multimedia kedengaran lebih luas serta seolah-olah datang dari pelbagai arah, memberikan pengalaman yang lebih imersif ketika menonton filem atau menikmati rakaman konsert.
Untuk peminat permainan mudah alih, Enco Air5S turut menawarkan Gaming Mode dengan kadar latensi ultra rendah yang membolehkan audio dari earbuds kekal seiring dengan paparan skrin, sekaligus memudahkan untuk mengesan arah langkah musuh atau kesan bunyi dalam gaming tanpa latensi yang ketara.
Dalam pada itu, OPPO Enco Air5S hadir dengan teknologi Bluetooth 6.0 selain turut menyokong Dual Connection Across System, membolehkan earbuds ini disambungkan kepada dua peranti secara serentak, termasuk gabungan Android, iPhone, tablet atau komputer riba.
Contohnya, anda boleh mendengar muzik daripada komputer riba dan pada masa yang sama terus boleh menjawab panggilan masuk daripada telefon pintar tanpa perlu memutuskan sambungan atau melakukan pairing semula.
Bateri
Salah satu kelebihan utama OPPO Enco Air5s ialah jangka baterinya yang sangat mengagumkan iaitu penggunaan sehingga 48 jam bersama bekas pengecas, anda boleh menikmati muzik, podcast atau panggilan telefon sepanjang minggu tanpa perlu kerap mencari pengecas.
Malah, sekali cas penuh sudah cukup untuk menemani perjalanan jauh, daripada saat anda keluar rumah hinggalah pulang selepas menghadiri konsert atau aktiviti seharian.
Setiap earbuds dilengkapi dengan bateri 40.5mAh, manakala bekas pengecas pula mempunyai kapasiti 530mAh bagi memberikan beberapa kali pengecasan tambahan ketika anda berada di luar. Apabila bateri habis, OPPO Enco Air5s hanya memerlukan sekitar 90 minit untuk dicas sepenuhnya melalui port USB Type-C, membolehkan ia kembali digunakan dalam masa yang singkat.
Penutup
Secara keseluruhannya, OPPO Enco Air5s merupakan TWS yang cukup lengkap dalam kelas harganya. Ia menawarkan kualiti audio yang memuaskan, pembatalan hingar aktif (ANC) yang berkesan, sokongan dual connection, serta beberapa ciri pintar berasaskan AI yang menjadikan pengalaman penggunaan lebih praktikal untuk aktiviti harian.
OPPO Enco Air5s kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM299, menjadikannya antara TWS paling berbaloi dalam segmen bawah RM300.
Bagi pengguna OPPO Reno16 Series, Enco Air5s merupakan pelengkap yang ideal. Gabungan kedua-dua peranti ini membolehkan pengguna menikmati ekosistem OPPO dengan lebih lancar melalui sambungan pantas, penukaran peranti yang mudah menerusi dual connection serta pengalaman audio yang lebih menyeluruh ketika menonton video, bermain permainan atau membuat panggilan suara.
Dapatkan OPPO Enco Air5s di Laman rasmi OPPO Malaysia pada harga promosi RM 249 sehingga 17 Julai ini.
Baca Juga : ULASAN : OPPO Reno16 5G – Gabungan Kamera, AI dan Bateri Yang Sukar Ditandingi









