Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

Samsung Perkenalkan Teknologi Flex Titanium Pada Generasi Baharu Galaxy Foldable

Samsung Perkenalkan Teknologi Flex Titanium Pada Generasi Baharu Galaxy Foldable 1

Samsung Perkenalkan Teknologi Flex Titanium Pada Generasi Baharu Galaxy Foldable 2

Samsung secara rasminya telah memperkenalkan teknologi Flex Titanium baharu yang bakal digunakan pada generasi seterusnya peranti Galaxy Foldable.

teknologi Flex Titanium dibangunkan hasil tujuh generasi inovasi dan kepakaran kejuruteraan dalam pembangunan telefon boleh lipat, struktur paparan yang direka semula ini menggabungkan kemajuan dari segi bahan dan reka bentuk bagi menawarkan pengalaman tontonan yang lebih baik, ketahanan yang dipertingkatkan serta lipatan (crease) yang semakin sukar dilihat.

selain itu, teknologi Flex Titanium menggabungkan dua komponen berasaskan titanium, iaitu filem aloi titanium dan plat titanium, yang bekerjasama untuk menghasilkan keseimbangan antara reka bentuk yang lebih nipis, fleksibiliti tinggi serta kekuatan dalam struktur paparan boleh lipat.

Dibangunkan Berdasarkan Tujuh Generasi Inovasi Foldable

Samsung merupakan antara peneraju dalam pembangunan teknologi paparan mudah alih, termasuk memperkenalkan paparan AMOLED secara meluas pada tahun 2007 sebelum mengembangkan teknologi tersebut kepada paparan fleksibel.

Sepanjang tujuh generasi Galaxy Foldable, Samsung terus memperhalusi teknologinya berdasarkan maklum balas pengguna. Hasilnya, Samsung memahami bahawa pengguna mahukan skrin yang lebih besar dan imersif, lipatan yang kurang ketara, tanpa menjejaskan ketahanan serta kemudahalihan peranti.

Bagi memenuhi keperluan tersebut, Samsung membangunkan semula struktur paparan boleh lipat dengan menggabungkan inovasi dalam teknologi paparan, bahan serta kejuruteraan mekanikal. Hasilnya ialah teknologi Flex Titanium yang menjadi pencapaian terbaharu dalam evolusi paparan boleh lipat Samsung.

Flex Titanium Tawarkan Pengalaman Paparan Lebih Imersif

Untuk menghasilkan paparan yang lebih mengasyikkan tetapi tetap tahan lasak bagi kegunaan harian, Samsung memperkenalkan pendekatan baharu terhadap reka bentuk struktur paparan. Material yang digunakan perlu cukup kukuh untuk menahan hentakan, cukup fleksibel untuk dilipat berulang kali dan cukup nipis bagi mengekalkan reka bentuk peranti yang premium.

Titanium dipilih kerana menawarkan gabungan kekuatan dan ketahanan yang tinggi. Material ini turut digunakan dalam pelbagai aplikasi berprestasi tinggi seperti antena satelit dan roda kenderaan penjelajah Marikh. Namun begitu, sifat titanium yang keras turut membawa cabaran dari sudut kejuruteraan apabila diaplikasikan pada paparan boleh lipat yang nipis dan fleksibel.

Bagi mengatasi cabaran tersebut, Samsung membangunkan dua komponen utama iaitu filem aloi titanium dan plat titanium.

Filem aloi titanium berfungsi menyokong paparan dari bahagian bawah panel OLED. Berbanding filem polimer konvensional, ia menawarkan kekakuan mekanikal sehingga 20 kali ganda lebih tinggi. Melalui proses penggulungan berketepatan tinggi, filem ini dihasilkan dengan ketebalan kira-kira satu pertiga daripada diameter rambut manusia, sekali gus membantu menghasilkan panel paparan yang lebih nipis.

Di bawahnya pula terdapat plat titanium yang menyokong keseluruhan modul paparan. Struktur fleksibel ini membolehkan modul paparan dilekatkan dengan lebih rapat melalui teknologi pemprosesan lubang mikro yang mengurangkan ruang udara antara modul paparan dan lapisan pelekat. Hasilnya, paparan menerima sokongan yang lebih stabil apabila dibuka, sambil mengekalkan fleksibiliti ketika dilipat berulang kali.

Selain itu, Samsung turut menggabungkan seni bina paparan beresolusi tinggi bersama bahan organik generasi baharu bagi menghasilkan paparan yang lebih tajam dan terang, di samping mengurangkan penggunaan tenaga untuk meningkatkan kecekapan kuasa secara keseluruhan.

Gabungan semua inovasi ini membolehkan Samsung menghasilkan paparan boleh lipat yang lebih kukuh, menawarkan pengalaman tontonan yang lebih imersif, lipatan yang semakin kurang kelihatan serta reka bentuk yang kekal nipis dan elegan.

Teknologi Flex Titanium akan membuat penampilan sulung menerusi generasi baharu peranti Galaxy Foldable yang akan diumumkan secara rasmi pada acara Galaxy Unpacked akan datang.

Pengguna kini boleh mendaftarkan minat mereka terhadap Galaxy Unpacked dari 8 hingga 22 Julai 2026 untuk berpeluang memenangi hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM62,944, selain menerima e-baucar RM120 selepas melengkapkan pendaftaran.

Dalam tempoh 8 hingga 24 Julai 2026, pelanggan juga boleh mendapatkan Samsung Reservation+ Voucher bernilai RM250 dengan hanya RM50 untuk digunakan bagi pembelian peranti Galaxy Foldable generasi seterusnya.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.