ULASAN : ASUS ExpertBook Ultra – Komputer Riba Bisnes Flagship Yang Ringan Tapi Berkuasa

Pengenalan
Dalam dunia laptop bisnes, pengguna kebiasaanya perlu memilih antara komputer riba yang prestasi tinggi atau yang lebih mudah alih dengan rekaan yang lebih nipis dan ringan. Kalau mahukan kuasa lebih, komputer riba selalunya tampil lebih besar dan berat. Namun ASUS cuba mengubah persepsi tersebut melalui pelancaran komputer riba ASUS ExpertBook Ultra, sebuah komputer riba profesional yang menggabungkan kuasa workstation pada badan yang nipis dan ringan.
KompASUS ExpertBook Ultra ini tampil dengan berat bermula sekitar 0.99kg dan ketebalan hanya 10.9mm, ianya direka untuk golongan profesional yang sentiasa bergerak namun ia bukan sekadar mencuri tumpuan pada aspek ini, tetapi cuba memberikan pengalaman lengkap dari segi prestasi, paparan, ketahanan, keselamatan dan keselesaan penggunaan harian.
Rekaan
ASUS ExpertBook Ultra menggunakan binaan magnesium-aluminium alloy dengan kemasan yang nampak minimal tetapi profesional. Unit ini hadir dengan warna Morn Grey, memberikan penampilan yang lebih matang dan sesuai digunakan dalam suasana pejabat, mesyuarat atau ketika bekerja di luar.
Walaupun sangat nipis, binaannya masih terasa kukuh. Rekaan CNC unibody memberikan rasa solid apabila dipegang, manakala berat bawah 1kg membuatkan laptop ini sangat mudah dibawa ke mana-mana. Anda boleh masukkan ke dalam beg tanpa rasa terbeban, sesuatu yang sangat penting untuk pengguna yang kerap bergerak.
ASUS juga memberikan perhatian kepada aspek ketahanan. Laptop ini melalui pelbagai ujian ketahanan termasuk standard MIL-STD-810H, selain menggunakan teknologi Nano Ceramic untuk membantu mengurangkan kesan calar dan kotoran pada permukaan.
Skrin
Bahagian paling mencuri perhatian pada ExpertBook Ultra ialah skrinnya. ia hadir dengan pilihan panel 14-inci 3K Tandem OLED dengan resolusi 2880 x 1800, kadar segar semula sehingga 120Hz dan kecerahan HDR sehingga 1400 nits yang menghasilkan paparan yang sangat tajam dengan warna yang lebih hidup.
Apa yang menarik ialah penggunaan kemasan anti-glare bersama Gorilla Glass Matte. Berbanding skrin berkilat biasa yang mudah memantulkan cahaya, panel ini lebih selesa digunakan dalam keadaan ruang pejabat yang terang atau berhampiran tingkap.
Untuk kerja seperti suntingan gambar, video, melihat dokumen atau sekadar menikmati kandungan multimedia, paparan ini memang memberikan pengalaman kelas flagship. Warna lebih tepat, teks lebih jelas dan mata juga kurang cepat penat ketika digunakan untuk tempoh lama.
Audio
Biasanya laptop nipis mempunyai kompromi dari segi pembesar suara, tetapi ExpertBook Ultra agak berbeza.
ASUS melengkapkannya dengan sistem 6 pembesar suara Dolby Atmos, termasuk dual woofer dan tweeter khusus. Hasilnya, bunyi yang dihasilkan lebih penuh dengan vokal yang jelas dan bass yang lebih terasa berbanding kebanyakan laptop nipis lain.
Untuk kegunaan harian seperti menghadiri mesyuarat online, menonton video atau mendengar muzik ketika bekerja, sistem audio ini memberikan pengalaman yang lebih imersif tanpa perlu bergantung kepada speaker luaran.
Prestasi
Walaupun ASUS ExpertBook Ultra hadir dengan rekaan yang sangat nipis dan ringan, kemampuan prestasinya tidak dikompromi. ASUS membangunkan komputer riba ini sebagai sebuah ultraportable mobile workstation, menawarkan kuasa pemprosesan tinggi pada profil yang bermula serendah daripada hanya 0.99kg.
Dari segi spesifikasi, ASUS ExpertBook Ultra boleh dilengkapi sehingga cipset Intel Core Ultra X9 Series 3 bersama grafik Intel Arc, manakala konfigurasi tertentu menggunakan Intel Core Ultra X7. Apa yang menarik ialah komputer riba ini mampu mencapai sehingga 50W CPU TDP, membolehkan pemproses beroperasi pada tahap prestasi tinggi untuk tugasan lebih mencabar.
Dalam penggunaan sebenar, kuasa ini memberikan pengalaman yang lebih pantas dan lancar untuk tugasan seperti membuka banyak aplikasi serentak, pengurusan fail besar, kerja kreatif, pengaturcaraan serta penyuntingan kandungan. Sokongan sehingga 64GB LPDDR5X RAM berkelajuan 9600MT/s dan storan PCIe Gen 5 SSD pula memastikan masa tindak balas sistem lebih pantas ketika menjalankan tugasan berat.
Cabaran utama bagi komputer riba nipis berprestasi tinggi ialah kawalan haba. Untuk memastikan prestasi kekal stabil, ASUS melengkapkan ExpertBook Ultra dengan sistem penyejukan ASUS ExpertCool Pro yang menggunakan reka bentuk dwi-kipas dan aliran udara khas bagi membantu menyejukkan komponen utama seperti CPU, SSD dan memori. Ini membolehkan komputer riba ini mengekalkan kuasa tinggi tanpa mudah mengalami penurunan prestasi akibat suhu.
Bagi tugasan grafik pula, penggunaan Intel Arc Graphics memberikan peningkatan prestasi yang ketara dan ASUS menyasarkan kemampuan grafiknya untuk mencapai tahap prestasi setanding GPU diskret seperti RTX 4050 dalam keadaan tertentu. Ini menjadikannya sesuai bukan sahaja untuk kerja produktiviti, tetapi juga untuk tugasan kreatif seperti penyuntingan foto, video dan aplikasi berkaitan AI.
Selain prestasi tradisional, komputer riba ini turut memberi fokus kepada teknologi AI melalui pemproses Intel Core Ultra Series 3 dengan keupayaan NPU sehingga 180 TOPS jumlah keseluruhan platform, membantu menjalankan tugasan AI dengan lebih cekap sambil mengoptimumkan penggunaan tenaga.
Apa yang membuatkan ASUS ExpertBook Ultra menarik ialah gabungan kuasa dan mobiliti. Sukar untuk mencari komputer riba setebal hanya 10.9mm yang masih mampu menawarkan tahap prestasi seperti ini. Ia membuktikan pengguna tidak lagi perlu memilih antara komputer riba ringan atau komputer riba berkuasa kerana ExpertBook Ultra cuba memberikan kedua-duanya dalam satu peranti.
Kesimpulannya, dari segi prestasi, ASUS ExpertBook Ultra bukan sekadar komputer riba untuk tugasan pejabat biasa. Ia adalah mesin kerja premium yang menawarkan kuasa tinggi, kecekapan AI dan kemampuan mengendalikan tugasan berat, sambil kekal mudah dibawa ke mana sahaja.
Port I/O
Salah satu perkara yang sering dikorbankan pada komputer riba nipis ialah pilihan port. Tetapi ASUS ExpertBook Ultra masih mengekalkan sambungan yang lengkap.
Ia hadir dengan:
- 2x Thunderbolt 4 USB-C
- 2x USB 3.2 Type-A
- HDMI 2.1
- Audio jack 3.5mm
Susunan port juga praktikal kerana terdapat sambungan USB-C dan USB-A pada kedua-dua bahagian laptop. Ini memudahkan pengguna menyambung aksesori seperti thumb drive, monitor luaran atau docking station tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada dongle.
Bateri
Walaupun nipis dan ringan, ASUS juga tidak mengabaikan kapasiti bateri.
ASUS ExpertBook Ultra ini hadir dengan bateri berkapasiti 70Wh, yang agak besar untuk kelas laptop bawah 1kg. ASUS mendakwa ia mampu memberikan sehingga sekitar 24 jam penggunaan, bergantung kepada konfigurasi dan keadaan penggunaan.
Ia turut menyokong pengecasan pantas, dengan kemampuan mendapatkan tambahan kuasa dengan cepat apabila pengguna memerlukan. Sokongan pengecasan fleksibel 5V hingga 20V juga memberikan kemudahan tambahan kerana laptop ini boleh dicas menggunakan power bank yang serasi.
Penutup
ASUS ExpertBook Ultra adalah contoh bagaimana sebuah laptop bisnes tidak lagi perlu kelihatan membosankan atau mengorbankan prestasi demi mobiliti.
Kelebihan utama komputer riba ini ialah gabungan yang jarang ditemui: rekaan ultra ringan, prestasi tinggi, skrin OLED berkualiti, audio mantap, port lengkap dan binaan tahan lasak.
Ia mungkin bukan untuk semua orang kerana fokus utamanya ialah pengguna profesional, eksekutif, pencipta kandungan dan mereka yang mahukan mesin kerja premium untuk jangka panjang.
Bagi mereka yang mahukan komputer riba flagship yang mudah dibawa tetapi masih mempunyai kuasa untuk kerja berat, ASUS ExpertBook Ultra sememangnya antara pilihan yang sangat menarik dalam kelasnya.
Untuk pasaran Malaysia, ASUS ExpertBook Ultra ditawarkan pada harga bermula sekitar RM7,999











