ULASAN : HUAWEI MatePad Pro 13.2 – Tablet ternipis di dunia yang dikuasakan Kirin 9000S bersama M-Pencil Nearlink!
Pengenalan
Pada era mudah alih yang semakin memuncak, memiliki sebuah sebuah peranti yang membolehkan anda melakukan kerja dimana sahaja adalah satu kemestian yang tidak lagi boleh diabaikan.
Jika dahulu komputer riba dilihat sebagai satu peranti penting untuk ekosistem kerja hibrid, kini tablet setaraf PC muncul sebagai satu alternatif yang bukan hanya lebih ringan malah mampu menawarkan kuasa pemprosesan seperti pada sebuah komputer riba.
Sehubungan dengan itu, pasaran tablet premium kini mempunyai satu pendatang baharu yang bukan hanya tampil sebagai satu lagi model tablet premium, malah dilihat mempunyai kemampuan untuk merevolusikan bagaimana tablet berfungsi sebagai peranti kerja dan hiburan mudah alih.
Tablet yang kami maksudkan adalah daripada HUAWEI iaitu HUAWEI MatePad Pro 13.2 yang merupakan tablet bersaiz besar ternipis dipasaran namun kelebihan tablet ini bukan hanya pada rekaan tetapi turut meliputi pelbagai aspek lain.
HUAWEI Malaysia telah memberikan kami akses eksklusif awal kepada tablet premium terbaru syarikat ini iaitu HUAWEI MatePad Pro 13.2″ dan ini adalah ulasan kami mengenainya.
Buka Kotak HUAWEI MatePad Pro 13.2
Sebelum mendalami ulasan MatePad Pro, mari kita lihat apakah yang disertakan bersama kotak pembelian tablet premium terbaru HUAWEI ini.
Didalam kotak HUAWEI MatePad Pro 13.2 ini anda akan menerima set lengkap yang juga termasuk stylus M-Pencil yang tampil dengan teknologi Nearlink dan Smart Magnetic Keyboard generasi terbaru yang turut memiliki trackpad.
Selain itu, didalam kotak juga disertakan adapter pengecasan 88W bersama kable pengecasan USB-A to USB-C.
Rekaan
HUAWEI MatePad Pro 13.2 adalah tablet bersaiz besar ternipis dan teringan dipasaran iaitu dengan berat sekitar 580 gram dan ketebalan hanya 5.5m.
Sebagai perbandingan, tablet premium dari Apple iaitu iPad Pro 12.9-inci mempunyai berat 682 gram (versi Wi-Fi) dengan ketebalan 6.4mm.
Selain itu, HUAWEI juga telah menggunakan panel skrin Flexible OLED membolehkan MatePad Pro 13.2 tampil dengan bezel sisi skrin yang sangat nipis iaitu hanya 3.4mm, Ianya juga memiliki nisbah skrin kepada rangka yang tinggi iaitu 94%, menjadi satu-satunya tablet dipasaran Malaysia dengan nisbah setinggi ini.
Seterusnya, MatePad Pro 13.2 juga menampilkan rekaan yang elegan lagi premium dimana panel belakang ini diperbuat daripada gentian kaca berkekuatan tinggi yang tahan lasak dan ianya tampil didalam warna Green yang sama seperti HUAWEI Mate60 Pro. MatePad Pro 13.2 juga akan ditawarkan didalam warna hitam.
Dalam pada itu, sebagai peranti setaraf PC, HUAWEI MatePad Pro 13.2 juga disertakan dengan stylus HUAWEI M-Pencil generasi ketiga yang menggunakan teknologi perhubungan Nearlink. Ini membolehkan HUAWEI M-Pencil generasi terbaru ini menawarkan kadar sensitiviti stylus tertinggi dipsaran iaitu pada kadar 10,000.
Melengkapkan lagi pengalaman produktiviti yang sempurna adalah penawaran papan kekunci pintar magnetik baharu yang menawarkan saiz kekunci yang lebih selesa untuk diguna. Ianya juga merupakan tablet pertama HUAWEI untuk tampil dengan trackpad dan papan kekunci ini juga boleh ditanggal daripada tablet dan digunakan pada sudut lebih selesa seperti di atas riba manakala tablet diletakkan pada meja kopi.
Jika menggunakan trackpad bukan sesuatu yang memberikan anda kepuasan penggunaan, anda juga boleh menyambungkan tetikus bluetooth untuk navigasi lebih mudah ketika melakukan kerja.
Lebih-lebih lagi, rekaan HUAWEI MatePad Pro 13.2 sudah pastinya tidak lengkap jika ianya tidak mempunyai sistem audio yang menampilkan rekaan Full-Stack HUAWEI Sound untuk kesan bunyi yang lebih imersif dan lantang sehingga 3dB.
Secara keseluruhan, rekaan HUAWEI MatePad 13.2 telah membawa pertukangan dan astetik produk HUAWEI ke satu tahap yang lebih tinggi. Anda pasti tidak dapat melihat rekaan tablet bersaiz besar yang nipis dan ringan dipasaran yang mampu menyaingi tablet premium terbaru HUAWEI ini.
Skrin Paparan
HUAWEI berazam untuk meletakkan MatePad Pro 13.2 sebagai satu ‘benchmark’ baharu didalam industri tablet dan untuk itu, ianya telah dilengkapi dengan skrin paparan fleksibel OLED yang sama seperti digunakan pada telefon pintar foldable HUAWEI. Ini membolehkan HUAWEI MatePad 13.2 memiliki ukuran bezel yang sama pada keempat-empat sisi iaitu berukuran 3.4mm sahaja.
Ini menjadikan HUAWEI MatePad Pro 13.2 sebagai tablet pertama dipasaran untuk menggunakan panel OLED fleksibel yang juga memiliki resolusi 2.8K dan kadar segar semula 144Hz. Panel ini juga mampu memaparkan 1.07 bilion warna dengan kecerahan maksima 1,000nits dan mod HDR Vivid.
Menambahkan lagi pengalaman visual MatePad Pro 13.2 ini adalah dengan penarafan HUAWEI X-True Display yang memberikan penekanan ketat kepada 4 elemen penting iaitu penghasilan warna yang tepat, perbezaan yang nyata antara cahaya dan bayang-bayang, visual yang lancar & jelas dan penarafan perlindungan mata TÜV Rheinland Global Eye Care 3.0.
Secara keseluruhan, paparan HUAWEI MatePad Pro 13.2 ini menampilkan teknologi yang pertama digunakan pada industri iaitu panel Skrin OLED fleksibel bersaiz besar. Skrin ini lebih ringan dan nipis berbanding panel OLED lain dipasaran, sekaligus mengurangkan berat keseluruhan tablet dengan ketara.
Pemproses
HUAWEI MatePad Pro 13.2 menampilkan cipset terbaru keluaran HUAWEI iaitu Kirin 9000S yang juga merupakan cipset sama yang mengkuasakan HUAWEI Mate 60 Series.
Bersama cip kelas flagship Kirin 9000S ini, MatePad Pro 13.2 bakal membekalkan anda kuasa yang mencukupi untuk anda melakukan segala aktiviti harian anda tanpa sebarang gangguan atau masalah prestasi. Ianya turut dipadankan dengan 12GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman UFS 3.1 berkapasiti 256GB atau 512GB.
Walaupun cipset adalah sesuatu yang penting, ekosistem yang menyeluruh adalah kunci kepada pengalaman penggunaan yang memuaskan dan MatePad Pro 13.2 ternyata tidak mengecewakan kami.
Dua watak penting yang akan memastikan anda menikmati pengalaman setaraf PC adalah HUAWEI M-Pencil generasi ke-3 yang merupakan produk pengguna pertama untuk hadir dengan teknologi NearLink yang merupakan teknologi perhubungan 6x lebih pantas berbanding teknologi Bluetooth. Kebaikan NearLink tidak habis begitu sahaja, ianya juga 60% lebih cekap tenaga, mampu kekal berhubung dengan peranti pada jarak 2x ganda lebih jauh, latensi lebih rendah dan boleh disambungkan pada 10 aksesori serentak.
Ini bermaksud, stylus M-Pencil dengan NearLink membuka lembaran baharu bagi anda meterjemahkan kreativiti dan bakat artistik anda melalui stylus yang lebih sensitif iaitu 10,000 tahap tekanan berbanding M-Pencil generasi sebelum ini yang hanya memiliki 4,096 tahap tekanan.
Antara aplikasi yang boleh digunakan untuk lukisan digital adalah Mojing Paint yang tersedia percuma untuk pengguna HUAWEI MatePad Pro 13.2. Mojing Paint adalah aplikasi terbaik untuk memperlihatkan kemampuan stylus M-Pencil dengan teknologi NearLink yang mana setiap tahap sentuhan diterjemahkan secara langsung pada skrin.
Watak kedua yang kita harus perkatakan adalah HUAWEI Smart Magnetic Keyboard yang mempunyai jarak papan kekunci 1.5mm untuk pengalaman menaip yang selesa walaupun untuk tempoh yang panjang. Ianya boleh digunakan didalam tiga mod iaitu Laptop Form, Split Form dan Studio Form yang memenuhi pelbagai senario seperti kerja pejabat, hiburan dan usaha kreatif.
Dalam pada itu, papan kekunci magentik HUAWEI yang terbaru ini juga tampil dengan Antenna Signal Enhancement Technology 2.0 dimana apabila anda menggunakan tablet dengan papan kekunci ini anda telah menambahbaik sistem perhubungan yang membolehkan anda menikmati liputan isyarat rangkaian yang lebih baik pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja.
Selain itu, papan kekunci ini juga menampilkan touchpad yang bersaiz lebih ergonomik dan ianya adalah 72% lebih besar berbanding touchpad yang ditawarkan pada papan kekunci Apple iPad Pro 12.9. Tahap responsif cursor juga telah ditambahbaik untuk mengurangkan latensi. Tambahan lagi, anda juga boleh menggunakan tetikus Bluetooth mengikut keperluan kerja anda.
Lebih penting, HUAWEI MatePad Pro 13.2 juga menawarkan anda kebolehan penuh untuk menggunakan aplikasi berskala penuh seperti pada PC (PC- Level WPS Office 2.0) iaitu WPS Office yang ditawarkan secara percuma dan eksklusif kepada pengguna HUAWEI.
Pengguna boleh mengedit dokumen, menyiapkan pembentangan atau melakukan kiraan dengan aplikasi seperti WPS Office Document, WPS Office Spreadsheet dan WPS Office Presentation yang menawarkan kebolehan penuh setaraf PC dan ianya boleh dikongsikan dengan mudah bersama rakan sekerja kerana format fail yang digunakan untuk semua dokumen ini adalah sama seperti pada aplikasi Microsoft Office.
Aplikasi WPS Office 2.0 ini tampil dengan UI baharu yang lebih kompak, menawarkan log masuk akaun dan storan cloud. Ianya turut mempunyai sokongan SuperHub dan mencetak dokumen yang terhasil.
Tambahan lagi, HUAWEI MatePad Pro 13.2 ini dikuasakan dengan antaramuka HarmonyOS 4 yang sentiasa meletakkan pengguna sebagai keutamaan dalam semua aspek. Tablet HUAWEI MatePad Pro 13.2 ini dilengkapi ciri SuperHub yang menyediakan cara mudah untuk mengurus fail dan dokumen. Pengguna boleh memindahkan fail dengan mudah antara tablet dan peranti lain dengan mengalihkan fail tersebut ke platform SuperHub. Setelah dimuat naik, dokumen boleh diakses dengan mudah oleh mana-mana peranti lain yang disambungkan ke akaun yang sama. Dengan fungsi ini, ia menghapuskan kemungkinan pendua, memastikan proses pemindahan yang lancar.
Akhir sekali, tablet HUAWEI MatePad Pro terbaru ini juga menawarkan sokongan penuh pelbagai aplikasi berkaitan Google kegemaran anda seperti YouTube, GMail, Google Maps, Google Drive dan Google Meet.
Apa yang lebih mudah adalah, anda tidak perlu ‘install’ sebarang aplikasi atau melakukan sebarang tetapan tambahan untuk menikmati aplikasi Google yang selamat dan melindungi data privasi anda. Semuanya kini tersedia di hujung jari anda di HUAWEI App Gallery.
Pembesar Suara
HUAWEI MatePad Pro 13.2 adalah sebuah tablet premium bersaiz besar yang juga ideal untuk memenuhi keperluan hiburan anda. Untuk itu, HUAWEI MatePad Pro 13.2 ini juga dilengkapi dengan 6 pembesar suara ‘Multi-Driver Array Speaker’.
Pembesar suara HUAWEI SOUND ini tampil dengan akustik inovatif dan penalaan saintifik untuk membawa pengalaman audio yang mengasyikkan. Huawei juga telah menaiktaraf algoritma pengembangan medan bunyinya, menggunakan perbezaan jarak dan masa bunyi untuk kesan stereo yang mengasyikkan.
Teknologi ini juga secara automatik akan melaras kesan bunyi berdasarkan adegan, memastikan pengguna menikmati audio yang mengasyikkan tanpa pelarasan manual untuk setiap senario.
Bateri
HUAWEI MatePad Pro 13.2 merupakan tablet pertama dipasaran untuk menampilkan arkitektur kuasa bateri siri 2S. Sistem bateri bervoltan tinggi ini menggandakan kapasiti kuasa tablet sambil memastikan keselamatan ketika pengecasan.
Selain itu, bateri berkapasiti 10,100mAh yang disertakan pada tablet bersaiz besar ternipis didunia juga memiliki teknologi pengecasan pantas 88W wired HUAWEI SuperCharge yang membolehkan ianya mencapai pengecasan 85% didalam 40 minit diikuti pengecasan ke 100% didalam masa 65 minit sahaja.
Sistem Penyejukan
HUAWEI MatePad Pro 13.2 juga menampilkan sistem penyejukan VC keluli tahan karat berkekuatan tinggi. VC baharu ini adalah 37% lebih ringan dan 25% lebih kuat daripada VC tembaga tradisional. Tambahan pula, reka bentuk baharu ini juga mempercepatkan peredaran cecair, meningkatkan kecekapan pelesapan haba.
Ia juga disertakan dengan lapisan grafit kekonduksian terma tinggi berukuran 52000mm² yang memastikan tablet ini kekal sejuk walaupun semasa tugasan yang mencabar.
Penutup
Kesimpulanya, HUAWEI MatePad Pro 13.2 terbukti sebagai sebuah tablet berkebolehan tinggi yang sesuai dengan keperluan dunia semasa yang lebih mudah alih. Ianya mampu menjalankan tugas setaraf PC dimana sahaja pada bila-bila masa.
Selain itu, kombinasi cip Kirin 9000S yang berkuasa tinggi bersama antaramuka HarmonyOS terkini, HUAWEI MatePad Pro adalah sebuah tablet ideal untuk kerja dan hiburan pengguna. Turut disertakan adalah, papan kekunci pintar generasi baharu yang memberikan keselesaan ketika menaip dan stylus M-Pencil dengan teknologi NearLink yang membawakan anda pengalaman penulisan seperti di atas kertas tanpa sebarang latensi.
HUAWEI MatePad Pro 13.2 adalah tablet premium yang bakal mengugat kedudukan tablet premium lain dipasaran kerana ianya menawarkan pengguna satu produk yang bukan hanya kelihatan premium malah sangat berkebolehan tinggi dan ianya akan ditawarkan di Malaysia pada dari harga RM 4,599.