ULASAN : HONOR Watch GS 3 – Jam Pintar Premium dengan Reka Bentuk Tradisional
Pengenalan
Bersama pelancaran HONOR Magic4 Pro di Malaysia baru-baru ini, HONOR juga telah memperkenalkan jam pintar pintar terbaru syarikat ini iaitu HONOR Watch GS 3.
HONOR Watch GS 3 adalah sebuah jam pintar yang menampilkan reka bentuk seperti jam tangan tradisional dengan skrin bulat bersama dua butang fizikal dan tali yang diperbuat daripada silikon atau kulit.
HONOR Watch GS 3 kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 899 dan berikut adalah ulasan bagi jam pintar terbaru HONOR ini.
Untuk pengetahuan anda, HONOR Watch GS 3 ditawarkan didalam 3 versi iaitu Midnight Black (tali jam silikon) pada harga RM 899 manakala versi Ocean Blue dan Classic Gold (tali jam kulit) pula ditawarkan pada harga RM 999.
Reka Bentuk
HONOR Watch GS 3 adalah sebuah jam pintar yang kelihatan seperti jam tradisional namun menawarkan pelbagai ciri pintar seperti notifikasi, merekod aktiviti kecergasan dan banyak lagi.
Ianya adalah sebuah jam pintar yang sangat ringan dengan berat sekitar 44 gram dan ini membolehkan anda memakainya sepanjang hari dan juga ketika tidur tanpa sebarang isu.
Selain itu, HONOR Watch GS 3 ditawarkan didalam dua versi iaitu dengan tali silikon (Midnight Black) atau dengan tali yang diperbuat daripada kulit Nappa (Ocean Blue & Classic Gold).
Beralih kepada rangka, ianya adalah rangka ultra nipis 3D Ultra Curved berukuran 10.5mm yang menempatkan skrin paparan AMOLED berukuran 1.43-inci yang sangat terang yang mempunyai kepadatan piksel 326ppi.
Skrin paparan ini juga menawarkan Always-On Display dan terdapat tetapan kecerahan automatik atau manual yang terdiri daripada lima tahap kecerahan.
Ciri-ciri kesihatan
HONOR Watch GS 3 dilengkapi dengan dengan sensor bacaan kadar degupan jantung PPG 8 saluran yang memberikan ketepatan bacaan degupan jantung yang lebih tepat iaitu pada kadar melebihi 97%.
Selain itu, HONOR Watch GS 3 juga dilengkapi ciri bacaan SpO2 yang mengukur kadar oksigen didalam darah sepanjang masa dan akan turut menghantar amaran awal apabila kadar oksigen dibawah tahap minima.
Seterusnya, HONOR Watch GS 3 juga akan menawarkan bacaan tekanan dan perekod kualiti tidur.
Aktiviti Kecergasan
HONOR Watch GS 3 menawarkan sokongan lebih dari 100 aktiviti kecergasan yang mana aktiviti Larian, pendakian dan berbasikal juga akan mendapat akses kepada GNSS (GPS).
HONOR Watch GS 3 juga mempunyai bacaan Tekanan Udara, Altimeter dan kompas.
Notifikasi dan Panggilan
HONOR Watch GS 3 juga boleh menerima notifikasi daripada aplikasi dan anda juga diberikan pilihan untuk menjawab panggilan terus pada jam pintar apabila dihubungkan melalui Bluetooth – ianya mempunyai pembesar suara dan mikrofon terbina.
Untuk menikmati pelbagai fungsi tambahan, anda disarankan untuk memuatnaik aplikasi HONOR Health yang hanya ditawarkan pada Google Play Store.
Bercakap mengenai tetapan Watch Face, terdapat 13 Watch Face pra tetap didalam jam pintar namun anda boleh memuatnaik lebih banyak pilihan watch face melalui Watch Face Market di aplikasi HONOR Health.
Jangka Hayat Bateri
HONOR Watch GS 3 memiliki bateri berkapasiti 451mAh yang dikatakan mampu menawarkan sehingga 14 hari penggunaan atau 30 jam penggunaan dengan GPS.
Walaubagaimanapun, bagi penggunaan purata, HONOR Watch GS 3 dijangka mampu menawarkan sehingga 2 atau 3 hari penggunaan dengan satu pengecasan penuh.
Pengecasan juga tidak mengambil tempoh yang lama kerana pengecas 5W yang disertakan mampu mengecas penuh jam ini didalam masa 60 minit sahaja.
Penutup
HONOR Watch GS 3 adalah sebuah jam pintar yang serba boleh dengan reka bentuk jam tradisional.
Ianya mampu menawarkan fungsi asas sebuah jam selain turut memberikan anda ciri penuh aspek kesihatan dan kecergasan yang semakin menjadi aspek penting didalam kehidupan seharian.
Sedikit mengecewakan adalah ketiadaan sokongan bagi peranti iOS .
HONOR Watch GS 3 kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 899.