ULASAN : Fitbit Charge 5 – Jam Kecergasan Yang Menawarkan Bacaan ECG dan skrin AMOLED Always On
Pengenalan
Fitbit, nama yang tidak asing didalam pasaran peranti wearable yang memfokuskan kepada kecergasan telah melancarkan jam kecergasan terbaru mereka iaitu Fitbit Charge 5.
Fibit Charge adalah siri peranti wearable yang paling popular didalam keluarga Fitbit dan generasi kelima menyaksikan syarikat ini akhirnya menggunakan skrin paparan AMOLED yang berwarna dan reka bentuk yang lebih premium.
Fitbit Charge 5 ini tampil dengan beberapa ciri yang sebelum ini hanya ditawarkan pada jam
pintar Fitbit Sense seperti termasuk penderia aktiviti elektrodermal (EDA) yang mengukur perubahan elektrik kecil dalam paras peluh kulit anda untuk menjejaki tindak balas badan anda terhadap tekanan.
Fitbit Charge 5 juga menawarkan bacaan elektrokardiogram (ECG) yang memeriksa tanda-tanda fibrilasi atrium (AFIb), irama jantung yang tidak teratur yang boleh membawa kepada pembekuan darah, strok, kegagalan jantung, dan komplikasi serius lain namun menyedihkan ciri ini masih belum ditawarkan kepada pengguna di Malaysia.
Fitbit Chare 5 kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 878 dan berikut adalah ulasan jam kecergasan baharu daripada syarikat ini.
Fitbit Charge 5 tampil dengan reka bentuk yang lebih premium dengan rangka yang diperbuat aluminum dan ianya hadir didalam tiga pilihan warna iaitu Black/Graphite, Steel Blue/Platinum dan Lunar White/ Softgold.
Unit reviu kami adalah Steel Blue/Platinum dan setiap pembelian Fitbit Charge 5 ini juga datang dengan 6 bulan langganan Fitbit Premium yang menawarkan anda sehingga 200+ mod kecergasan dan banyak ciri tambahan. Fitbit Premium ditawarkan pada $9.99 sebulan atau $79.99 untuk setahun.
Fitbit Charge 5 hadir dengan skrin paparan sesentuh AMOLED Always On berukuran 1.04-inci yang merupakan ‘upgrade’ terbesar apabila dibandingkan dengan paparan hitam putih pada Fitbit Charge 4 dan generasi kali ini juga hadir dengan rangka aluminum berbanding bekas plastik pada Charge 4.
Selain reka bentuk yang lebih premium, Fitbit Charge 5 juga hadir dengan reka bentuk yang nipis iaitu 10% lebih nipis berbanding Charge 4.
Sebagai sebuah jam kecergasan, memiliki ciri kalis air adalah sesuatu yang wajid dan Fitbit Charge menawarkan kalis air sehingga kedalaman 50 meter yang bermaksud anda bebas memakai jam kecergasan ini ketika berenang, di pantai dan banyak lagi.
Penggunaan Kali Pertama & Proses Pairing
Untuk menggunakan Fitbit Charge 5, anda disaranakan untuk mengecas peranti sehingga tahap 100% dengan menggunakan pengecas yang disertakan didalam kotak.
Selain itu, didalam kotak juga terdapat satu tali tambahan yang lebih panjang untuk pengguna yang mempunyai pergelangan tangan yang lebih besar.
Sementara menanti bateri penuh, anda boleh memuatnaik aplikasi Fitbit yang ditawarkan di Google Play Store atau Apple App Store.
Selepas itu, anda boleh membuka akaun Fitbit atau jika anda mempunyai akaun Fitbit, anda boleh log masuk ke akaun Fitbit tersebut.
Dari segi kecergasan, Fitbit Charge 5 tampil dengan 20 mod senaman, pengecaman senaman automatik SmartTrack, metrik Minit Zon Aktif Fitbit dan GPS untuk memetakan laluan anda semasa aktiviti senaman luar seperti berlari, berbasikal dan mendaki. Terdapat juga peta intensiti senaman dalam aplikasi yang menunjukkan zon rentak dan kadar jantung anda sepanjang laluan anda.
Fitbit Charge 5 juga berupaya merekodkan degupan jantung anda sepanjang masa dan ianya akan memberikan anda amaran jika kadar degupan jantung terlalu tinggi atau rendah.
Ketika malam pula, Fitbit Charge 5 akan merekodkan tempoh dan kualiti tidur serta pelbagai peringkat tidur anda (light, deep dan REM), kadar pernafasan, kebolehubahan kadar jantung (HRV, ukuran aktiviti sistem saraf anda), variasi suhu kulit dan kadar saturasi oksigen dalam darah (SpO2)
Apabila anda menekan ikon Exercise, ia memberikan anda pilihan senaman pra-tetapan seperti berbasikal, senaman selang waktu, berlari, berenang, treadmill dan bebanan. Anda boleh mengedit senarai itu dalam aplikasi Fitbit (tekan imej profil anda > Fitbit Charge 5 > Pintasan Senaman).
Senarai senaman yang tersedia juga termasuk boot camp , latihan litar, elips, golf, mendaki, kickboxing, seni mempertahankan diri, senaman luar, pilates, berputar, pemanjat tangga, tenis, berjalan kaki, senaman dan yoga. Anda boleh menetapkan sehingga enam pintasan aktivit senaman pada jam Firbit Charge 5 anda pada satu satu masa.
Pada pendapat kami, jumlah aktiviti yang ditawarkan pada Fitbit Charge 5 ini adalab sedikit terhad dan sedikit mendukacitakan adalah hanya aktiviti kegemaran boleh di tetapkan untuk di akses terus dari jam.
Sokongan bacaan EDA
Fitbit Charge 5 merupakan jam kecergasan pertama Fitbit untuk memiliki sensor EDA.
EDA adalah sensor yang mengukur perubahan kecil elektrik pada kulit anda untuk mengesan tindak balas badan anda terhadap tekanan. Lebih sedikit respon EDA yang direkodkan lebih tenang anda.
untuk membuat bacaan EDA, anda harus meletakkan dua jari dan bahagian sisi jam dan bernafas seperti biasa untuk sesuatu tempoh yang ditetapkan.
Selepas kami menerima unit Fitbit Charge 5 kami, kami amat teruja untuk mencuba ciri bacaan ECG pada jam kecergasan ini namun menyedihkan ciri ini masih belum ditawarkan pada Fitbit Charge 5 buat masa sekarang.
Fitbit memberikan maklum balas bahawa ciri bacaan ECG akan tiba ke Fitbit Charge 5 pada musim luruh namun tiada kepastian bila ianya akan ditawarkan di Malaysia.
Daily Readiness Score
Fitbit Charge 5 juga mempunyai satu lagi metrik untuk pengguna Premium ( 6 bulan percuma langganan premium dengan pembelian Fitbit Charge 5) iaitu Daily Readiness Score.
Daily Readiness Score direka untuk membantu anda menilai dengan cepat sama ada badan anda bersedia untuk bersenam atau memerlukan rehat.
Daily Readiness Score di kira dengan mengambil kira tahap aktiviti anda, statistik tidur sepanjang beberapa hari lalu dan HRV harian yang akan memberi kesan kepada skor anda.
Skor yang tinggi menunjukkan anda sudah bersedia untuk senaman yang mencabar, manakala skor rendah bermakna anda harus mengutamakan kepada pemulihan dan berehat.
Aplikasi Fitbit kemudiannya akan menawarkan senaman atau meditasi, bergantung pada keperluan badan anda.
Fitbit Charge 5 – jam kecergasan terbaik daripada Fitbit
Walaupun mempunyai beberapa kekurangan, Fitbit Charge 5 adalah jam kecergasan terbaik daripada syarikat ini yang akan membantu anda meningkatkan tahap kesihatan diri anda.
Generasi terbaru ini juga merupakan sebuah jam kecergasan dengan reka bentuk yang premium dan skrin paparan AMOLED Always On berwarna.
Fitbit Charge 5 kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 878 dan anda boleh mendapatkanya di stor rasmi Fitbit di Shopee, Lazada dan wakil pengedar rasmi.