Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé & GT 63 4-Door Coupé dilancarkan di Malaysia

Mercedes-Benz Malaysia secara rasminya memperkenalkan Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé dan memberikan pratonton awal Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé sempena kepulangan Formula 1 ke Malaysia.
Kedua-dua model mengetengahkan DNA prestasi Mercedes-AMG dengan gabungan kuasa, teknologi dan dinamik pemanduan berprestasi tinggi.
Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé
Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé dikuasakan enjin 4.0 liter V8 biturbo yang menghasilkan 612 hp dan 850 Nm. Kuasa disalurkan menerusi transmisi AMG SPEEDSHIFT MCT 9G dan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+.
Model ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 3.2 saat dan mencapai kelajuan maksimum 317 km/j.
Bagi meningkatkan prestasi di litar, AMG turut menaik taraf sistem penyejukan, aerodinamik dan brek. Ia menampilkan elemen aerodinamik aktif, sayap belakang tetap, sistem brek komposit seramik berprestasi tinggi serta AMG ACTIVE RIDE CONTROL dengan stereng gandar belakang.
Dari segi penampilan, model ini dilengkapi roda tempa AMG 21 inci, pakej AMG Carbon Fibre dan AMG Night Package II.
Dalam kabin, ia menampilkan AMG Performance Seats, kemasan gentian karbon, stereng AMG Performance serta sistem infotainmen MBUX. Ciri lain termasuk AMG TRACK PACE, head-up display, MBUX Augmented Reality Navigation dan sistem audio Burmester.
Harga anggaran di Semenanjung Malaysia:
- AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé – RM2,088,888
- Motorsport Collectors Edition – RM2,588,888
Terhad kepada hanya 200 unit di seluruh dunia (hanya 1 unit untuk pasaran Malaysia) , Motorsport Collectors Edition menampilkan kemasan Obsidian Black dengan aksen PETRONAS pada bahagian luaran, termasuk elemen aerodinamik, angkup brek dan roda tempa AMG 21 inci.
Kabin pula menerima AMG Performance Seats, kemasan gentian karbon, jahitan kontras PETRONAS, lencana edisi khas dan stereng AMG Performance. Ia turut dilengkapi sistem audio Burmester® High-End 3D Surround Sound serta pakej ENERGIZING PLUS.
Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé
Mercedes-Benz Malaysia turut memberikan pratonton Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé, sebuah model elektrik berprestasi tinggi berasaskan platform AMG.EA.
Ia menggunakan tiga motor elektrik jenis axial flux bersama bateri berprestasi tinggi untuk menghasilkan sehingga 1,169 hp dan 2,000 Nm.
Dengan kuasa tersebut, ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 2.4 saat, manakala kelajuan maksimum ialah 260 km/j.
Model ini menggunakan bateri 106 kWh dengan jarak perjalanan sehingga 697 km (WLTP). Pengecasan DC sehingga 350 kW membolehkan bateri dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam kira-kira 16 minit.
Antara teknologi utama yang ditawarkan termasuk AMG Performance Charging, AMG ACTIVE RIDE CONTROL, stereng gandar belakang, AMG Performance 4MATIC+ dan sistem aerodinamik aktif AEROKINETICS.
Menariknya, sistem AMGFORCE S+ turut memberikan pengalaman bunyi yang diinspirasikan daripada karakter enjin V8, walaupun model ini menggunakan sistem pendorong elektrik.
Bahagian dalamannya pula dilengkapi AMG Performance Seats, kemasan gentian karbon, AMG Performance steering wheel, SKY CONTROL panoramic roof, paparan digital dan sistem audio Burmester® 3D Surround Sound.
Spesifikasi utama:
- Kuasa: 1,169 hp
- Tork: 2,000 Nm
- 0-100 km/j: 2.4 saat
- Kelajuan maksimum: 260 km/j
- Bateri: 106 kWh
- Jarak WLTP: sehingga 697 km
- Pengecasan DC 10-80%: 16 minit
- Harga anggaran: RM1,290,000







