Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Samsung Galaxy S24+ – Generasi baharu yang lebih hampir kepada model Ultra

Pengenalan

Samsung Galaxy S24 Series pada tahun ini boleh dikatakan lebih memfokuskan kepada penambahbaikan dari segi penggunaan berbanding spesifikasi namun ini tidak bermaksud telefon pintar flagship Samsung masih mengekalkan spesifikasi sama seperti generasi sebelum ini.

Tahun ini, Samsung telah memberikan penambahbaikan yang tinggi kepada model perantara iaitu Galaxy S24+ dimana spesifikasi model ini adalah lebih baik berbanding Galaxy S23+ namun masih dibawah Galaxy S24 Ultra.

Selain itu, pengguna juga boleh menikmati ciri Galaxy AI secara sepenuhnya seperti pada semua model Galaxy S24 Series yang lain.

Adakah Galaxy S24+ sesuatu yang patut anda pertimbangkan jika anda mempunyai bajet yang sedikit terhad?, jom baca ulasan kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang telefon pintar ini.

Berikut adalah ulasan Samsung Galaxy S24+ yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 4,899.

Reka Bentuk

Samsung Galaxy S24+ memiliki rekaan yang sama seperti Galaxy S24 namun dengan dimensi yang lebih besar. Ianya menawarkan rekaan yang premium dengan penggunaan kerangka aluminium yang dikenali sebagai Armor Aluminium.

Armor Aluminium yang digunakan pada Galaxy S24 dan S24+ adalah yang lebih tahan lasak dan ianya turut disertakan bersama lapisan gelas Gorilla Glass Victus 2 dan penarafan kalis air dan habuk IP68.

Selain itu, Galaxy S24+ juga tampil dengan rekaan yang lebih flat dan panel belakang gelas matte juga memastikan ianya mempunyai nilai premium yang lebih tinggi berbanding generasi sebelum ini.

The Galaxy S24+ ditawarkan didalam 4 warna Four iaitu Onyx Black, Marble Grey, Cobalt Violet dan Amber Yellow namun Samsung.com menawarkan tiga lagi tambahan warna eksklusif seperti Sapphire Blue, Jade Green dan Sandstone Orange.

Panel belakang matte pada S24+ ini adalah sedap untuk dipandang dan ianya juga mempunyai tiga gelung krom yang menempatkan sistem tri-kamera telefon pintar ini.

Ke bahagian hadapan, Galaxy S24+ menampilkan penggunaan paparan yang lebih besar pada kerangka yang sama seperti pada Galaxy S23+. Ini menjadi realiti dengan penggunaan panel LTPO yang mempunyai bezel lebih nipis dan paparan 6.7-inci ini juga tampil dengan resolusi QHD+. Terdapat juga lubang punch hole ditengah yang menempatkan kamera selfie 12MP dengan pemfokusan auto.

Dalam pada itu, Galaxy S24+ juga memiliki sensor capjari dalam skrin jenis ultrasonik yang pantas dan mempunyai ruang pengesanan yang besar.

Secara keseluruhan, Galaxy S24+ adalah telefon pintar yang sangat premium untuk dipegang dan digunakan yang mana pujian harus diberikan kepada Samsung kerana berjaya mengekalkan berat peranti ini dibawah 200 gram (196 gram).

Skrin Paparan

Samsung Galaxy S24+ menampilkan skrin paparan Dynamic LTPO AMOLED 2X berukuran 6.7-inci dengan resolusi QHD+. Panel ini juga membawakan sokongan kadar segar semula dinamik 120Hz, HDR10+ dan dilapisi gelas Gorilla Victus 2.

Selain itu, Samsung juga telah berjaya mengecilkan bezel sisi skrin yang menjadikan telefon pintar ini lebih ramping dan paparan ini juga menyokong kadar kecerahan sehingga 2,600 nits yang mana ianya adalah 50% lebih cerah berbanding skrin Galaxy S23+.

Samsung Galaxy S24+ membawakan dua tetapan kadar segar semula yang dikenali sebagai Motion Smoothness iaitu Adaptive (kadar segar semula dinamik sehingga kadar 120Hz) dan Standard (kadar segar semula sehingga 60Hz).

Pemproses

Samsung Galaxy S24 dan Galaxy S24+ yang ditawarkan di Malaysia dikuasakan dengan cip flagship terbaru daripada Samsung iaitu Exynos 2400 yang diperbuat melalui proses fabrikasi 4nm 4LPP+ (EUV) bersama GPU Xclipse 940 yang berasaskan arkitektur AMD RDNA 3.

Selain itu, Galaxy S24+ juga kini tampil didalam kapasiti RAM yang sama seperti Galaxy S24 Ultra iaitu 12GB RAM jenis LPDDR5X bersama dua storan dalaman iaitu 256GB atau 512GB.

Jika anda was-was tentang kemampuan cip terbaru Samsung ini, anda pasti sudah melihat carta ujian pretasi yang mana kebanyakkan ujian telah meletakkan cipset ini hampir setaraf dengan cip Snapdragon 8 Gen 3.

Dalam pada itu, Galaxy S24+ dilancarkan dengan antarmuka One UI 6.1 yang berasaskan sistem operasi terbaru Google iaitu Android 14. One UI 6.1 ini hampir sama seperti One UI 6 namun ianya membawakan beberapa ciri baharu dan sudah pastinya Galaxy AI yang merupakan topik hangat dipasaran.

Galaxy AI memperkenalkan kecerdasan yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti setiap aspek kehidupan, terutamanya peranan telefon pintar yang paling asas iaitu komunikasi.

Ciri pertama Galaxy AI yang boleh kita perkatakan adalah Live Translate, iaitu suatu penyelesaian penterjemahan suara dan teks masa nyata dua hala,bagi panggilan telefon terbina pada aplikasi panggilan . Pengguna tidak memerlukan sebarang aplikasi pihak ketiga dan AI terbina akan memastikan perbualan pengguna adalah selamat dengan sepenuhnya.

Ciri ini sudah pastinya berguna apabila anda menghadapi kekangan bertutur bahasa asing, samada semasa berbual dengan pelajar atau rakan sekerja lain dari luar negara selain mempermudahkan proses membuat tempahan semasa bercuti di negara lain.

 

Ciri Interpreter

Selain itu, ciri Interpreter pula membolehkan perbualan diterjemahkan dengan serta-merta menerusi transkripsi teks yang tertera pada paparan skrin terpisah supaya orang yang berdepan boleh saling memahami. Ia juga berfungsi tanpa data selular atau Wi-Fi.

Untuk mesej dan aplikasi lain, Chat Assist boleh membantu menyempurnakan nada perbualan untuk memastikan komunikasi kedengaran seperti yang diinginkan: seperti sapaan sopan kepada rakan sekerja ataupun frasa pendek yang menarik untuk kapsyen media sosial.

Dalam pada itu, Samsung juga boleh menterjemahkan mesej secara langsung ke dalam 13 bahasa dan ianya turut disokong pada aplikasi permesejan seperti WhatsApp dan banyak lagi.

Beralih kepada ciri Note Assist dalam Samsung Notes, ianya menampilkan ringkasan yang dihasilkan oleh AI, penciptaan templat yang mengolah nota mengikut format tersedia, dan mengarang muka nota untuk memudahkan imbasan maklumat.

Untuk rakaman suara, ciri Transcript Assist akan menggunakan kecerdasan buatan dan teknologi Speech-to-Text untuk mentranskrips, merumus, dan juga menterjemahkan rakaman. Ciri ini juga dapat membezakan jika terdapat lebih dari satu orang yang bercakap.

Lebih lanjut, Samsung Galaxy S24 Series juga menjadi telefon pintar pertama didunia untuk hadir dengan ciri Circle to Search yang mana sesuai dengan namanya, anda boleh memulakan carian dengan menekan lama  butang utama, pengguna boleh membulatkan sesuatu yang hendak dicari untuk melihat hasil carian berkualiti tinggi. Ianya lebih mudah daripada carian search by image yang memerlukan anda melakukan screenshot dan memuatnaik gambar tersebut.

Selain itu, Samsung juga telah mengumumkan bahawa Galaxy S24 Series akan menerima sehingga 7 kemaskini Android dan 7 tahun kemaskini keselamatan yang menjadikanya antara yang terbaik dipasaran.

Anda juga boleh membaca tentang bagaimana Galaxy AI boleh digunakan didalam kehidupan anda.

Kamera

Galaxy S24 dan S24+ dilihat hadir dengan sistem  kamera yang tidak berubah berbanding model tahun lepas.

Ianya adalah tetapan tri-kamera yang terdiri daripada sensor utama ISOCELL 50MP, sensor ultrawide 12MP dan sensor telefoto 10MP. Kamera selfie adalah 12MP.

Gambar yang diambil melalui sensor utama  Galaxy S24+ pada siang hari adalah sangaf sempurna. Adalah sesuatu yang mustahil untuk melihat Samsung mengecewakan pengguna dari segi warna dan julat dinamik.

Dalam pada itu, sensor utlrawide mungkin kelihatan tidak berubah, tetapi terdapat  peningkatan yang baik dari segi kualiti gambar serta penapisan kekaburan yang lebih baik.

Seterusnya, kamera selfie pada Galaxy S24+ adalah sama seperti pada generasi sebelumnya, hasil selfie pada Galaxy S23  Series adalah kelas terbaik dan ini juga boleh digunapakai untuk Galaxy S24+.

Berikut adalah gambar-gambar yang diambil menggunakkan Galaxy S24+

Bateri

Samsung Galaxy S24+ dilengkapi bateri berkapasiti 4,900mAh yang mana ianya sedikit besar berbanding Galaxy S23+ namun jangka hayat bateri adalah lebih kurang sama sahaja malah didalam kes tertentu, bateri mungkin lebih cepat ketandusan.

Dalam pada itu, Galaxy S24+ juga menyokong pengecasan pantas 45W yang mampu memberikan pengecasan penuh didalam masa kurang dari 60 minit.

Selain itu, satu lagi penambahan terbaru adalah Battery Protection Mode yang menawarkan beberapa tetapan tambahan untuk ketahanan bateri yang lebih lama.

Penutup

Samsung Galaxy S24+ adalah sebuah telefon pintar yang kini semakin hampir kepada telefon pintar “Ultra” Samsung. Pengguna kini boleh menikmati paparan QHD+ yang lebih cerah, 12GB RAM dan bateri yang lebih besar tanpa perlu mengeluarkan jumlah wang yang besar seperti untuk membeli telefon pintar Ultra.

Walaupun masih ada penambahbaikan yang boleh dilakukan, Galaxy S24+ adalah antara pilihan yang terbaik jika anda mahu memiliki flagship yang lebih berpatutan.

Dapatkan Samsung Galaxy S24+ sekarang pada harga yang bermula dari RM 4,899 di Samsung Online Store.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.