Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Samsung Galaxy Z Flip5 – Upgrade Terbesar pada Cover Screen

Samsung Galaxy Z Flip5 Malaysia

Pengenalan

Pasaran telefon pintar flip telah didominasi oleh Samsung sejak beberapa tahun lalu dan pengaruh produk keluaran syarikat gergasi ini adalah sangat kukuh sehingga anda pasti tidak dapat menamakan pesaing terdekat mereka.

Tahun ini Galaxy Z Flip5 dilihat memiliki ‘upgrade’ yang ketara berbanding Galaxy Z Fold5 kerana pengguna panel Cover Screen yang lebih besar dan ianya juga disertakan dengan inovasi engsel terbaru Samsung yang membolehkan telefon pintar ditutup rapat ketika dilipat.

Selain itu, Samsung juga telah menggunakan cipset terbaru Qualcomm yang digelar sebagai cipset terbaik pada Galaxy Foldable dan ianya juga disertakan dengan kapasiti storan dalaman yang lebih besar.

Persoalan yang pasti bermain di fikiran bakal pembeli Galaxy Z Flip5 ini adalah, adakah ianya model terbaik untuk beralih ke dunia foldable yang dilihat sebagai masa depan telefon pintar.

Berikut adalah ulasan Samsung Galaxy Z Flip5 yang  akan memberikan anda maklumat mencukupi untuk mengenai telefon pintar boleh lipat ini.

Reka Bentuk

Rekaan Samsung Galaxy Z Flip5 telah melalui dua perubahan yang ketara iaitu Cover Screen yang lebih besar dan rekaan engsel yang membolehkan telefon pintar ini tidak mempunyai sebarang ruang ketika dilipat.

Pertama, paparan luaran terbaru Samsung Galaxy Z Flip5 ini dikenali sebagai Flex Window dan ianya mempunyai ukuram 3.4-inci iaitu 3.78 kali ganda lebih besar berbanding panel yang digunakan pada Galaxy Z Flip4. Ini bermaksud panel Cover Screen Z Flip5 mempunyai lebih banyak kegunaan.

Menariknya, Samsung telah menggunakan rekaan panel skrin berbentuk folder yang agak unik dengan sedikit ruang telah diberikan kepada sistem dwi-kamera yang dimiliki telefon pintar ini.

Engsel Galaxy Z Flip4
Engsel Galaxy Z Flip4

Kedua, Samsung telah memperkenalkan generasi terbaru Flex Hinge yang kini tertutup rapat dan ini membolehkan risiko kemasukkan sebarang habuk  dikurangkan dengan lebih efektif.

Selain itu, Samsung juga masih menawarkan telefon pintar Flip ini dengan penarafan kalis air IPX8 namun pasti ramai yang berharap bahawa ianya juga akan mempunyai penarafan kalis habuk pada generasi akan datang.

Seterusnya itu, Galaxy Z Flip5 juga memiliki lapisan gelas keselamatan Corning Gorilla Glass Victus 2 pada Flex Window dan panel belakang.

Dalam pada itu, lipatan yang tertutup rapat juga bermaksud profil Samsung Galaxy Z Flip5 adalah lebih nipis iaitu 15.1mm iaitu 2mm lebih nipis berbanding generasi Flip sebelum ini namun berat masih kekal pada 187 gram walaupun dengan penggunaan skrin yang lebih besar.

Lebih-lebih lagi, kedudukan butang fizikal dan port Galaxy Z Flip5 masih sama seperti sebelum ini iaitu port USB-C, pembesar suara dan mikrofon pada bahagian bawah. Pada sisi kiri pula terdapat slot SIM yang hanya menyokong satu SIM sahaja namun anda mempunyai pilihan untuk menggunakan satu lagi SIM jenis eSIM.

Pada bahagian sisi kanan Samsung Galaxy Z Flip5 ini, terdapat satu butang kuasa yang juga berfungsi sebagai sensor capjari serta butang kelantangan audio yang ditempatkan bersebelahan dengan butang kuasa.

Bercakap mengenai warna, Samsung Galaxy Z Flip4 ditawarkan didalam 4 warna iaitu Mint yang merupakan warna baharu seperti unit ulasan kami dan tiga lagi warna adalah Graphite, Cream dan Lavender. Samsung juga menawarkan 4 warna eksklusif di Samsung.com iaitu Yellow, Blue, Green dan Gray.

Skrin Paparan

Samsung Galaxy Z Flip5 hadir dengan dua skrin paparan AMOLED iaitu satu pada bahagian luar dan satu pada dalam yang berfungsi sebagai panel skrin utama telefon pintar ini.

Skrin paparan utama Samsung Galaxy Z Flip5 ini adalah panel Dynamic AMOLED 2x Infinity Flex Display berukuran 6.7-inci yang mempunyai resolusi FHD+ (2640 x 1080), HDR10+ dan terdapat juga lubang punch-hole yang menempatkan kamera selfie 10MP.

Panel skrin utama telefon pintar ini mempunyai sokongan kadar segar semula dinamik antara 1Hz sehingga 120Hz, dan kepadatan piksel 425ppi yang memberikan anda pengalaman visual yang memuaskan. Sepanjang penggunaan kami, terdapat juga petunjuk bahawa kecerahan skrin Galaxy Z Flip5 ini adalah lebih tinggi  (sehingga 1,700nits) dan ini membolehkan penggunaan yang selesa dibawah cahaya terik tanpa sebarang masalah penglihatan.

Bercakap mengenai kadar segar semula, Samsung menawarkan dua tetapan kadar segar semula iaitu Standard yang membolehkan kadar segar semula sehingga 60Hz atau Adaptive yang menawarkan kadar segar semula sehingga 120Hz.

Dalam pada itu, kadar segar semula yang ditawarkan pada Flex Window adalah 60Hz sahaja sepanjang masa.

Beralih kepada warna paparan, Samsung menawarkan dua mod warna iaitu Vivid dan Natural. Vivid memberikan anda warna yang lebih pekat manakala Natural memberikan penghasilan warna yang lebih semulajadi dan sedikit kurang berbanding paparan vivid.

Cover Screen

cover screen Galaxy Z Flip4
cover screen Galaxy Z Flip4

Tarikan utama pada Galaxy Z Flip5 adalah Flex Windows yang merupakan panel Super AMOLED berukuran 3.4-inci dengan rekaan seperti folder dan ianya mempunyai resolusi 720×748 piksel dengan kepadatan piksel 306ppi.

Ianya adalah panel 60Hz yang turut memiliki lapisan gelas Corning Gorilla Glass Victus 2.

Flex Window pada Galaxy Z Flip5 ini membolehkan anda menetapkan lockscreen beberapa aplikasi Samsung yang boleh diakses terus melalui skrin hadapan ini. Ianya adalah Calendar, Weather, Alarm, Samsung Health dan Stock.

Walaubagaimanapun, Samsung juga membolehkan anda membuka hampir kesemua aplikasi lain di Flex Window dengan mengaktifkanya di bahagian tetapan ( Advanced Features > Labs > Apps allowed on cover screen). Antara aplikasi yang tersedia untuk digunakan pada Flex Window adalah Google Maps, Samsung Messages, Google Messages, Netflix dan YouTube. Whatsapp juga boleh digunakan pada Flex Window.

Pemproses

Samsung Galaxy Z Flip5 tampil dengan pemproses yang sama seperti pada Galaxy S23 Series iaitu cip Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy yang eksklusif ditawarkan pada peranti Samsung Galaxy sahaja.

Cipset ini menjanjikan peningkatan prestasi yang baik berbanding cip Snapdragon 8+ Gen 1 yang digunakan pada generasi sebelum ini dan ianya turut disertakan dengan 8GB RAM dan storan dalaman 256GB. Terdapat juga ciri RAM Plus yang memberikan pengguna menambah sehingga 8GB Virtual RAM daripada storan dalaman.

Beralih kepada perisian, Samsung Galaxy Z Flip5 memiliki antaramuka One UI 5.1.1 yang merupakan versi khas untuk peranti foldable dan ianya berasaskan Android 13.

One UI 5.1.1 pada Galaxy Z Flip5 adalah sama seperti pada telefon pintar Galaxy S23 Series kecuali dengan beberapa penambahan dan ianya turut membawakan Modes and routines yang sama seperti mod Focus pada peranti Apple.

Akhir sekali, Flex Window ini juga boleh digunakan sebagai viewfinder bagi selfie apabila anda menekan butang kuasa sebanyak dua kali (ketika peranti dilipat). Lebih lanjut mengenai ciri ini pada bahagian kamera.

Anda boleh memilih mod berdasarkan perkara yang anda lakukan dan melaksanakan tindakan tertentu, menukar profil bunyi, tetapan paparan, notifikasi dan lain-lain. Contohnya, profil routine Driving boleh ditetapkan untuk menghidupkan mod DnD dan melancarkan aplikasi muzik pilihan anda secara automatik, sebagai contoh. Anda juga boleh membuat routine khas dengan tindakan pilihan anda, seperti menghidupkan hotspot atau mod kapal terbang.

Secara keseluruhanya, prestasi Galaxy Z Flip5 adalah setaraf telefon pintar flagship terbaik diluar sana dan ianya juga kini tampil dengan storan dalaman yang lebih luas iaitu bermula dari 256GB dan ini amat penting kerana tiada sebarang slot microSD disertakan.

Sebelum meninggalkan bahagian ini, Samsung juga menawarkan sokongan kemaskini Android paling komprehensif di pasaran iaitu dengan 4 kemaskini utama Android dan 5 tahun kemaskini keselamatan berkala.

Kamera

Samsung Galaxy Z Flip5 menampilkan sistem dwi-kamera yang secara asasnya adalah sama seperti pada generasi dahulu namun penggunaan Cover Screen yang lebih besar mengubah bagaimana anda mengambil gambar, terutamanya bagi penggemar selfie.

Anda kini boleh mengambil gambar selfie berkualiti tinggi dengan kamera utama bersama paparan Flex Window yang lebih besar. Pengguna boleh menangkap gambar bebas tangan yang menakjubkan dengan kreatif dengan FlexCam. Pengguna boleh menyemak, melaraskan ton warna atau memadam imej dengan mudah dengan Quick View pada Flex Window.

Apabila mengambil foto rakan, Dual-View membolehkan pengguna  melihat diri mereka dalam Flex Window supaya mereka boleh membuat pelarasan dalam secara langsung untuk tangkapan yang sempurna.

Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan tangkapan yang lancar semasa dalam perjalanan dengan Super Steady yang menstabilkan kamera, manakala Auto Framing memastikan semua orang berada didalam gambar.

Setersunya, Flex Window juga boleh digunakan untuk anda beralih kepada pengambilan video atau mod potrair dengan satu ‘swipe’ ke kiri atau kanan skrin. Mod portrait juga menyokong pelbagai filter tambahan seperti blur, studio, high-key mono, low-key mono, backdrop dan colour point yang menjadikan gambar portrait anda lebih unik dan kreatif

Bercakap mengenai sensor kamera yang digunakan, Galaxy Z Flip5 memiliki sensor utama 12MP Samsung S5K2LD yang merupakan sensor 24mm dengan aperture f/1.8 dan OIS. Sensor kedua yang merupakan sensor ultrawide adalah sensor 12MP yang dibekalkan oleh Sony iaitu IMX258 dengan fokus tetap dan aperture f/2.2.

Beralih kepada kamera selfie, ianya adalah sensor 10MP yang mempunyai fokus tetap dan dilihat mampu menawarkan gambar swafoto yang baik apabila diperlukan.

Walaubagaimanapun, kegunaan sensor ini sudah pastinya terhad kerana pengguna mempunyai pilihan untuk menggunakan sensor kamera utama yang turut dibantu dengan Flex Window yang lebih besar.

Berikut adalah contoh gambar yang diambil menggunakan Samsung Galaxy Z Flip5 :

Bateri

Samsung Galaxy Z Flip5 tampil dengan kapasiti bateri yang sama seperti pada Galaxy Z Flip4 iaitu 3,700mAh namun jangka hayat bateri yang ditawarkan pada generasi baharu ini adalah lebih baik.

Samsung berjaya meningkatkan hayat bateri ini dengan penggunaan cipset Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy dan sistem operasi baharu juga turut menyumbang kepada peningkatan jangka hayat bateri ini.

Dalam pada itu,  Samsung juga telah menyertakan pengecasan pantas 25W pada Galaxy Z Flip5 dan dengan adapter 25W, anda boleh mengecas ke tahap 50% didalam masa 30 minit. Ianya turut  menyokong pengecasan tanpa wayar 15W (Wireless Charging 2.0) dan pengecasan Wireless PowerShare .

Penutup

Selepas lebih kurang seminggu digunakan sebagai daily driver kami, boleh kami putuskan bahawa Samsung Galaxy Z Flip5 adalah sebuah telefon pintar yang mampu memberikan pengguna pretasi dan kegunaan setaraf  telefon pintar flasghip namun boleh dilipat dan mempunyai dua skrin yang ‘berguna’.

Walaupun masih ramai yang was-was untuk beralih kepada peranti boleh lipat, Samsung telah membuktikan bahawa Galaxy Z Flip5 adalah sebuah telefon pintar yang lebih kukuh dan lebih menyeluruh kegunaanya.

Selain itu, rekaan yang lebih kompak juga menjadikan telefon pintar ini lebih popular berbanding Galaxy Z Fold5 yang secara keseluruhanya mempunyai profil yang lebih besar dan tebal.

Samsung Galaxy Z Flip5 kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 4,499 dan pembelian boleh dibuat di Samsung Online Store.

Baca ULASAN : Samsung Galaxy Z Flip5 – Upgrade Terbesar pada Cover Screen

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.