Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : OnePlus Nord CE 3 Lite 5G – Peranti Entry Level OnePlus yang diberi upgrade yang berbaloi

OnePlus Nord CE 3 Lite 5G Malaysia

Pengenalan

Selain telefon pintar flagship premium, OnePlus juga menawarkan telefon pintar kelas midrange yang lebih mesra poket kepada pengguna.

OnePlus Nord Series telah dilancarkan pada Julai tahun 2020 dengan pelancaran OnePlus Nord yang merupakan telefon pintar midrange pertama syarikat ini selepas pelancaran OnePlus X pada tahun 2015.

Selepas itu, OnePlus Nord Series terus berkembang dengan pelbagai model yang termasuk model Nord CE atau Core Edition yang lebih mampu milik dengan spesifikasi teras.

Model terbaru OnePlus Nord yang baru beberapa hari lalu dilancarkan adalah OnePlus Nord CE 3 Lite 5G yang kini telah dibuka untuk pra-tempahan pada harga RM 1,099 sahaja.

Dengan musim perayaan yang semakin hampir, OnePlus Nord CE 3 Lite mungkin menjadi sebuah telefon pintar pilihan jika anda sedang mencari sebuah peranti yang lebih mesra poket namun pada masa yang sama mampu memenuhi keperluan asas pengguna.

Beriku adalah ulasan OnePlus Nord CE 3 Lite 5G yang kini ditawarkan di Malaysia.

 

Reka Bentuk

OnePlus Nord CE 3 Lite 5G pasti membuatkan anda tertarik dengan rekaan yang agak berbeza bersama kombinasi warna yang unik dipasaran.

Unit OnePlus Nord CE 3 Lite 5G kami ini didatangkan didalam warna Pastel  Lime yang bukan hanya tampak menyegarkan malah turut tampil dengan kilauan panel yang ergonomik dengan lengkungan pada kesemua sisi.

Panel ini adalah diperbuat daripada plastik dan OnePlus juga telah melapisi panel ini dengan satu panel lutsinar yang mempunyai kemasan lebih berkilat yang memberikan hasil akhir lebih sedap dipandang.

Walaubagaimanapun, satu kekurangan yang dimiliki panel jernih ini adalah kesan capjari yang mudah kelihatan namun warna Pastel Lime ini dilihat tidak terlalu menampakkan capjari ini.

Bersama kombinasi rekaan panel belakang ini, OnePlus juga telah memilih untuk menggunakan chasis yang  rata dan ini membolehkan telefon pintar ini kekal nipis pada ukuran 8.3mm namun OnePlus masih mampu menyertakan bicu audio 3.5mm.

Selain bicu audio, bahagian bawah rangka Nord CE 3 Lite 5G ini juga dilengkapi slot USB-C dan gril pembesar suara yang berkebolehan tinggi.

Pada sisi kiri, OnePlus Nord CE 3 Lite 5G memiliki butang pelaras bunyi dan slot SIM manakala pada sisi kanan terdapat butang kuasa yang juga memainkan peranan sebagai ejen pengecaman biometrik jari pengguna.

Secara keseluruhan, rekaan OnePlus Nord CE 3 Lite 5G adalah sangat berbeza apabila dibandingkan dengan generasi sebelum ini dengan penambahbaikan yang memberikan imej lebih premium namun berat sekitar 195 gram meletakkanya hampir setaraf dengan berat peranti flagship.

Skrin Paparan

OnePlus Nord CE 3 Lite 5G hadir skrin paparan LCD berukuran 6.72-inci dengan lubang punch-hole ditengah yang menempatkan kamera selfie 16MP.

Panel skrin OnePlus Nord CE 3 Lite 5G ini mempunyai kadar segar semula 120Hz dengan resolusi FHD+ dan kepadatan piksel 391ppi serta kecerahan mencecah 680nits yang memberikan anda sebuah paparan yang mudah dilihat walaupun terus dibawah cahaya matahari.

Walaupun adalah sebuah telefon pintar bajet, panel 120Hz OnePlus Nord CE 3 Lite 5G ini juga menyokong kadar penyegaran dinamik iaitu pada kadar 30Hz/48Hz/50Hz/60Hz/90Hz/120Hz mengikut kandungan paparan pada skrin.

Selain itu, OnePlus juga telah menambahbaik kadar nisbah skrin kepada badan yang dimiliki Nord CE 3 Lite ke 91.40% yang dibantu dengan bezel yang nipis pada sisi namun sedikit mengecewakan adalah bezel bawah yang masih tebal.

Dalam pada itu, untuk perlindungan daripada insiden yang tidak diingini, OnePlus Nord CE 3 Lite 5G juga memiliki lapisan gelas keselamatan Corning Gorilla Glass yang tidak didedahkan versinya.

Secara ringkasnya, penggunaan panel LCD pada telefon pintar OnePlus Nord CE 3 Lite 5G bukanlah sesuatu yang akan disambut baik oleh pengguna kerana sudah ada telefon pintar pada tahap harga yang sama ditawarkan dengan panel AMOLED.

Pemproses

OnePlus Nord CE 3 Lite 5G menampilkan penggunaan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 695 5G yang merupakan cipset yang dibangunkan pada proses 6nm dan ini bermaksud OnePlus telah menggunakan cipset yang selepas ianya digunakan pada Nord CE 2 Lite yang dilancarkan pada lewat tahun 2022.

OnePlus mendakwa cip Snapdragon 695 ini menawarkan 30% peningkatan prestasi GPU berbanding generasi sebelum ini dan ianya juga telah memperoleh 406,221 mata AnTuTu.

Cipset ini ternyata mampu menawarkan prestasi peranti yang memuaskan namun dengan antaramuka OxygenOS 13.1 yang berasaskan Android 13 dan OnePlus juga memberikan jaminan telefon pintar ini akan menerima dua kemaskini OS Android dan sehingga 3 tahun kemaskini keselamatan Android.

OnePlus Nord CE 3 Lite 5G didatangkan dengan OxygenOS 13.1 yang membawakan pelbagai penjimatan kuasa dan peningkatan prestasi, termasuk 15% muat turun aplikasi yang lebih pantas, 30% pengurangan lag pada aplikasi dan peningkatan 40% dalam kecekapan pengunaan tenaga pada aplikasi.

Selain itu, bersama cip Snapdragon 695, OnePlus Nord CE 3 Lite 5G juga memiliki GPU Adreno 619, 8GB RAM LPDDR4X dan storan dalaman 256GB jenis UFS 2.2 yang turut boleh ditambah menggunakan slot microSD (sehingga 1TB).

OnePlus Nord  CE 3 Lite 5G juga mempunyai ciri penggunaan storan dalaman sebagai RAM maya yang memastikan prestasi peranti kekal lancar walaupun pelbagai aplikasi dibuka serentak (sehingga 8GB RAM).

Sebagai telefon pintar untuk kegunaan harian, OnePlus Nord CE 3 Lite 5G dilihat mempunyai kemampuan mencukupi dengan prestasi yang stabil bersama OxygenOS 13.1.

Kamera

OnePlus Nord CE 3 Lite 5G tampil dengan sistem tri-kamera yang sama seperti pada generasi sebelum ini namun kini telah beralih kepada pengguna sensor utama yang lebih besar iaitu sensor 108MP.

Ianya adalah sensor yang dibekalkan oleh Samsung iaitu ISOCELL HM6 dengan aperture f/1.7 namun tanpa pengstabilan OIS.

Selain sensor utama 108MP, OnePlus Nord CE 3 Lite 5G menampilkan penggunaan dua sensor sampingan iaitu sensor depth dan sensor makro masing-masing pada resolusi 2MP.

Berdasarkan penggunaan kami, OnePlus Nord CE 3 Lite 5G mampu mengambil gambar yang baik terutamanya menggunakan sensor utama 108MP iaitu pada keadaan cahaya yang terang namun ketiadaan OIS sedikit sebanyak memerlukan anda mempunyai posisi pengambilan gambar yang stabil dan tanpa terlalu banyak gegaran.

Agak mengecewakan adalah OnePlus tidak menyertakan sensor ultrawide pada model Nord CE 3 Lite ini namun kegunaanya juga akan terhad jika sensor yang digunakan tidak mampu memberikan hasil gambar yang baik.

Berikut adalah hasil gambar dari OnePlus Nord CE 3 Lite 5G :

Bateri

OnePlus Nord CE 3 Lite 5G menampilkan penggunaan bateri berkapasiti 5,000mAh yang pasti mencukupi untuk pengguna mengharungi satu hari penggunaan tanpa sebarang masalah.

Selain itu, OnePlus Nord CE 2 Lite 5G juga memiliki pengecasan pantas 67W SUPERVOOC Endurance Editionyang membolehkan anda mengecas peranti ke tahap 80% didalam masa 30 minit sahaja dan telefon pintar ini juga mempunyai 12 sensor suhu untuk memastikan bateri kekal pada suhu yang ‘selamat’ dan berfungsi dengan baik.

Dalam pada itu, OnePlus juga telah menyertakan ciri Battery Health Engine yang merupakan ciri pengecasan adaptive yang memastikan prestasi bateri mampu kekal pada tahap optimum walaupun selepas 4 tahun penggunaan.

Penutup

OnePlus Nord CE 3 Lite 5G telah menampilkan beberapa penambahbaikan positif apabila dibandingkan dengan OnePlus Nord CE 2 Lite 5G dan OnePlus juga menawarkan telefon pintar ini pada harga jualan yang lebih rendah iaitu dari RM 1,099 sahaja.

Pada harga ini, OnePlus Nord CE 3 Lite 5G mempunyai banyak pencabar yang setaraf dan pasaran telefon pintar pada tahap ini adalah sesuatu yang sangat kompetitif.

OnePlus Nord CE 3 Lite akan ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,099 sahaja dan pra-tempahan kini dibuka iaitubmulai 11 April sehingga 17 April ini dengan setiap pembelian semasa tempoh pra-tempahan akan menerima 1 unit Nord Buds , 1 tahun lanjutan waranti dan 1 tahun perlindungan skrin.

Dalam pada itu, jualan rasmi pula akan bermula pada 18 April 2023 dengan percuma 1 tahun lanjutan waranti dan 1 tahun perlindungan skrin bagi pembelian sebelum 25 April.

Pra-tempah OnePlus Nord CE 3 Lite 5G di Lazada (mulai 11 April 2023).

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.