Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : HONOR Magic5 Pro – Prestasi dan Sistem Kamera yang Menyeluruh

Pengenalan

HONOR meneruskan momentum kukuh dipasaran global dengan pelancaran HONOR Magic5 Series dan Honor Magic Vs sebagai permulaan bagi tahun 2023 untuk kategori kelas flagship.

Seperti HONOR Magic4 Series, generasi terbaru ini juga memfokuskan kepada penawaran kamera terbaik kepada pengguna dan ianya terbukti dengan HONOR Magic5 Pro merampas kedudukan pertama di ujian kamera DxOMark.

Walaubagaimanapun, HONOR Magic5 Pro bukan sahaja mempunyai kamera yang baik, telefon pintar ini juga dilihat mampu memberikan pengguna pakej lengkap telefon pintar flagship dipasaran.

Lebih menarik untuk pengguna di Malaysia adalah HONOR telah mengutamakan pasaran Malaysia sebagai pasaran pertama global untuk menerima telefon pintar ini.

Tanpa membazirkan masa, mari kita lihat kemampuan HONOR Magic5 Pro.

Reka Bentuk

Sebaik sahaja dikeluarkan dari kotak, anda pasti tidak terlepas pandang persamaan yang dimiliki modul kamera HONOR Magic5 Pro ini dengan HONOR Magic4 Pro.

HONOR berkata ini adalah evolusi kedua reka bentuk  “Eye of the Muse” dan telefon pintar ini akan ditawarkan didalam dua warna iaitu Meadow Green dan Black.

Modul kamera HONOR Magic5 Pro ini adalah pada bahagian tengah didalam susunan kamera periskop diatas bersama dua sensor dibawah.

Bercakap mengenai panel belakang HONOR Magic5 Pro ini, ianya diperbuat daripada gelas namun HONOR tidak mendedahkan samada ianya dilapisi sebarang gelas keselamatan. Kemasan panel ini mempunyai kilauan namun tidak menunjukkan sebarang kesan capjari.

Selain itu, HONOR Magic5 Pro ini mempunyai rekaan yang melengkung pada bahagian hadapan dan belakang  dan telefon pintar ini memberikan pengguna profil yang lebih nipis berbanding iaitu 8.77mm berbanding HONOR Magic4 Pro yang mempunyai ketebalan 9.15mm.

Walaubagaimanapun, modul kamera pada HONOR Magic5 Pro kelihatan lebih besar dan ini mungkin telah menyumbangkan kepada peningkatan berat kepada 219 gram (berat HONOR Magic4 Pro adalah 215 gram).

Pada bahagian sisi kanan, HONOR Magic5 Pro mempunyai butang kuasa yang masih agak kecil dan butang pelaras kelantangan bunyi manakala pada bahagian bawah terdapat slot SIM, slot USB-C, satu mikrofon dan gril pembesar suara.

Seterusnya, pada bahagian atas terdapat gril pembesar suara, satu mikrofon dan IR blaster.

Bercakap mengenai panel hadapan, ianya tampil dengan reka bentuk skrin quad curved yang melengkung pada  sisi tepi dengan bezel yang sangat nipis dan terdapat potongan berbentuk pil untuk menempatkan kamera selfie dan sensor 3D Depth yang memberikan pengguna sistem keselamatan biometrik wajah yang lebih selamat.

Dalam pada itu, HONOR Magic5 Pro juga mempunyai pensijilan kalis air dan habuk IP68 yang meletakkanya setaraf dengan pengeluar telefon pintar flagship lain dipasaran.

Lebih lanjut tentang skrin paparan HONOR Magic5 Pro ini di bahagain seterusnya.

 

Skrin Paparan

HONOR Magic4 Pro memiliki skrin paparan LTPO AMOLED berukuran 6.81-inci dan ianya merupakan panel skrin yang menyokong lebih dari 1 bilion warna (10 bit).

Skrin paparan ini mempunyai resolusi maksima 1312 x 2848 piksel dengan kadar segar semula dinamik 120Hz dan teknologi 1920Hz PWM dimming.

Selain itu, HONOR mungkin menggunakan panel yang sama seperti pada Magic4 Pro namun ianya lebih cerah pada kadar 1,800nits dengan kepadatan piksel adalah 461ppi.

Seterusnya, seperti generasi sebelum ini, HONOR juga menyertakan cipset khas untuk paparan dan ini mampu meningkatkan kualiti video melalui Video Enhancer dan Frame Rate Booster namun ciri hanya disokong pada aplikasi YouTube dan Netflix sahaja.

Satu lagi penambahbaikan pada bahagian skrin adalah dimana HONOR telah mengurangkan impak penggunaan berterusan kepada mata dengan beberapa ciri perlindungan mata seperti Dynamic Dimming dan Circadian Night Display yang telah menerima pengiktirafan TÜV Rheinland.

Secara keseluruhan, teknologi skrin pada HONOR Magic5 Pro telah dipertingkatkan untuk memberikan kesan yang lebih rendah kepada mata dan pengguna sudah pastinya akan menyambut baik penambahbaikan ini walaupun rekaan dan teknologi asas masih sama seperti pada generasi sebelum ini.

Pemprosesan

Sebagai peranti flagship, HONOR telah menyertakan cip terbaik keluaran Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Gen 2 dan ianya juga dipadankan dengan RAM LPDDR5X dan storan dalaman jenis UFS 4.0 yang memberikan kelajuan membaca dan menulis data yang lebih pantas.

Cip Snapdragon 8 Gen 2 ini merupakan cip octa-core yang mempunyai satu teras utama ( 3.2GHz Cortex-X3), 4 teras prestasi (2×2.8 GHz Cortex-A715 & 2×2.8GHz Cortex-A710) dan 3 teras cekap tenaga (3×2.0GHz Cortex-A510).

Selain itu, tugas grafik pada telefon pintar ini diberikan kepada Adreno 470 yang menyokong ray-tracing namun potensi ciri masih belum dapat dilihat pada mana-mana tajuk permainan video pada telefon pintar.

Selain itu, HONOR Magic5 Pro tampil dengan antaramuka MagicUI 7.1 yang berasakan Android 13 yang memberikan anda satu UI yang stabil dan lancar tanpa sebarang lag atau masalah prestasi. UI pada MagicUI 7.1 ini masih sama seperti generasi sebelum ini dengan beberapa penambahbaikan kecil.

Dalam pada itu, HONOR Magic5 Pro juga membawakan sokongan  Wi-Fi 7, Bluetooth 5.2, NFC dan dwi-SIM 5G.

Seterusnya, HONOR Magic5 Pro ini memiliki 12GB RAM bersama HONOR RAM Turbo yang memberikan tambahan 7GB RAM dan storan dalaman 512GB.

Secara keseluruhan, prestasi HONOR Magic5 Pro boleh  setaraf dengan kebanyakkan telefon pintar flagship lain dipasaran terutamanya yang menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 2.

Kamera

HONOR Magic 5 Pro memiliki tiga sensor kamera dibahagian belakang iaitu sensor utama 50MP, sensor ultrawide 50MP dan sensor telefoto periskop 50MP. Bersama ini turut disertakan sistem pemfokusan 8×8 dToF untuk pemfokusan auto dan depth, flash LED, flicker sensor dan sensor warna pelbagai spektrum.

Sensor utama HONOR Magic5 Pro mempunyai ukuran sensor yang lebih dan paling penting adalah pengstabilan imej optik (OIS) yang tidak ditawarkan pada HONOR Magic4 Pro.

Dalam pada itu, sensor ultrawide yang digunakan pada HONOR Magic5 Pro adalah sensor yang mempunyai pemfokusan auto dengan 122° FoV dan mempunyai aperture yang lebih terang iaitu f/2.0.

Sensor ketiga dibelakang adalah sensor 50MP telefoto yang dibantu lensa periskop dan ini menawarkan pengguna zoom yang lebih baik dan jelas. 

Selain itu, HONOR Magic5 Pro juga boleh mengambil gambar makro melalui dua sensor kamera yang dimilikinya iaitu melalui sensor ultrawide pada jarak sedekat 2.5cm dan sensor telefoto pada jarak 30cm. Jika anda mengambil gambar makro menggunakan mod Super Macro yang tersedia pada aplikasi kamera, ianya menggunakan sensor ultrawide.

Bercakap mengenai kamera selfie yang dimiliki HONOR Magic5 Pro, ianya adalah sensor wide-angle 12MP dengan pemfokusan tetap dan terdapat juga sensor ToF untuk pemfokusan dan depth.

Secara keseluruhanya, kualiti gambar yang diperoleh melalui sistem kamera HONOR Magic5 Pro tampak lebih terang dengan kadar dinamik yang baik yang mana kedua-dua sensor utama dan sensor ultrawide mampu memberikan pengguna hasil gambar yang baik.

Walaubagaimanapun, sensor periskop HONOR Magic5 Pro dilihat  mampu memberikan hasil gambar yang baik    pada kadar zoom 5x dan 10x namun selebihnya adalah kabur tanpa sebarang maklumat apabila kadar zoom melebihi 50x dan ini juga menjadi isu ketika kami cuba mengambil gambar bulan melalui ‘super moon’.

Akhir sekali, HONOR Magic5 Pro mempunyai kemampuan untuk mengambil gambar setaraf flagship premium lain dipasaran tidak kira sensor mana yang anda gunakan dan ini juga telah membolehkan telefon pintar ini merampas kedudukan pertama di DxOMark sebagai telefon pintar dengan sistem kamera terbaik dipasaran.

Berikut adalah hasil gambar HONOR Magic5 Pro :

Bateri

HONOR Magic5 Pro mungkin tampil dengan profil rekaan yang sama seperti Magic4 Pro, namun kapasiti bateri yang digunakan pada generasi baharu ini adalah lebih tinggi iaitu 5,100mAh berbanding hanya 4,600mAh.

Kapasiti ini digabungkan dengan cipset Snapdragon 8 Gen 2 yang lebih efisien menjanjikan jangka hayat yang agak baik dan ini jelas untuk dilihat sepanjang penggunaan kami dimana ianya mampu melepasi satu hari penggunaan tanpa memerlukan pengecasan.

Bercakap mengenai pengecasan pantas, HONOR Magic5 Pro tampil dengan sokongan HONOR SuperCharge 66W yang mampu memberikan anda pengecasan pada kadar yang agak pantas iaitu sekitar 75% dalam masa 30 minit dan tambahan 20 minit lagi untuk mencapai kapasiti penuh.

HONOR juga menyertakan pengecasan tanpa wayar dan pengecasan tanpa wayar berbalik yang boleh diaktifkan pada bahagian tetapan dan ianya sesuai untuk mengecas peranti seperti jam pintar, earbuds atau pada waktu kecemasan, sebuah telefon pintar.

Agak mengecewakan adalah ianya masih menggunakan pengecasan melalui cable USB-A ke USB-C yang bermaksud anda perlu membawa adapter yang disertakan jika mahu melakukan pengecasan pantas HONOR ini.

Penutup

HONOR Magic5 Pro boleh dikatakan telah berjaya mengatasi beberapa kekurangan yang dimiliki oleh Magic4 Pro dan ianya menawarkan prestasi yang konsisten sepanjang waktu penggunaan.

Kemampuan kamera HONOR Magic5 Pro juga telah dipertingkatkan namun rekaan yang sama seperti generasi sebelum ini sedikit sebanyak menjadikan telefon pintar ini agak susah untuk digunakan pada sebelah tangan.

Selain itu,harga jualan HONOR Magic5 Pro di Malaysia masih belum diumumkan namun pihak HONOR Malaysia memberikan petunjuk bahawa harga telefon pintar ini akan memberikan kejutan kepada pengguna yang bermaksud ianya akan ditawarkan pada harga yang amat kompetitif.

Akhir sekali, HONOR Magic5 Pro adalah salah satu daripada telefon pintar flagship Android yang semakin menghampiri pencabar lebih premium seperti Galaxy S23 Ultra dan telefon pintar ini dilihat mampu memberikan persaingan baik didalam pasaran flagship di Malaysia apabila ianya dilancarkan kelak.

ULASAN : Samsung Galaxy S23 Ultra – Kombinasi Prestasi dan Kamera yang lebih Ultra

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.