HUAWEI P60 Series kini rasmi dengan teknologi kamera XMAGE lebih hebat
HUAWEI secara rasminya telah memperkenalkan telefon pintar flagship terbaru syarikat ini iaitu HUAWEI P60 Series dipasaran China.
HUAWEI P60 Series terdiri daripada tiga model iaitu HUAWEI P60, HUAWEI P60 Pro dan HUAWEI P60 Art yang mana kesemuanya memiliki pensijilan kalis air dan habuk IP68.
Kesemua telefon pintar ini berkongsi skrin paparan yang sama iaitu panel OLED LTPO berukuran 6.67-inci dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 1Hz-120Hz. Panel ini juga dilapisi gelas keselamatan Kunlun Glass dan sensor capjari terbina didalam skrin.
Satu lagi persamaan yang dimiliki oleh semua model adalah penggunaan sensor 48MP RYYB yang memiliki OIS dan aperture fizikal boleh ubah antara f/1.0 sehingga f/4.0
Beralih kepada sensor ultrawide pula, HUAWEI P60 dan HUAWEI P60 Pro memiliki sensor 13MP dengan aperture f/2.2 manakala HUAWEI P60 Art tampil dengan sensor 40MP.
Dalam pada itu, sensor telefoto pada P60 adalah sensor 12MP bersama OIS dengan aperture f/3.4 manakala P60 Pro dan P60 Art hadir dengan sensor 48MP yang memiliki OIS dengan kebolehan zoom optikal 3.5x dan zoom digital 100x.
Selain itu, HUAWEI P60 Series juga memiliki HUAWEI XD Fusion Pro untuk menghasilkan gambar dengan kualiti yang sama seperti dilihat oleh mata.
Bercakap mengenai cipset yang digunakan pada P60 Series ini, kesemua model tampil dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 4G, antaramuka Harmony OS 3.1 dan sokongan komunikasi satelit Beidou yang terhad untuk pasaran China sahaja.
Seterusnya, bateri pada HUAWEI P60 dan HUAWEI P60 Pro adalah berkapasiti 4,815mAh namun P60 tampil dengan pengecasan pantas 66W manakala P60 Pro tampil dengan pengecasan pantas 88W. Kedua model juga menyokong pengecasan tanpa wayar 50W.
Dalam pada itu, HUAWEI P60 Art pula memiliki bateri 5,100mAh jenis silikon karbon yang menawarkan ketumpatan bateri lebih tinggi.
P60 Series akan ditawarkan didalam harga yang bermula dari CNY 4,488(RM 2,906) sehingga CNY 10,998 (RM 7,112).