Samsung Galaxy S23 Series dilaporkan akan dilancarkan pada awal bulan Februari
Laporan terbaru dari Korea Selatan yang memetik sumber eksekutif Samsung telah mendedahkan bahawa Samsung merancang untuk melancarkan Samsung Galaxy S23 Series pada Samsung Unpacked 2023 yang akan berlangsung pada bulan Februari.
Majlis pelancaran ini juga akan menjadi majlis Unpacked pertama yang akan diadakan secara fizikal sejak pandemik dan dikatakan akan berlangsung di San Francisco, Amerika Syarikat.
Selepas pelancaran, Samsung dijangka akan memulakan penjualan global pada lewat bulan Februari.
Selain itu, terdapat juga laporan yang mengatakan Samsung mempunyai perancangan untuk memperkenalkan Galaxy S23 Series di CES 2023 yang akan berlangsung pada bulan Januari namun Samsung lebih gemar membuat majlis berasingan untuk pelancaran peranti flagship utama mereka ini.
Samsung Galaxy S23 Series dijangka akan tampil dengan penggunaan cip Snapdragon 8 Gen 2 secara eksklusif di semua pasaran yang bermaksud tiada varian dengan cip Exynos.